TPP:
LEBIH BANYAK UNTUNG DARI RUGI -PAKAR
KUALA LUMPUR - Perdebatan hangat yang tercetus tentang Perjanjian
Perkongsian Ekonomi Trans-Pasifik (TPP) tidak harus dibiarkan menenggelami
faedah-faedah yang nyata bagi Malaysia.
Perjanjian
Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)
|
Ini adalah dari segi akses pasaran kepada lebih 700 juta pengguna, import
yang berpotensi lebih murah dan peluang untuk membida bagi kontrak kerajaan di
ekonomi-ekonomi negara anggota.
Kontraktor Malaysia boleh membida bagi kontrak pemerolehan kerajaan di
negara-negara jiran dalam perjanjian TPP, khususnya di Brunei, Singapura serta
Australia dan New Zealand, kata seorang pakar perdagangan.
Dr Sufian Jusoh, seorang Felo Kanan dan Profesor Madya Fakulti
Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, meskipun
pihak-pihak berkepentingan mungkin berasa bimbang tentang kemungkinan firma
asing membolot
kontrak-kontrak tempatan dan ekoran itu terus mencanangkan tentang
kerugian yang bakal dialami, namun tumpuan juga harus diberikan kepada faedah
daripada sebuah pasaran serantau yang diperluaskan.
Contohnya, pasaran pemerolehan kerajaan Malaysia dianggarkan bernilai
AS$28.1 bilion pada 2012, sedangkan pasaran tergabung bagi pemerolehan kerajaan
dalam kesemua 12 pasaran TPP bernilai AS$2.74 trilion.
Perjanjian TPP penting bagi Malaysia disebabkan daya tahannya dalam
perdagangan dan industri, peluang-peluang yang meningkat bagi pelaburan
langsung asing, daya saingan yang lebih tinggi dan kebolehan membina perniagaan
dan kapasiti teknikal.
"Malaysia akan juga menikmati tarif yang lebih rendah atau kadar
sifar bagi barangan dan akses pasaran bagi perkhidmatan.
"Di samping itu, kerajaan boleh berunding bagi syarikat-syarikat
tempatan mendapatkan akses kepada bantuan teknikal untuk menaikkan taraf
masing-masing, seperti dalam pertanian atau perikanan dari ekonomi-ekonomi
perjanjian TPP yang lain," katanya semasa ceramah, "A Creature Called
TPP (Makhluk Bernama TPPA)" di Wisma Bernama, semalam.
Ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan-kumpulan
berkepentingan lain telah menyelar penyertaan Malaysia dalam rundingan
perjanjian TPP dan mendakwa, antara lain, bahawa ia akan menggugat kepentingan
Bumiputera dan kira-kira 600,000 syarikat asing akan memasuki pasaran domestik.
Realitinya, Malaysia boleh mengehadkan akses kepada kontraktor asing dari
sudut pemerolehan kerajaan atau mempunyai hak dalam bidang-bidang sensitif
tertentu yang dikenali sebagai "carve-out" dalam lampiran peraturan
yang tidak mengikut kehendak perjanjian, yang mengehadkan entiti dalam lampiran
Bab Pemerolehan Kerajaan, atau meletakkan threshold yang tinggi bagi akses
kepada pemerolehan kerajaan.
Malaysia menjadi tuan rumah kepada pusingan ke-18 rundingan perjanjian
TPP di Kota Kinabalu yang dihadiri oleh Australia, Brunei, Kanada, Chile,
Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam.
"Faedahnya lebih daripada tarif," kata Sufian, yang juga
Perunding Luar dan Felo Kanan di Institut Perdagangan Dunia di Bern, Switzerland.
Beliau juga berkata, kebimbangan bahawa Malaysia akan kehilangan
kedaulatannya apabila menandatangani perjanjian TPP tidak tepat kerana teks
perjanjian itu adalah hasil usaha bersama oleh negara-negara yang berunding dan
tidak didominasi oleh mana-mana satu kuasa besar ekonomi seperti yang didakwa
oleh pihak-pihak tertentu.
Semasa menderaf teks perjanjian, negara-negara yang mengambil bahagian
termasuk Malaysia, akan berpeluang mengemukakan cadangan masing-masing meskipun
negara-negara secara individu mempunyai kedudukan yang kuat dalam sektor
perdagangan tertentu.
Contohnya, beliau menyebut tentang bagaimana AS mempunyai pendirian yang
kukuh tentang farmaseutikal, terutama tentang lanjutan tempoh bagi ubat yang
dipaten.
"Tetapi kebanyakan negara berunding membantah kedudukan AS, yang
bererti ada kemungkinan cadangan itu tidak dimasukkan dalam perjanjian
itu," tegas beliau.
Beliau berkata sekali pun farmaseutikal dimasukkan dalam perjanjian TPP,
kerajaan Malaysia boleh mengekalkan dasar pembeliannya dan mempunyai kebebasan
untuk membeli ubat generik yang lebih murah bagi ubat bukan paten berbanding
ubat dipaten yang mahal.
"Daripada AS, Malaysia sebaliknya harus berhati-hati dalam rundingan
perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah, terutamanya Switzerland, yang
tahap pengeluaran farmaseutikal dan eksport ubat dipatennya lebih tinggi.
"Eropah menempatkan banyak pengeluar ubat dunia dan sektor
farmaseutikal merupakan sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK)
dan ini bererti ia akan melakukan segala yang mungkin untuk melindungi industri
itu," kata Sufian.
Beliau juga menolak dakwaan oleh ahli-ahli politik dan NGO tempatan serta
kumpulan berkepentingan bahawa syarikat-syarikat multinasional akan menentukan
terma-terma kepada Malaysia dalam perkara-perkara seperti pelaburan, malah
menyaman negara ini jika syarat-syarat mereka tidak dipenuhi.
"Mereka hanya boleh menyaman bagi timbang tara kerana melanggar
obligasi-obligasi tertentu di bawah perjanjian TPP," katanya, sambil
memberikan jaminan bahawa pasukan perunding Malaysia terdiri daripada
tokoh-tokoh yang berpengalaman dan tidak akan menggadaikan negara seperti yang
didakwa oleh sesetengah pihak.
Ditanya sama ada perjanjian itu akan ditandatangani dalam tahun ini,
Sufian berkata, beliau tidak yakin ia akan ditandatangani pada 2013, kerana masih banyak bidang dalam rundingan
itu yang masih belum diputuskan. – Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment