Showing posts with label Arab Spring. Show all posts
Showing posts with label Arab Spring. Show all posts

Friday, April 19, 2013

PRU13: KEMPEN PKR ADA KAITAN DENGAN ARAB SPRING?

KUALA LUMPUR - Pihak keselamatan diminta menyiasat pelancaran kempen Malaysian Spring yang dilancarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana didakwa mempunyai kaitan dengan rusuhan jalanan ala Arab Spring.

Bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda PKR, Nordin Ahmad mendakwa, tindakan pemasangan bendera kuning di bulatan Lucky Garden, Bangsar yang dikatakan simbolik kepada pelancaran kempen itu.

Ia dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan pertubuhan tidak berdaftar Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi menyuntik semangat benci, biadab dan melawan kerajaan dalam kalangan rakyat.

Ujarnya, pemasangan bendera itu sebagai langkah awal pakatan pembangkang yang disokong kuat Bersih, untuk mencetuskan kemarahan rakyat sebelum menggalakkan mereka mengadakan demonstrasi kononnya untuk menuntut pilihan raya adil, bersih dan telus.

"Berani saya katakan, mereka (PKR) sudah mengetahui keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak akan memihak kepada mereka. Jadi sebagai langkah awal parti itu harus bertindak melancarkan Malaysian Spring yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan Arab Spring.

"Persoalannya, apakah motif mereka melancarkan Malaysian Spring yang dikatakan kempen pilihan raya dengan kos paling minimum dan mengapa bendera kuning sebagai warna utama kempen itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini menyiarkan gambar misteri bendera kuning dipasang di bulatan Lucky Garden, Bangsar yang langsung tiada kaitan dengan bendera parti-parti bertanding.

Sementara itu, portal berita milik PKR, KeadilanDaily melaporkan, pemasangan bendera terbabit adalah sempena pelancaran kempen Malaysian Spring oleh calon PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Menurut laporan itu, setakat ini sebanyak 18,400 bendera kecil telah dipasang dan dijangka meningkat kepada 200,000 menjelang PRU-13.

Nordin meminta pihak berkuasa tidak memandang remeh tindakan yang bakal dilakukan pembangkang jika mereka kalah.

"Seperti yang telah saya bongkar dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merancang mengadakan demonstrasi jalanan ala Arab Spring ini sejak beliau dipenjarakan pada 1999.

"Sekarang dia bergerak bebas, tidak mustahil satu lagi insiden Arab Spring akan berlaku di negara ini sekiranya tindakan awal tidak diambil bagi mengatasi perkara ini," tegasnya. - UTUSAN ONLINE

Tuesday, April 9, 2013

PEMBANGKANG RANCANG DEMONSTRASI ALA ARAB SPRING

KUALA LUMPUR - Konspirasi menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan ala 'Arab Spring' didakwa menjadi strategi utama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1999 ketika beliau dipenjara atas dakwaan rasuah dan liwat.

Bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nordin Ahmad mendakwa, perkara itu dilakukan secara sulit Anwar ketika beliau dipenjara di Sungai Buloh melalui surat-surat yang diserahkan menerusi salah seorang peguamnya ketika itu.

Jelasnya, antara arahan itu termasuk mengumpul seberapa ramai penyokong PKR untuk mengadakan demonstrasi dan tunjuk perasaan pada 2000 yang dikenali sebagai 'Black 14' sebagai memperingati tarikh Anwar disabitkan kesalahan dan sebagai tanda protes terhadap tangkapan beliau.

"Ketika itu, Pemuda PKR seluruh negara diarahkan berkumpul di ibu negara menaiki kereta api kerana takut dikesan pihak berkuasa.

"Kami tidak datang dengan tangan kosong, tetapi turut diarah membawa senjata seperti buluh runcing, 'molotov cocktail' dan besi sebagai persedian bertempur dengan pasukan keselamatan sekiranya dihalang," katanya.

Tambah Nordin, atas dasar prinsip dan tanggungjawab kepada negara, beliau mengambil langkah bertemu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu merupakan Menteri Dalam Negeri bagi memaklumkan perkara berkenaan.

Katanya, beliau turut dihubungi Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, Datuk Kamaruddin Ali bagi memberi keterangan dan menceritakan satu persatu apa yang akan berlaku dalam demonstrasi tersebut tanpa pengetahuan pucuk pimpinan parti kerana masih memegang jawatan dalam parti.

"Selepas keterangan diambil, polis melakukan persediaan awal menyekat pengikut fanatik Anwar daripada terus mengadakan demonstrasi yang mungkin boleh mengakibatkan kemalangan jiwa seterusnya menuduh UMNO bertindak zalim," katanya.

Dalam masa sama, beliau yakin demonstrasi akan tercetus jika Anwar kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.– Utusan Online