MENJELANG PRU, PAS TERAGAK-AGAK DENGAN ANWAR SEBAGAI CALON PM
KUALA LUMPUR — Pemimpin PAS telah
mempersoalkan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri
sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya memenangi kerajaan persekutuan pada
Pilihan Raya 2013, dengan satu sumber mengesahkan mereka telah menawarkan
kepada pemimpin Umno Tengku Razaleigh Hamzah jawatan tertinggi tersebut.
Sumber memberitahu The Malaysian
Insider, persoalan tersebut timbul dalam satu mesyuarat tertutup antara PAS dan
PKR pada Ahad selepas kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang Sabtu lalu parti
Islam itu tidak teragak-agak meninggalkan PR sekiranya pakatan tersebut
merugikan orang-orang Melayu dan Islam.
“Pemimpin tertinggi PAS itu
mengatakan ‘haram’ bagi Anwar untuk meminta jawatan perdana menteri,” kata satu
sumber PR yang tidak mahu dinamakan kepada The Malaysian Insider.
“Kemudian seorang pemimpin tertinggi
PKR menjawab, Anwar tidak pernah meminta jawatan sebagai perdana menteri
sebaliknya rakyat yang mengangkatnya dan ini sudah dipersetujui oleh PAS dan
DAP semenjak pilihan raya umum 1999,” tambah sumber tersebut.
Pas jemput Tengku Razaleigh
Menurut satu sumber lain dari PR,
satu pertemuan telah dilakukan diantara pemimpin tertinggi PAS dengan Ahli
Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bagi menjemput bekas menteri
kewangan itu untuk menjadi perdana menteri sekiranya PR berjaya mendapatkan
majoriti kerusi parlimen selepas pilihan raya akan datang.
“Pakatan perlu ingat, mereka perlu
konsisten dalam isu siapa bakal perdana menteri ini. Jangan nanti rakyat nampak
kita Flip-Flop,” tambah sumber tersebut memetik perkataan yang digunakan untuk
menyerang musuh politik mereka Barisan Nasional (BN).
Masih belum jelas jika langkah
pemimpin PAS itu disokong secara meluas dalam parti Islamis itu. Mursyidul Am
PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan ahli parlimen parti tersebut telah
menyokong Anwar selama ini.
Namun, nampaknya terdapat beberapa
langkah untuk memberitahu akar umbi PAS ia adalah penting dalam PR, dan satu
cara untuk menunjukkannya adalah dengan mendapatkan jawatan perdana menteri.
Walau bagaimanapun, kepercayaan
seperti ini oleh PAS tidak mungkin mendapat sokongan dari DAP dan PKR yang
tegas dalam menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
Siapa PM jika PR rampas Putrajaya
Isu siapa bakal perdana menteri PR
sekiranya dapat merampas Putrajaya timbul dua minggu lalu apabila dilaporkan
Majlis Syura Ulama PAS dalam sebuah perbincangan tertutup melibatkan beberapa
anggota majlis tersebut menolak Anwar sebagai calon perdana menteri PR dan
berkemungkinan melantik calon dari luar bagi menggalas jawatan tersebut.
Walau bagaimanapun Pengerusinya Nik
Aziz menafikan laporan Utusan Malaysia itu dan menyifatkan dakwaan tersebut
sebagai satu fitnah yang cuba dilemparkan terhadap PAS bagi melaga-lagakan
parti tersebut dengan rakan sekutunya dalam PR, menurut agensi berita Bernama.
Pengerusi DAP Karpal Singh sekali
lagi menegaskan, minggu lalu Anwar akan menjadi perdana menteri jika
pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya 2013.
Ketidaksefahaman PAS dan PKR
Ketidaksefahaman PAS dan PKR mengenai
siapa bakal calon perdana menteri dijangka akan menjejaskan PR walaupun pakatan
pembangkang tersebut dianggap paling terusun sebagai pencabar BN dalam sejarah.
Umno pernah menggesa PAS keluar
daripada PR pada 2011 serta mencadangkan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan
dengan parti Islam itu.
PAS setakat ini konsisten menolak
idea kerajaan perpaduan dan kerjasama politik dengan Umno kerana tidak mahu
episod lama pada tahun pada 1970-an berulang lagi apabila parti Islam tersebut
ditendang keluar dari gabungan BN.
Umno juga dilaporkan mendakwa PAS
hanyalah menjadi alat kepada parti DAP.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad pernah mengatakan PAS perlu bertindak di luar PR kerana gabungan PAS,
PKR dan DAP itu adalah palsu dan merugikan orang Melayu.
Menjelang PRU-13
PAS akan bertanding 70 daripada 222
kerusi parlimen dalam Pilihan Raya 2013 yang perlu diadakan tidak lama lagi dan
membiarkan selebihnya untuk ditandingi oleh rakan PR, DAP dan PKR.
No comments:
Post a Comment