Showing posts with label Pilihan Raya. Show all posts
Showing posts with label Pilihan Raya. Show all posts

Thursday, June 27, 2013

ADUN BN TERENGGANU MENINGGAL DUNIA, PILIHAN RAYA KECIL PERTAMA 2013

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Terengganu Dr. Abdul Rahman Moktar yang berusia 55 tahun meninggal dunia pada pukul 10.18 pagi semalam kerana penyakit barah paru-paru.

Jawatan yang disandang Allahyarham semasa hayatnya
Adun Barisan Nasional (BN) yang juga merupakan Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerajaan negeri Terengganu itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Perkara ini telah disahkan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said kepada agensi berita nasional Bernama.

Ini bermakna, pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan tidak lama lagi buat pertama kalinya selepas pilihan raya umum 5 Mei.

Abdul Rahman menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Azizah Omar dan empat orang anak.

Abdul Rahman mendapatkan ijazah kedoktorannya di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran lagi di Kolej Perubatan Filipina di Manila.

Abdul Rahman merupakan anak kelahiran Pulau Perhentian, Kuala Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan PRK dalam masa 60 hari selepas menerima notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

BN pada ketika ini menguasai 17 kerusi DUN manakala Pakatan Rakyat (PR) mempunyai 15 kerusi.

Kematian Abdul Rahman menyebabkan BN hanya tinggal 16 kerusi dan kemenangan PR pada PRK akan datang akan menyebabkan DUN Terengganu tergantung. – The Malaysian Insider

KD: Walaupun Pilihan Raya Kecil, namun pasti ia akan menjadi PRK pembuka yang paling hangat..

Friday, February 22, 2013

IDEAS SERU RAKYAT, KORPORAT MENYOKONG PEMERHATI PILIHAN RAYA 
KUALA LUMPUR — Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (IDEAS) menyeru rakyat dan syarikat-syarikat korporat dan agensi-agensi yang sesuai memberikan bantuan kewangan, kerana mereka tidak mendapat apa-apa pembiayaan dana daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ini merupakan satu tanggungjawab yang amat berat dan penting, terutama kerana kita sedia maklum bahawa pilihan raya umum ke-13 akan berlangsung dalam jangka masa terdekat," menurut IDEAS dalam satu kenyataan hari ini.

IDEAS turut melancarkan laman web untuk pemantau pilihan raya, www.pemerhati.my dan mensasarkan pemerhatian di 70 kawasan seluruh Semenanjung Malaysia.

IDEAS mensasarkan kerusi-kerusi tersebut kerana dianggap sebagai "panas", serta sedang giat menjalankan jelajah semenanjung Malaysia untuk merekrut dan melatih sukarelawan pemerhati.

Projek ini bersama-sama dengan ASLI Centre for Public Policy Studies, Merdeka Centre, dan Konfederasi Orang Kurang Upaya Malaysia.

IDEAS juga menyeru orang ramai untuk mendaftar untuk menjadi sukarelawan pemerhati pilihan raya bertauliah.

"Untuk menjadi sukarelawan pemerhati, anda mestilah warganegara Malaysia berumur 21 ke atas, bukan seorang yang telah disabit kesalahan oleh mahkamah; bukan seorang bankrap yang belum dilepaskan; bukan seorang yang memegang jawatan atau bergerak aktif dalam mana-mana parti politik; dan dapat bekerjasama dan mengamalkan sikap berkecuali," menurut IDEAS lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, peranan sukarelawan pemerhati pilihan raya bertauliah adalah untuk memerhati, merekod dan melaporkan proses pilihan raya umum ke-13.

"Kami akan memberikan latihan dan juga semua borang yang diperlukan oleh sukarelawan pemerhati. Sukarelawan perlu menghantarkan borang-borang tersebut kembali kepada kami setelah diisi sepanjang tempoh pemerhatian.

"Borang-borang tersebut mengandungi soalan-soalan terperinci mengenai apa yang disaksikan oleh sukarelawan dalam kawasan pemerhatian mereka," menurut kenyataan itu lagi.

IDEAS juga akan melatih sukarelawan pemerhati bagaimana untuk mengisi borang-borang untuk menganalisa data dan menulis satu laporan yang lengkap selepas pilihan raya.

Pilihan raya mesti diadakan sebelum Jun ini, dan dikatakan paling sengit di antara gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN), dan pakatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR).— Bernama/ The Malaysian Insider

Thursday, September 13, 2012

PILIHAN RAYA DUN SELANGOR BERASINGAN?

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini membuat keputusan melalui mesyuarat pimpinan tertinggi bahawa Selangor akan menjalankan pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) secara berasingan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini berkata, keputusan itu diambil kerana Selangor merupakan negeri yang mempunyai pertambahan pengundi yang ramai dan tidak dapat diselesaikan.

Jelasnya, Pakatan Rakyat yang bersetuju dengan pandangan yang diutarakan oleh Mentei Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengatakan bahawa senarai nama daftar pengundi yang meragukan gagal dibersihkan sepenuhnya.

"Keputusan telah kita perolehi bahawa Selangor akan melakukan pilihanraya berasingan dan ini diputuskan apabila kita mendapati negeri ini merupakan jumlah pertambahan pengundi yang ramai serta meragukan.

"Kita melihat perkara tersebut sebagai masalah yang tidak dapat diselesikan yang mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal untuk membersihkan senarai nama pengundi," katanya.

Pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula menyatakan Kelantan akan turut serta untuk membubarkan Dun bersekali dengan pembubaran parlimen pada pilihan raya nanti.

"Kerajaan Negeri Kelantan telah memutuskan untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan Kerajaan Pusat.

"Namun perkara tersebut belum diputuskan oleh Kedah pada waktu ini sama ada ingin mengadakan pilihan raya berasingan atau pun tidak," kata beliau.

Sementara itu, Pakatan Rakyat juga akan turut membuat pertimbangan jika Pulau Pinang ingin membuat pilihan raya berasingan jika Ketua Menteri merasakan daftar pemilih yang ada sekarang meragukan. -Harakahdaily

KD: Macam pelik pula apabila pilihan raya dibuat secara berasingan. Bukankah lebih mudah jika diselaraskan?