SHAH ALAM -
Barisan Nasional (BN) Selangor membariskan 80 peratus calon muka baharu yang
diyakini mampu merampas semula negeri ini daripada pakatan pembangkang pada
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.
Ketika
menyampaikan amanat dalam majlis pengumuman calon parti itu di sini pagi ini,
Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi BN negeri berkata, calon BN
negeri ini terdiri daripada profesional seperti peguam, doktor, akauntan, ahli
perniagaan dan jurutera.
Beliau
menyifatkan barisan calon tersebut merupakan satu keputusan yang dibuat selaras
dengan harapan serta jangkaan rakyat Selangor kepada BN.
"Senarai
calon BN negeri yang dikemukakan kali ini (untuk PRU-13) merupakan satu
perubahan yang amat besar dalam landskap politik Selangor. "Maka sudah
tentu penilaian calon kita ini mesti daripada mereka yang berkelulusan dan
berwibawa selaras dengan negeri Selangor yang taraf pembangunannya adalah
tinggi.
"BN
sebagai sebuah parti yang tunduk kepada kuasa dan kehendak rakyat, maka kita
perlu ambil keputusan yang mencerminkan keyakinan rakyat terhadap parti
kita," katanya.
Pada masa
sama, Najib turut menggelarkan bahawa senarai calon BN negeri ini sebagai
senarai transformasi yang bukan hanya terbaik dan mampu memenuhi kehendak
rakyat semata-mata, malah berupaya menjangkau lebih dari itu untuk masa depan
Selangor.
Jangkaan
itu, jelasnya, tidak hanya mengembalikan pentadbiran Selangor di bawah BN
semata-mata tetapi untuk memastikan parti itu menubuhkan sebuah kerajaan negeri
yang kuat di negeri ini.
"Setelah
lima tahun apa yang diharapkan oleh rakyat Selangor telah berkesudahan dengan
kekecewaan. Janji kerajaan Selangor yang sedia ada (di bawah pakatan
pembangkang) tinggal sebagai janji.
"Oleh
itu, bagi pihak BN Selangor, segala aku janji yang kita buat, kita akan
tunaikan. Kita akan memastikan aku janji itu dilaksanakan sebaik-baik
mungkin," jelasnya lagi.
Najib turut
menyatakan komposisi kerusi BN di negeri ini iaitu UMNO akan bertanding
sebanyak sembilan kerusi Parlimen dan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
manakala MCA di tujuh kerusi Parlimen dan 14 kerusi DUN.
Selain itu,
katanya, MIC juga akan bertanding di empat kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN,
Gerakan (satu kerusi Parlimen, tiga kerusi DUN) manakala Parti Progresif
Penduduk (PPP) akan bertanding satu kerusi DUN.
Malah,
Najib turut menyatakan senarai calon BN Selangor pada PRU-13 ini akan turut
ditandingi calon daripada rakan BN di kawasan Parlimen Shah Alam yang diwakili
seorang peguam, Datuk Zulkifli Noordin.
"Oleh
itu saya harap calon kita berjaya menzahirkan bahawa mereka akan mendapatkan
kepercayaan rakyat terhadap BN. Saya yakin inilah calon-calon yang akan berjaya
tebus kekalahan kita dan kembalikan BN sebagai pemerintah di Selangor,"
ujar Najib.
Sementara
itu, Najib akan bertindak mengawasi perjalanan kerajaan Barisan Nasional (BN)
di Selangor sekiranya parti itu berjaya mendapat mandat daripada rakyat untuk
kembali mentadbir negeri ini selepas PRU-13.
Pengerusi
BN itu berkata, beliau juga akan terus memberikan bantuan bagi melaksanakan
perubahan dan pembangunan lebih pesat dalam memastikan apa yang dituntut rakyat
Selangor dapat ditunaikan.
"Sekiranya
ada kelemahan sebelum ini, kita akan perbetulkan kelemahan itu dengan
sebaik-baiknya," katanya.
Najib yang
juga Pengarah Pilihan Raya BN Selangor berkata, BN akan melancarkan manifesto
khas di peringkat negeri melibatkan aku janji yang akan dilaksanakan sekiranya
berjaya mentadbir negeri ini kelak.
Pelancaran
aku janji itu akan diadakan pada pukul 8.30 malam esok di Pusat Konvensyen Shah
Alam di sini.
Dalam masa
sama, Najib mengharapkan senarai calon yang dikemukakan mendapat sokongan semua
pihak meskipun mengakui tidak mampu memenuhi kehendak semua pihak berhubung
perkara tersebut.
"Apa
yang penting adalah sokongan kepada BN, sebab kalau parti menang dan berjaya
sudah pasti ada harapan untuk kita terus membela rakyat," katanya.
No comments:
Post a Comment