SHAH ALAM—
Seorang ahli akademik, Prof. Madya Dr. Ismail Sualman hari ini meramalkan
kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang akan tumbang pada pilihan
raya umum 5 Mei depan ekoran "gelombang kemarahan" rakyat terhadap
banyak janji yang dibuat pada pilihan raya lepas masih tidak ditunaikan.
Dr. Ismail
dari Fakulti Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini
berkata, masanya akan tiba tidak lama lagi bagi rakyat Selangor untuk menghukum
kerajaan pakatan pembangkang melalui peti undi di atas kemungkiran janji dan
kelemahan yang ketara selama lima tahun memerintah.
"Setiap
pengundi ada hak untuk menyatakan kekesalan dan kekecewaan terhadap kerajaan
negeri, dengan tidak lagi mengundi Pakatan Rakyat.
''Maknanya
inilah hukuman yang bakal diterima oleh kerajaan negeri yang tidak menunjukkan
prestasi dan tidak menunaikan janji-janji,"
"Inilah
yang paling nyata sekarang. Itu sebabnya gelombang kemarahan rakyat dah ada.
''Gelombang kemarahan nak menjatuhkan kerajaan sedia ada dan balik kepada
kerajaan Barisan Nasional (BN) dah mula bergerak," katanya dalam satu
temuramah.
Sebagai
contoh, beliau berkata, inilah satu-satunya kerajaan negeri yang paling banyak
disaman oleh rakyatnya sendiri dalam sejarah negara, ekoran tindakan sedemikian
oleh kira-kira 3,000 ibu tunggal baru-baru ini kerana kerajaan negeri gagal
menunaikan janji pemberian bantuan kepada golongan itu.
Dr. Ismail
berkata, kerajaan pakatan pembangkang mengamalkan dasar pilih kasih dalam
pengagihan bantuan kepada ibu tunggal, suri rumah dan warga tua dengan memberi
hanya kepada penyokong parti-parti mereka, berbanding apa yang dilakuklan oleh
BN melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinikmati oleh rakyat tanpa
mengira parti politik mana yang mereka sokong.
"Kerajaan
Selangor yang ini, tidak beri kepada ibu tunggal yang tidak menyokong parti
Pakatan Rakyat. Ini satu kerajaan yang tidak adil.
''Juga bila
katakan anak nak masuk ke pusat pengajian tinggi, dia akan siasat siapa
keluarga dia. Kalau katakan dia keluarga orang UMNO, dia tidak akan bagi dan
ini yang berlaku sebenarnya.
"Maknanya
pilih bulu, pilih kasih. Bila ini berlaku saya rasa parti begini tidak akan
disokong lagi kerana dia hanya berikan pada orang yang ada kepentingan
sahaja,'' tegasnya.
Satu lagi
contoh, menurut beliau, banyak elaun untuk suri rumah yang menjaga anak atau
yang hantar anak ke tadika yang dijanjikan dalam manifesto mereka dahulu masih
tidak diberi. Banyak janji yang tidak ditepati yang boleh menyebabkan kerajaan
Pakatan Rakyat akan kalah pada pilihan raya kali ini," kata Dr. Ismail.
Beliau juga
berkata memang kerajaan negeri menunaikan janji pemberian air percuma 20 meter
padu pertama tetapi mereka yang tinggal di rumah-rumah pangsa atau rumah
bertingkat yang kebanyakan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak
menggunakan meter secara individu sebenarnya tidak mendapat nikmat apa pun.
Dasar air
percuma yang dipertikaikan kewajarannya oleh banyak pihak ini lebih
menguntungkan kumpulan-kumpulan yang tidak sepatutnya mendapat air percuma
seperti mereka yang tinggal di rumah-rumah mewah, tambahnya.
Dr. Ismail
berpendapat apa yang berlaku di Selangor sudah tentu membuka mata pengundi
bukan sahaja di negeri ini tetapi juga memberi impak kepada pengundi di seluruh
Malaysia secara umumnya.
"Kerana
apa yang berlaku di Selangor ini akan juga menjadi tempias kepada negeri-negeri
lain. Dan sudah tentu dia akan memberi kesan implikasi kepada corak trend
pengundian pada kali ini," katanya.
Beliau
berkata, rakyat Selangor juga "sangat marah" kerana kerajaan negeri
di samping mempolitikkan isu air, juga melakukan perkara yang sama terhadap
soal pendidikan kerana pentadbiran negeri masuk campur dalam urusan Universiti
Selangor (Unisel).
"Unisel
ini boleh jadi bankrap kerana terlalu banyak dipolitikkan hingga soal dalaman
seperti siapa jadi Naib Canselor dan sebagainya ditentukan oleh (Penasihat PKR)
Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
''Unisel
menurun jumlah pelajarnya, daripada begitu banyak sehingga sekarang ini dah
begitu banyak berkurangan," tambahnya.
Beliau
berkata, tidak dapat dinafikan akan berlaku "pertempuran sengit" di
antara BN dan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum kali ini dan Selangor
akan kembali kepada pangkuan BN sekiranya BN meletakkan "winnable
candidate" atau calon-calon boleh menang yang mewakili nurani hati dan
dekat dengan rakyat.
Kesimpulannya
pentadbiran lima tahun pakatan pembangkang di Selangor merupakan tempoh
"janji tinggal janji", sehingga manifesto yang dahulu pun tidak
dianggap sebagai janji, katanya.
"Kalau
sesuatu janji itu hanya tinggal janji dan tidak dilaksanakan seperti yang saya
dapati dalam kajian saya, ini dah menipu rakyat." Merujuk kepada manifesto
pakatan pembangkang untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini, Dr Ismail
berkata manifesto yang baharu lebih banyak memansuh daripada membina.
"Cuba
tengok sendiri dalam manifesto baharu ini...menghapus itu, menghapus ini, dia
tak cakap nak membina. Menghapus tol sebagai contoh tetapi dia nak buat tol
daripada Tanah Besar sampai George Town...dia tulis situ terowong bertol tetapi
dalam manifesto hapuskan tol. Yang mana satu ni? Manifesto itu dari awal-awal
lagi dah menipu," katanya. – BERNAMA/Utusan Online
No comments:
Post a Comment