KUALA LUMPUR — Institut Demokrasi dan
Hubungan Ekonomi (IDEAS) menyeru rakyat dan syarikat-syarikat korporat dan
agensi-agensi yang sesuai memberikan bantuan kewangan, kerana mereka tidak
mendapat apa-apa pembiayaan dana daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Ini merupakan satu
tanggungjawab yang amat berat dan penting, terutama kerana kita sedia maklum
bahawa pilihan raya umum ke-13 akan berlangsung dalam jangka masa terdekat,"
menurut IDEAS dalam satu kenyataan hari ini.
IDEAS turut melancarkan laman web
untuk pemantau pilihan raya, www.pemerhati.my dan mensasarkan pemerhatian di 70
kawasan seluruh Semenanjung Malaysia.
IDEAS mensasarkan kerusi-kerusi
tersebut kerana dianggap sebagai "panas", serta sedang giat
menjalankan jelajah semenanjung Malaysia untuk merekrut dan melatih sukarelawan
pemerhati.
Projek ini bersama-sama dengan ASLI
Centre for Public Policy Studies, Merdeka Centre, dan Konfederasi Orang Kurang
Upaya Malaysia.
IDEAS juga menyeru orang ramai untuk
mendaftar untuk menjadi sukarelawan pemerhati pilihan raya bertauliah.
"Untuk menjadi sukarelawan
pemerhati, anda mestilah warganegara Malaysia berumur 21 ke atas, bukan seorang
yang telah disabit kesalahan oleh mahkamah; bukan seorang bankrap yang belum
dilepaskan; bukan seorang yang memegang jawatan atau bergerak aktif dalam
mana-mana parti politik; dan dapat bekerjasama dan mengamalkan sikap
berkecuali," menurut IDEAS lagi.
Menurut kenyataan itu lagi, peranan
sukarelawan pemerhati pilihan raya bertauliah adalah untuk memerhati, merekod
dan melaporkan proses pilihan raya umum ke-13.
"Kami akan memberikan latihan
dan juga semua borang yang diperlukan oleh sukarelawan pemerhati. Sukarelawan
perlu menghantarkan borang-borang tersebut kembali kepada kami setelah diisi
sepanjang tempoh pemerhatian.
"Borang-borang tersebut
mengandungi soalan-soalan terperinci mengenai apa yang disaksikan oleh
sukarelawan dalam kawasan pemerhatian mereka," menurut kenyataan itu lagi.
IDEAS juga akan melatih sukarelawan
pemerhati bagaimana untuk mengisi borang-borang untuk menganalisa data dan
menulis satu laporan yang lengkap selepas pilihan raya.
Pilihan raya mesti diadakan sebelum
Jun ini, dan dikatakan paling sengit di antara gabungan pemerintah Barisan
Nasional (BN), dan pakatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR).— Bernama/ The Malaysian
Insider
No comments:
Post a Comment