TAPAH -
Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), S. Jenapala
Perumal hari ini mendedahkan pakatan pembangkang terutamanya PKR sedang
berhadapan masalah dalaman yang meruncing ekoran krisis agihan kerusi Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Jenapala
mendakwa, tindakan pucuk pimpinan PKR yang cenderung menempatkan calon luar
untuk bertanding menimbulkan kemarahan jentera parti di banyak kawasan
terutamanya di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Johor.
Malah,
katanya, seorang wakil rakyat PKR di Pulau Pinang dijangka akan mengumumkan
keluar daripada parti itu esok.
Beliau
bagaimanapun enggan menyebut nama pemimpin tersebut.
Keadaan
tidak sihat itu, katanya, berlaku disebabkan keengganan pucuk pimpinan
mendengar pandangan ahli-ahli dan pemimpin akar umbi.
Beliau memberikan
contoh di Tapah misalnya, PKR mengumumkan bekas pemimpin Hindraf, K.
Vasanthakumar bertanding sedangkan penduduk di kawasan itu tidak mahu calon
tersebut kerana merupakan orang luar.
"Persoalannya,
mana letaknya kedudukan orang akar umbi dan ketua pemimpin yang berusaha demi
kepentingan parti selama ini?
"Pandangan
mereka tidak dipedulikan langsung walaupun berjumpa beberapa kali dengan
pemimpin pusat," kata Jenapala dalam sidang akhbar di pejabat PKR Taman
Bukit Hijau di sini hari ini.
Dalam sidang
akhbar yang sama, Ketua Cabang PKR Tapah, Ridzuan Bani mengumumkan akan
bertanding sebagai calon bebas pada PRU-13 kerana kecewa dengan keputusan pucuk
pimpinan PKR menempatkan Vasanthakumar untuk bertanding di kawasan tersebut.
Menurut
Jenapala, para pengundi terutamanya kaum India mula sedar bahawa mereka hanya
diperalatkan oleh PKR demi kepentingan politik.
"PKR
yang sering menonjolkan peranan dominan dalam pakatan pembangkang sepatutnya
memberi lebih kerusi kepada calon India PKR, bukan DAP," katanya.
Dalam pada
itu, Jenapala turut membidas sikap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
didakwanya besar kepala sehingga tidak mahu mengakui kesalahan sendiri.
Menurut
beliau, sikap sedemikian tidak ada pada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak yang lebih merendah diri, malah sanggup meminta maaf kepada rakyat
khususnya masyarakat India atas apa jua kelemahan sepanjang pentadbiran beliau.
"Anwar
tidak mahu terima bahawa dia pernah berada dalam BN. Segala tuduhannya adalah
semasa dia turut berada dalam BN.
"Tetapi
dia tidak minta maaf kepada rakyat malah terus salahkan BN. Kalau buat
kesilapan bertaubatlah, orang akan terima," ujar Jenapala lagi.– Utusan Online
No comments:
Post a Comment