LAGU NEGARAKU SEBELUM TAYANGAN FILEM DI PAWAGAM
KUALA LUMPUR - Lagu Negaraku dicadang untuk
dimainkan di pawagam di seluruh negara sebelum tayangan sesuatu filem sempena
sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri
Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu akan dibincangkan bersama pengusaha
pawagam minggu hadapan.
"Saya akan berbincang dengan
pengusaha-pengusaha mungkin pada Rabu depan untuk nyanyian Negaraku dimainkan
sama ada dua atau tiga hari sebelum dan selepas 31 Ogos atau diteruskan hingga
Hari Malaysia pada 16 Sept.
"Bagi saya ini (nyanyian Negaraku) hanya
satu pengorbanan yang sedikit dan kecil untuk kita semua sebagai rakyat dalam
menghargai kemerdekaan dan mengingati mereka yang terkorban dalam
mempertahankan kedaulatan negara," katanya kepada Bernama ketika dihubungi
di sini.
Beliau berkata bagi tujuan itu, kementerian
boleh membekalkan klip video lagu Negaraku kepada pawagam di seluruh negara.
Katanya, pengusaha panggung juga digalak
mencari inisiatif untuk memastikan penonton berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan
seperti mencerahkan lampu pawagam.
"Tetapi bagi kami, sebaiknya tiada
paksaan kerana ini sememangnya menjadi tanggungjawab dan kesedaran kita untuk
berdiri bagi menghormati lagu Negaraku dan ia seharusnya dijadikan amalan.
"Kalau di padang bola, pada setiap
perlawanan kita boleh berdiri apabila lagu kebangsaan dimainkan, kenapa tidak
di panggung wayang hanya beberapa hari sempena Hari Kemerdekaan?" katanya.
Shabery berkata banyak negara luar termasuk
Thailand dan India masih meneruskan tradisi nyanyian lagu kebangsaan negara
mereka di kawasan-kawasan awam serta pawagam pada setiap hari.
"Thailand contohnya, rakyatnya akan
berdiri apabila lagu kebangsaan mereka dimainkan di pawagam hinggakan ia turut
dimainkan setiap pagi di stesen kereta api di mana rakyatnya juga akan berdiri
sebagai tanda penghormatan.
"Kita belum sampai ke tahap itu, tetapi
saya rasa tidak salah kalau ia dikaji sejauh mana yang kita boleh buat, tetapi
kita tidak mahu juga jika semangat itu tidak dipupuk dan rakyat menganggap ia
perkara biasa dan tidak perlu diberi penghormatan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan
syarikat-syarikat swasta memainkan lagu Negaraku pada acara yang dianjur mereka
dalam usaha pembudayaan dan penghayatan lagu kebangsaan itu.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment