MALAYSIA DILANDASAN
BETUL LAKUKAN TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN
PUTRAJAYA: Malaysia berada di landasan betul untuk
menjayakan inisiatifnya, terutama melalui Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia,
dalam melaksanakan transformasi terhadap sistem pendidikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid
Omar berkata rangka tindakan itu menangani sebahagian besar isu, termasuk
kemerosotan kualiti pendidikan seperti yang terkandung di dalam Program
Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA).
"Kami mengambil bahagian dalam PISA sejak 2009 dan
rangka tindakan ini meneliti hasilnya hingga 2011 dan kami juga nampak
kemerosotan yang dialami (kualiti pendidikan)," katanya kepada media
selepas pelancaran Pemantauan Ekonomi Malaysia Disember 2013: Pendidikan
Berprestasi Tinggi di sini, Selasa.
"Sebab itulah rangka tindakan itu turut mengenal pasti sasaran
Malaysia untuk melonjak ke peringkat satu pertiga teratas dalam kalangan negara
yang menyertai penilaian itu, daripada kedudukannya sekarang," kata
beliau.
Mengulas laporan itu, Wahid berkata: "Isu yang
ditimbulkan laporan ini tentang sekolah autonomi dan peningkatan penyertaan
pemegang kepentingan dalam sistem berkenaan, telah dikenal pasti dalam rangka
tindakan itu, manakala langkah telah dan akan diambil untuk menangani syor yang
dikemukakan".
Katanya menurut perspektif kerajaan, ia perlu terus memberi
fokus terhadap pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dikenal pasti dalam rangka
tindakan itu.
Sumber: mStar Online
No comments:
Post a Comment