KERAJAAN
PERLU CARI PUNCA HARGA AYAM NAIK
SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) perlu mencari mekanisme berkesan dalam menangani masalah
kenaikan harga ayam yang saban tahun berlaku sehingga membebankan pengguna
terutamanya menjelang musim perayaan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim
Johan berkata, kementerian perlu bertindak tegas dan serius bagi mengenal pasti
punca sebenar kenaikan harga ayam, adakah disebabkan dominasi harga keterlaluan
oleh pihak tertentu atau faktor lain.
Menurutnya, jika itu berlaku, kementerian dan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menjalankan satu siasatan untuk memantau jika
terdapat suatu pakatan monopoli di kalangan penternak dan pengeluar yang
menentukan harga ayam meningkat.
“Dengan ini, tindakan boleh diambil terhadap pihak yang memonopoli dan
menstabilkan kembali harga ayam, memastikan harga ayam bebas daripada
ditentukan golongan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Nadzim berkata, setelah melalui pelbagai perayaan setiap tahun,
kementerian seharusnya arif dengan apa yang berlaku dan sudah ada jalan
penyelesaian sama ada penyelesaian jangka panjang atau pendek untuk
mengatasinya.
Pada masa sama katanya, rakyat ingin tahu dengan jelas mengapa harga ayam
naik.
“Dari mana punca kenaikan itu bermula. Jika pembekal apa rasionalnya?
Maka perkembangan ini sudah pasti perlu diambil serius dan ditangani secara
bijak kementerian dan agensi terlibat.
“Ini kerana isu kenaikan harga barangan isu paling sensitif dan boleh
menyebabkan kemarahan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, yang menjadi tanda tanya setiap kali tiba musim perayaan,
paling ketara apabila umat Islam mahu menyambut Aidilfitri, kenaikan harga
barangan termasuk ayam berlaku.
“Adakah benar-benar ini faktor permintaan terlalu tinggi menyebabkan
bekalan berkurangan dan kesukaran untuk mendapatkannya. Atau mereka ini hanya
sekadar mahu main tarik tali untuk mengaut keuntungan lebih,” katanya.
Beliau berkata, isu kenaikan harga ayam bukan diatasi dengan sekadar
menerima saranan beberapa pihak supaya orang ramai memboikot barangan yang naik
itu.
“Bila harga ayam naik, boikot jangan
beli ayam, bila harga gula naik, jangan makan gula. Tetapi perlu ada mekanisme
atau jalan penyelesaian oleh pihak terbabit agar masalah ini tidak lagi berlaku
pada masa akan datang,” katanya. –Sinar Harian
No comments:
Post a Comment