KOTA BHARU - Pas kini sudah sebaris
dengan sekutu mereka, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP iaitu parti
'anak-beranak' yang mengamalkan dasar kronisme dan nepotisme terutamanya dalam
soal pemilihan calon pilihan raya.
Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk
Mohd. Fatmi Che Salleh mendakwa, perkara ini terbukti dengan keputusan Pas
Kelantan yang mencalonkan anak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.
Beliau mendakwa, semua orang tahu Nik
Abdul Aziz sudah lanjut usia dan entah berapa lama lagi akan mampu bertahan,
justeru itu, beliau awal-awal lagi mempertaruhkan anaknya demi memastikan ada
keturunan mereka kekal dalam jawatan politik.
Katanya, budaya kronisme dan
nepotisme yang mula diamalkan Pas itu membuktikan mereka kini sudah tidak ada
beza lagi dengan PKR dan DAP yang sedia maklum sudah sekian lama
mengamalkannya.
"Kalau kita lihat DAP, Penasihat
DAP, Lim Kit Siang merupakan ahli parlimen, anaknya, Lim Guan Eng bukan sahaja
menjadi Ketua Menteri malah turut memegang jawatan penting di dalam parti.
Tidak cukup dengan itu, menantu Kit Siang yang juga merupakan isteri Guan Eng
juga menjadi wakil rakyat. Pengerusi DAP, Karpal Singh juga turut
mempertaruhkan anaknya yang menjadi wakil rakyat.
"PKR pula, penasihat parti itu,
Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli parlimen, anaknya Nurul Izzah juga ahli parlimen
manakala Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail terus kekal menjadi presiden parti.
Ini parti anak beranak bukan parti rakyat. Nama sahaja Parti Keadilan Rakyat,
tetapi sebenarnya parti anak beranak. Ini bukti yang patut rakyat nilai,
termasuk di Kelantan sendiri," katanya pada pemberita selepas merasmikan
Bilik Operasi Pemuda BN Kota Bharu di sini malam tadi.
Mohd. Fatmi diminta mengulas mengenai
pengumuman calon Pas dan PKR untuk menghadapi PRU-13 yang dilakukan Timbalan
Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah di Machang semalam.
Kombinasi kedua-dua parti itu dalam
PRU-13 ini menampilkan 16 muka baharu dan yang paling mendapat tumpuan adalah
pencalonan Nik Abduh anak kepada Menteri Besar dan Musyidul Am Pas.
Tambah Mohd. Fatmi yang juga
merupakan calon BN Parlimen Kota Bharu, budaya begini tidak pernah berlaku pada
BN yang apabila pemimpin masih berjawatan mempertaruhkan anak mereka untuk
bertanding pada pilihan raya.
"Sebagai contoh, Bekas Perdana
Menteri, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa mereka memegang
jawatan
itu tidak ada seorang pun anak mereka
menjadi wakil rakyat.
"Hari ini Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak juga tidak pernah mempertaruhkan anak untuk bertanding
pada pilihan raya. Ini bezanya BN dan Pakatan Pembangkang," katanya. -
UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment