LAGU NEGARAKU DI PAWAGAM: PASTIKAN TIDAK DIPERSENDA
KUALA TERENGGANU - Gagasan Pendidikan
Melayu Malaysia (Gagasan) berharap Kementerian Komunikasi dan Multimedia dapat
memperincikan kaedah terbaik sebelum memutuskan lagu Negaraku dimainkan di
pawagam-pawagam.
Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Mohamad
berkata, langkah itu penting bagi memastikan ia tidak menjadi bahan mainan dan
sendaan pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, stadium dan pawagam adalah dua
situasi yang jauh berbeza dan dari segi rasionalnya, suasana di stadium pada
setiap kali sebelum perlawanan bola sepak didapati tidak menimbulkan masalah
berbanding di dalam pawagam.
"Di pawagam, keadaannya tertutup dan
lebih suram serta gelap yang mungkin boleh mengundang perkara tidak diingini
seperti rasa tidak hormat kepada lagu Negaraku. Mereka mungkin tidak
mengendahkan untuk berdiri seketika jika tanpa pemantauan," katanya kepada
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas langkah Kementerian Komunikasi
dan Multimedia yang sedang mengkaji lebih serius cadangan memainkan lagu
Negaraku di pawagam di seluruh negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan tidak
lama lagi.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
berkata, cadangan itu bertujuan menunjukkan semangat patriotik dan kecintaan
rakyat kepada negara dan sekiranya menjadi kenyataan, lagu kebangsaan tersebut
akan dimainkan sebelum tayangan filem bermula.
Dalam pada itu, Gagasan turut menyarankan
kementerian berkenaan mengkaji semula kebanjiran drama asing terutama dari
Indonesia dan Filipina yang kini ditayangkan menerusi kebanyakan saluran utama
televisyen tempatan.
Menurutnya, ini kerana, banyak filem atau
drama asing itu membawa unsur-unsur negatif seperti khurafat, tahyul, sihir dan
sebagainya sehingga boleh merosakkan pemikiran generasi muda di negara ini. –Utusan
Online
No comments:
Post a Comment