KUALA LUMPUR - Pihak keselamatan
diminta menyiasat pelancaran kempen Malaysian Spring yang dilancarkan oleh
Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana didakwa mempunyai kaitan dengan rusuhan
jalanan ala Arab Spring.
Bekas Setiausaha Biro Penerangan
Pemuda PKR, Nordin Ahmad mendakwa, tindakan pemasangan bendera kuning di
bulatan Lucky Garden, Bangsar yang dikatakan simbolik kepada pelancaran kempen
itu.
Ia dipercayai mempunyai kaitan rapat
dengan pertubuhan tidak berdaftar Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil
(Bersih) bagi menyuntik semangat benci, biadab dan melawan kerajaan dalam kalangan
rakyat.
Ujarnya, pemasangan bendera itu
sebagai langkah awal pakatan pembangkang yang disokong kuat Bersih, untuk
mencetuskan kemarahan rakyat sebelum menggalakkan mereka mengadakan demonstrasi
kononnya untuk menuntut pilihan raya adil, bersih dan telus.
"Berani saya katakan, mereka
(PKR) sudah mengetahui keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak akan
memihak kepada mereka. Jadi sebagai langkah awal parti itu harus bertindak
melancarkan Malaysian Spring yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan Arab
Spring.
"Persoalannya, apakah motif
mereka melancarkan Malaysian Spring yang dikatakan kempen pilihan raya dengan
kos paling minimum dan mengapa bendera kuning sebagai warna utama kempen
itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, akhbar ini menyiarkan gambar
misteri bendera kuning dipasang di bulatan Lucky Garden, Bangsar yang langsung
tiada kaitan dengan bendera parti-parti bertanding.
Sementara itu, portal berita milik
PKR, KeadilanDaily melaporkan, pemasangan bendera terbabit adalah sempena
pelancaran kempen Malaysian Spring oleh calon PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah
Anwar.
Menurut laporan itu, setakat ini
sebanyak 18,400 bendera kecil telah dipasang dan dijangka meningkat kepada
200,000 menjelang PRU-13.
Nordin meminta pihak berkuasa tidak
memandang remeh tindakan yang bakal dilakukan pembangkang jika mereka kalah.
"Seperti yang telah saya bongkar
dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merancang
mengadakan demonstrasi jalanan ala Arab Spring ini sejak beliau dipenjarakan
pada 1999.
"Sekarang dia bergerak bebas,
tidak mustahil satu lagi insiden Arab Spring akan berlaku di negara ini
sekiranya tindakan awal tidak diambil bagi mengatasi perkara ini,"
tegasnya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment