KUALA
LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua calon Barisan Nasional (BN) supaya
sentiasa merendah diri apabila bertemu dengan pengundi dan bukannya bersikap
menunjuk-nunjuk kekayaan yang ada.
Timbalan Perdana
Menteri berkata, sikap menunjuk-nunjuk yang dimaksudkan umpamanya bertemu
pengundi dengan menaiki kereta mewah seperti Mercedes- Benz, Porsche atau
Lamborghini yang jika itu berlaku, calon berkenaan langsung tidak mencerminkan
sifat sebagai calon BN sebenar.
Beliau
berkata, calon-calon harus sedar bahawa dalam saat kritikal ini segala
perilaku, perwatakan, gerak-geri dan percakapan mereka sentiasa dinilai dan
diteliti oleh pengundi.
"Saya
minta apabila turun menemui pengundi merendah dirilah. Cakaplah dalam bahasa
yang baik, bawalah rupa yang lebih manis. Dengar betul-betul apa yang pengundi
ucapkan kepada kita.
"Jangan
paling muka ke tempat lain. Bila bersalaman dengan pengundi lihatlah mata
mereka. Genggam tangan mereka erat-erat. Jangan pandang ke tempat lain,"
katanya.
Tambah
Muhyiddin, pengundi adalah raja dan calon-calon perlu menerima hakikat bahawa
mereka sebenarnya adalah hamba rakyat.
Beliau
berkata, kuasa pengundi adalah besar dan di tangan mereka akan menentukan siapa
calon yang menang dan parti mana yang berjaya.
"Saya
minta sekali lagi kepada semua calon jangan menunjuk-nunjuk. Waktu ini semuanya
sensitif. Bila kita keluarkan satu perkataan pun dinilai. Satu langkah kita pun
diteliti. Satu perbuatan kita dikaji. Setiap apa yang hendak kita lakukan
hendaklah dibuat secara berhati-hati.
"Dalam
situasi sebegini pengundi cukup sensitif dan mereka menilai tentang apa yang
kita lakukan. Saya beri nasihat tadi ikhlas supaya kita semua lebih peka,"
katanya.
Jelas
Muhyiddin, beliau sendiri pernah menerima nasihat yang serupa ketika mula-mula
menceburi bidang politik.
Dalam
perkembangan sama, Timbalan Perdana Menteri berkata, setelah segala usaha
dibuat, semua calon mesti bertawakal kepada Allah kerana pada akhirnya
penentuan akan dibuat oleh Yang Maha Esa.
"Oleh
itu pada hari-hari yang mendatang ini bagi yang terpilih dalam kalangan orang
Islam bertawakallah. Dalam kitab suci al-Quran ada disebut apabila kita sudah
berazam dan bertekad serta berusaha, selepas itu kita bertawakal kepada Allah.
"Kepada
calon bukan Islam, bertawakallah mengikut kepercayaan agama masing-masing. Yang
menentukan segala-galanya bukan kita, yang menentukan ialah Allah,"
katanya. - Utusan Online
No comments:
Post a Comment