Wednesday, July 11, 2012


RAKYAT JANGAN TAKUT TEGUR PEMIMPIN

PULAU PINANG 10 Julai - Rakyat perlu berani menegur mana-mana pemimpin yang didapati melakukan perkara tidak betul sehingga boleh memudaratkan pentadbiran negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tindakan itu wajar supaya pemimpin terbabit sedar bahawa apa yang dilakukannya adalah salah.

Menurutnya, ada di kalangan pemimpin terlalu leka dibuai puji-pujian sehingga pemikiran mereka menjadi rosak.

"Kita kena tegur pemimpin kalau dia buat perkara tidak betul, marah dia.

"Tapi saya tengok kalau pemimpin itu buat tidak betul, dalam ucapannya semua bangun tepuk tangan.

"Jadi pemimpin pun naik seronok, kembang (bangga). Bila orang puji sangat, pemikiran dia pun rosak sikit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Wakil-wakil pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Mahathir menambah, tindakan menegur pemimpin merupakan tanggungjawab rakyat supaya kerajaan yang didirikan menjadi kuat dan mampu membawa negara ke arah kemajuan serta kesejahteraan.

"Apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kuat dan kukuh dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, kita pula mesti menjalankan tugas kita.

"Tugas kita adalah beritahu pemimpin apabila dia membuat sesuatu yang salah," ujarnya.

KD: Sebagai 'senior' dalam arena politik, setiap nasihat dari Tun M amatlah jelas dan relevan. Justeru, apabila Bapa Pemodenan ini menyarankan perkara ini, KD amat setuju. Ini kerana,amalan tegur- menegur adalah tindakan yang digalakkan untuk membetulkan kesilapan masing-masing. Tambahan pula, kini terdapat banyak cara untuk rakyat menegur pemimpin, sebagai contoh melalui Facebook, Twitter atau sebagainya. Jelaskan apa yang terbuku di hati, termasuk pendapat atau cadangan yang bernas, bukan untuk kepentingan sendiri tetapi memberi manfaat kepada semua. Apa yang penting, cara teguran itu perlulah berhemah dan melalui saluran yang betul. 

Tuesday, July 10, 2012

AMUK DI JPM??

Kejadian amuk di Bangunan Jabatan Perdana Menteri Putrajaya petang semalam memang mengejutkan ramai orang. Apa tidaknya, si penyerang bersama pasangan bertindak menceroboh bangunan, mengamuk  dengan membawa pedang samurai bersamanya.

Sungguh menggemparkan. Bayangkan jika kita berada di tempat terbabit. Pastinya terasa nyawa di hujung tanduk. Mujurlah pihak polis dan keselamatan bertindak cepat. Jika tidak, pasti banyak nyawa terkorban.

Selepas kejadian, penyerang yang cedera dibawa ke Hospital Putrajaya dan lewat petang semalam dilaporkan beliau sudah meninggal dunia.
Kini, tinggal persoalan tentang apakah tujuan dan motif penyerang. Justeru, kejadian ini wajar disiasat. Soal keselamatan bukan gurauan. Setiap kejadian perlu dijadikan pengajaran.                


BELASUNGKAWA: PUAN AZAH AZIZ 
Malaysia kehilangan seorang tokoh budaya tersohor, Azah Aziz, 83, atau nama penuhnya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, yang cukup dikenali sebagai seorang yang amat cintakan khazanah alam Melayu.

Isteri kepada Profesor Diraja Ungku Aziz itu menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira 10 pagi tadi akibat serangan angin ahmar.

Profesor Diraja Ungku Aziz bersama Azah Aziz. – Foto ihsanDilahirkan pada 21 Ogos 1928 di Singapura dan dibesarkan di Johor Baharu, Azah yang turut dikenali sebagai Mak Ungku mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Convent, Johor Bahru.

Menurut buku biografinya berjudul "Azah Aziz: Kartika di Langit Seni" yang diterbitkan pada 2002, Azah melalui zaman remajanya ketika perang Jepun dan pengajian beliau terganggu semasa perang.

Selepas perang tamat, beliau berhasrat untuk menyambung pelajaran tetapi dilamar oleh Ungku Aziz dengan kata-kata: "Berkahwin dengan saya sama seperti menuntut pelajaran tinggi di sebuah universiti.”

Azah, ibu kepada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, dikenali sebagai seorang yang cukup arif tentang dunia pakaian Melayu daripada jenis kainnya hinggalah kepada semua potongan pakaian tradisional.

Beliau yang sentiasa tampil manis berbaju kurung difahamkan mempunyai koleksi lebih 100 pakaian warisan lama seperti baju kurung, baju Melayu dan kebaya.

Azah juga amat menghargai keindahan pantun Melayu dengan merakamkan ketinggian tahap intelek orang Melayu di sebalik pilihan kata-kata yang halus dan penuh berseni.

Selain itu, Azah ialah antara wartawan wanita Melayu pertama dan pernah berkhidmat di Berita Harian, Singapura pada 1957 sebelum ke Utusan Melayu dan majalah Wanita.

Azah, yang juga anak saudara pengasas Umno Datuk Onn Jaafar, ialah pengasas Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Beliau juga mengasas Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) dan menjadi Ketua Satu yang pertama dari 1971 hingga 1978.

Ketika di Berita Harian, Azah mengendalikan ruangan wanita dan menulis tentang perlunya kaum ibu menyediakan makanan yang berzat untuk keluarga.

Menurut biografi itu, beliau memegang kuat pesanan ibunya iaitu: “Kalau kau hendak menolong orang Melayu, tulislah banyak-banyak tentang zat makanan.”

Beliau juga pernah menulis lebih 10 buku berkaitan pantun, seloka, hal wanita, pakaian tradisional serta kraftangan.

Pada 2008, Azah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kesenian dan Doktor Pendidikan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana ketokohannya dalam bidang kebudayaan dan kewartawanan.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Wanita Johor, Wanita Cemerlang Avon Tan Sri Fatimah, dan Anugerah Jarum Berlian.

Jawatan terakhir yang disandangnya ialah Pengerusi Prestige Communications Sdn Bhd dan penasihat utama kebudayaan dan tradisional Melayu.  – Bernama

KD: Pemergian tokoh budaya ini merupakan kehilangan yang besar bagi negara. Ini kerana, Allahyarhamah begitu gigih memartabatkan seni dan budaya Melayu teramat besar. Wajarlah Allahyarhamah digelar “Wanita Melayu Sejati’. Selepas ini, pasti payah (atau mungkin tiada) untuk mencari pengganti sepertinya. Jadi, hargailah segala sumbangan beliau. 
Takziah dan Al-Fatihah...

Monday, July 9, 2012

HUDUD DI JOHOR : REAKSI
Cadangan pelaksanaan hukum hudud oleh Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat terus mendapat rekasi positif dari pelbagai pihak. Mari kita tengok apakata mereka :
Pendakwah yang juga Eksekutif Unit Dakwah dan Pemasaran Khas Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abd Rahman berpendapat pelaksanan hukum hudud di negara ini amat perlu kerana ia sebenarnya sebuah sistem memberi kesaksamaan kepada manusia, sekali gus menyelesaikan masalah sedia ada. Malah, ia sangat relevan dengan keadaan masalah sosial dan jenayah yang kian berleluasa meskipun negara kita telah mempunyai undang-undang tersendiri.
Bagi pensyarah Jabatan Syariah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Dr Abdul Basit Abd Rahman berkata, hukum hudud sudah termaktub  dalam al-Quran, maka ia merupakan sebuah undang-undang yang mempunyai kekuatan yang tersendiri. Menurutnya, perbincangan lebih jelas perlu dilakukan bagi membentuk kefahaman dan kesedaran kepada orang ramai tentang perkara ini kerana ianya bersifat memberi pembelaan, bukannya cuba bersifat menzalimi manusia.
Penolong Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim),  Muhamad Faisal Abdul Aziz berkata, cadangan Datuk Ayub telah membuka mata rakyat bahawa agenda untuk melaksanakan hukum hudud yang menjadi kewajipan seluruh umat Islam di negara ini. Ini kerana hukum hudud bukan agenda yang dimiliki oleh sesuatu golongan sahaja, sebaliknya satu kewajipan untuk digalas umat Islam keseluruhannya. Justeru, cadangan ini perlu disambut baik oleh semua pemimpin Islam, kerana hukum hudud bukan sekadar polemik dan gimik politik untuk kepentingan politik tertentu semata-mata.
KD: Nampaknya banyak pihak yang menyokong cadangan Datuk Ayub ini. Baguslah. Beginilah caranya pemimpin Islam negara kita bertindak dan berkerjasama.
ANWAR: SENJATA UMNO DAN BN MAKIN TUMPUL
Anwar: Senjata Umno dan BN makin tumpul 
BAYAN BARU - Senjata digunakan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menyerang Pakatan Rakyat (PR) menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin tumpul, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Umno dan BN hanya menggunakan Buku Jingga untuk menyerang PR atas alasan pengisiannya tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Ketua Pembangkang itu menambah, tindakan Umno dan BN dianggap tumpul kerana apa yang dikatakan PR sudah dilaksanakan dan separuhnya akan diteruskan setelah PR menawan Putrajaya pada PRU13.

“Umno dan BN kini ketandusan idea untuk menyerang setelah pimpinan PR berjaya memerintah negeri dengan cekap dan baik selain membela nasib penduduk dan kebajikan rakyat,” kata beliau ketika berucap pada Konvensyen PKR Menjelang PRU13 di Sunshine Square, Bayan Baru, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mendakwa fitnah membabitkan pemimpin PR dalam video seks dianggap senjata lemah Umno dan BN untuk menyerang PR kerana rakyat kini pandai menilai yang mana baik dan salah.

Menurutnya, serangan peribadi seperti insiden menolak Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini dianggap keterlaluan sambil berharap insiden seperti itu harus ditentang.

“Pulau Pinang tidak boleh lemah dan harus menang dengan lebih baik berbanding PRU lalu. PR akan letak calon baru yang lebih baik dalam PRU13 menggantikan calon sedia ada,” kata beliau yang baru-baru menegaskan hasratnya mahu berundur daripada politik jika gagal dalam misi PRU13.

KD: DSAI memang hebat dalam berhujah.. sebab itulan beliau dengan 'selamba' mengeluarkan dakwaan demikian.. Sebenrnya, kenyataan demi kenyataan DSAi ini menimbulkan keraguan di kalangan rakyat.. sama ada benar hasratnya ikhlas untuk bersara atau tidak jika PR gagal menawan Putrajaya.. entah-entah semakin giat pula beliau berpolitik.. -Sinar Harian


ANWAR HANYA 'TEST MARKET', KATA RAFIZI

Anwar hanya 'test market', kata RafiziBAYAN BARU - Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mahu "test market" apabila mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan berundur dari politik jika perikatan itu gagal menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, kenyataan itu hanyalah satu cubaan Anwar untuk melihat bagaimana persepsi masyarakat, terutama penyokong PR sekiranya berundur daripada memimpin perikatan tersebut.

Beliau berkata, jika Anwar mengundurkan diri, bagaimana PR akan menang dan menawan Putrajaya jika tidak berjaya dalam cubaan kali ini.

 "Kelemahan PR ialah rakyat tidak kurang percaya kepada PKR dan kepimpinan Anwar. Anwar digambarkan pihak tertentu sebagai gila kuasa dan sanggup buat apa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PKR PRU13 di Sunshine Square. - Sinar Harian

KD: Boleh pulak 'test-market' dalam politik ye? Kelakar tapi pelik. Nampaknya Mr Rafizi sudah membuka rahsia pembangkang apabila mengeluarkan kenyataan ‘Kelemahan PR ialah rakyat tidak kurang percaya kepada PKR dan kepimpinan Anwar’. Alamak, apa sudah jadi? Adakah beliau sendiri atau ahli-ahli laian dalam PR masih belum yakin dengan ketua mereka. Jikalau begini, bukan sahaja Putrajaya, malah negeri pentadbiran pembangkang yang sedia ada pun pasti payah untuk dipertahankan.

Sunday, July 8, 2012

PRU13 PILIHAN RAYA PALING SENGIT - RAJA NONG CHIK
KUALA LUMPUR - Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menyeru agar pimpinan tinggi Umno dan setiap ahli merapatkan kembali barisan serta melupakan segala persengketaan dalaman bagi mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan ini berkata, wadah perpaduan amat penting bagi mementingkan majoriti undi diraih kerana persengketaan dalaman parti hanya menyukarkan misi bagi memenangi pilihan raya.

“Tanpa perpaduan yang kuat, misi menang ini tidak mungkin menjadi kenyataan dan hanya memberi laluan mudah dan kita mampu tumbang ke pihak lawan," tegas beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Beliau juga menegaskan bahawa PRU13 bakal menjadi pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah negara ini.

“Kita lihat saja sifat dan perwatakan yang dimainkan oleh pembangkang masa kini.

“Wadah perjuangan mereka yang berlandaskan fitnah bukan berpaksikan dasar perjuangan parti tidak dapat mengubah nasib rakyat,” kata beliau pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Titiwangsa, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Lembah Pantai berkata, apa saja produk kerajaan akan difitnah, ditomah dan dicaci, namun hakikatnya Barisan Nasional (BN)  tidak pernah berundur bagi membela nasib rakyat.

Beliau turut meletak harapan yang besar agar dapat meraih majoriti undi yang tinggi dalam PRU13 kerana yakin barisan jentera parti kini sudah siap sedia menghadapi pilihan raya.

“Corak politik BN sentiasa bertunjangkan janji demi rakyat dan tema ‘janji ditepati’ merupakan wadah perjuangan BN sejak dulu lagi kerana sentiasa bersedia dan berusaha memastikan semua janji ditunaikan,” katanya lagi.

Katanya, perjuangan BN berbeza dengan parti pembangkang yang hanya pandai menabur janji tetapi mustahil untuk ditunaikan.

"Pembangkang hanya pandai memanipulasi isu. Saya yakin masih banyak lagi janji yang belum mereka tunaikan kepada rakyat.

"Mereka hanya "talk and walk". Menabur janji dan bergerak tanpa segan silu walaupun janji hanya tinggal janji," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan. - Sinar Harian

KD: Setuju benar dengan kenyataan Datuk. Apa tidaknya KD, belum pun tarikh PRU-13 diumumkan, namun sudah pelbagai reaksi, andaian dan propaganda timbul. Pihak kerajaan, pembangkang termasuk Ngo bukan main rancak berpolitik. Ada kalanya KD sendiri berasa gusar bila hari itu datang. Diharapkan jangan ada pihak yang bertindak di luar batasan.