KOTA BHARU
- Pas Kelantan dikatakan mengalami pergolakan dalaman agak serius dalam
menentukan calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) 5 Mei ini.
Difahamkan,
sehingga lewat malam tadi, barisan kepemimpinan parti itu diterajui oleh
Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, masih belum menemui kata
putus soal siapa akan bertanding di beberapa bahagian antaranya, Bachok,
Ketereh, Pasir Mas dan Pasir Puteh.
Menurut
sumber, senarai calon yang diputuskan awal tidak mendapat sokongan serta
menerima bantahan daripada beberapa pihak, sehingga memaksa kepimpinan Pas
Kelantan beberapa kali bermesyuarat semula.
Malah wujud
dakwaan proses pemilihan calon Pas Kelantan pada kali ini berkonsepkan
'kronisme' apabila wakil yang disenaraikan mempunyai hubungan secara langsung
dengan pemimpin tertentu.
Sebagai
contoh, meskipun senarai calon belum diputuskan, namun kedengaran poster
individu tertentu telah dicetak, sehingga dikatakan mengetepikan konsep
musyawarah yang didakwa menjadi pegangan Pas selama ini.
Selain itu,
wujud berpuak-puak dalam pemilihan kali ini sehingga ada dakwaan mengatakan
senarai calon yang bakal dibariskan merupakan 'suara' atau 'mewakili'
kepentingan pemimpin tertentu.
"Konsep
anak-beranak, waris-warah, ipar-duai menjadi teras pemilihan calon. Penyakit di
zaman Allahyarham Datuk Mohd. Asri Muda nampaknya menjadi turutan dan
ikutan," kata sumber berkenaan kepada Utusan Malaysia hari ini.
Sebelum
ini, Pas dijadual mengumumkan senarai calonnya pada Himpunan Kelantanku Hijau
di Padang Perdana, dekat sini, Jumaat lalu.
Bagaimanapun,
ia tidak menjadi kenyataan dengan alasan penamaan calon dijangka lebih awal,
bukannya 20 April ini.
Pengumuman
calon-calon Pas sebaliknya dijadual diumumkan pada malam ini di Padang Majlis
Daerah Machang.
Kegagalan
Pas yang lewat mengumumkan calonnya berbanding Barisan Nasional (BN) dilihat
oleh banyak pihak berpunca daripada pergolakan dalaman yang sedang berlaku.
Menurut sumber
itu lagi, Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzly Hassan
langsung tidak dilibatkan dalam proses pemilihan pada kali ini dan keadaan itu
turut mencetuskan rasa kurang senang pihak tertentu.
Jelas
sumber itu lagi, sebelum ini kekecohan sememangnya berlaku dalam pemilihan
calon Pas Kelantan, namun senario yang berlaku kali ini lebih serius, dengan
Nik Abdul Aziz sendiri dikatakan tidak dimaklumkan mengenai pemilihan
calon-calon tertentu.
Satu sumber
lain pula memberitahu, kekecohan turut berlaku pada mesyuarat calon Pas
Kelantan di JKR 10 malam kelmarin apabila ada individu tidak tersenarai
dipanggil untuk mengambil borang penamaan, manakala yang telah tersenarai tidak
pula diminta berbuat demikian.
Kekecohan
dikatakan turut berpunca dengan pencalonan individu yang dikaitkan dengan pelbagai
masalah moral dan skandal kerana tindakan itu dikhuatiri menjejaskan peluang
Pas bagi mempertahankan Kelantan.
Malah,
dikatakan ada individu tertentu yang belum menerima watikah pencalonan, diminta
mengisi borang dan mengambil gambar untuk dijadikan poster kempen.
Masalah
berkenaan turut dikaitkan dengan ketidakcekapan pengurusan parti yang dilihat
begitu ghairah membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ke Putrajaya
sehingga mengabaikan hal dalaman.
Difahamkan,
bagi mengelak pergolakan lebih serius, semua calon telah diminta berbaiah,
namun tidak dapat pasti sama ada ia akan dipatuhi atau sebaliknya. -Utusan Online
No comments:
Post a Comment