HARGA
AYAM DIJANGKA STABIL
KUALA LUMPUR - Pengguna dan peniaga dijangka tidak lagi berdepan
masalah harga ayam naik mendadak selepas Kementerian Pertanian dan Industri
Asas Tani membenarkan semula pengimportan ayam dari China.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz
Jamaludin berkata, ayam tanpa tulang dari China itu berupaya mengurangkan
persaingan antara orang ramai dengan pusat pemprosesan ayam.
Menurut beliau, kelulusan membawa masuk daging ayam yang siap diproses
dalam bentuk ketul membolehkan industri pemprosesan mendapat bekalan ayam pada
harga murah bagi mengeluarkan produk makanan segera seperti bebola ayam dan
daging burger.
"Sehubungan itu, apabila pihak pemprosesan boleh menggunakan ayam
import sebagai alternatif, pengguna tidak mempunyai masalah mendapatkan ayam
bulat dengan harga berpatutan di pasaran," katanya ketika dihubungi di
sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan
Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah yang khuatir jika aktiviti
mengaut keuntungan oleh orang tengah akan terus berlaku sehingga berkemungkinan
harga ayam bertambah tinggi selepas kebenaran import berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
(FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, bekalan bahan mentah terutama ayam masih
boleh didapati dengan harga berpatutan di sebanyak 467 pasar tani khas di
seluruh negara.
Katanya, program anjuran FAMA dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani itu menawarkan pengurangan harga ayam sebanyak 70 sen
seekor.
"Program ini bertujuan menangani masalah kos hidup rakyat yang
semakin meningkat di samping mendidik pengguna supaya berbelanja secara
berhemat.
"Antara pasar tani khas terlibat adalah pasar tani harian, pasar
tani kekal dan pasar tani borong yang akan dibuka setiap hari seawal pukul 7
pagi hingga 10 malam bergantung kepada lokasi pasar berkenaan," katanya. –Utusan
Online
No comments:
Post a Comment