KENYATAAN
MENTERI TIDAK SELESAI ISU HARGA AYAM
KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) kesal dengan
kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaaan Datuk Hasan Malek yang mengajak orang ramai 'menukar' selera
daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai sebagai
usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.
Bagaimanapun, Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan
oleh menteri tersebut tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh
rakyat.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari (gambar) berkata kenyataan ini
tidak berbeza dengan kenyataan kerajaan
sebelum ini yang mengajak rakyat mengurangkan pengambilan gula apabila berlaku
kenaikan harga bahan itu.
“Begitu juga dengan kenyataan yang memohon rakyat menjimatkan penggunaan
eletrik apabila berlaku kenaikan tarif eletrik juga.
“Jika hanya itu yang mampu dilakukan oleh kerajaan, DPPNK menyifatkan ia
sebagai satu pandangan yang naif dan langsung tidak sesuai dikeluarkan oleh
sebuah kerajaan yang sepatutnya mempunyai kuasa mempengaruhi harga barangan
keperluan,” ujarnya.
Tegasnya, kerajaan seharusnya mengkaji serta memberikan maklumat yang
jelas kepada rakyat faktor yang menyebabkan kenaikan harga ayam pada hari ini
yang sudah melampaui menjelang musim perayaan.
Sambungnya yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar, rakyat perlu
diberikan maklumat sebenar adakah kenaikan harga ayam ini disebabkan oleh
kenaikkan kos seperti produk makanan ayam, pekerja, penghantaran, pemasaran dan
sebagainya.
Katanya, menggesa rakyat untuk tidak mengelakkan pengambilan ayam sebagai
makanan dan sepenuhnya menyalahkan kepada peniaga menggambarkan seolah-olah
kerajaan tidak serius di dalam menangani isu ini.
DPPNK turut mempersoalkan kenapa kerajaan mengambil sikap untuk
menetapkan pelaksanaan skim kawalan harga Hari Raya Puasa 2013 pada awal Ogos
2013 nanti iaitu penghujung Ramadhan dan bukannya pada awal Ramadhan.
Sehubungan itu DPPNK menggesa kerajaan untuk sentiasa prihatin terhadap
fenomena itu menjelang musim perayaan.
Katanya, unjuran keperluan perlu sentiasa dilakukan dari masa ke semasa
bagi membolehkan kenaikan harga ayam secara mendadak dapat dikekang.
Dalam hal itu pemuda yakin kerajaan sebenarnya tidak bersedia menghadapi
fenomena dan menanggap ia sebagai satu situasi yang tidak serius setelah BN
berjaya membentuk kerajaan sekali lagi selepas pilihanraya umum ketiga belas
yang lepas.
Katanya lagi, kerajaan barangkali lupa bahawa pengundi-pengundi di Kuala
Besut masih mempunyai peluang untuk memberikan 'tunjuk ajar' kepada kerajaan
agar lebih berhemah di dalam menguruskan keperluan asas. –Harakahdaily
No comments:
Post a Comment