KD: Rasa syukur dan bertuah berada di bumi bertuah
ini..
Tuesday, January 1, 2013
SELAMAT TAHUN BARU 2013 KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA !!

Friday, December 28, 2012
WARGA INDONESIA SELESA CARI REZEKI DI MALAYSIA
KUALA LUMPUR:
Mencari rezeki dengan bekerja di Malaysia merupakan pilihan terbaik menurut pandangan
sebahagian warganegara Indonesia yang sudah lama bekerja di negara ini dalam
sektor-sektor yang dibenarkan kerajaan.
Mereka
mengakui murah rezeki di bumi Malaysia kerana terdapat banyak dan luasnya
peluang pekerjaan selain faktor majikan yang baik bagi yang bekerja sebagai
pembantu rumah, upah yang lumayan bagi pekerja sektor lain berbanding dengan di
kampung asal mereka dan berasa aman tinggal di sini dengan mempunyai surat
perjalanan dan visa yang lengkap.
Aspek surat
dan dokumen perjalanan yang sah sentiasa menjadi nasihat utama Duta Besar
Indonesia di Malaysia yang baru Herman Prayitno kepada warga Indonesia di segenap
ceruk rantau Malaysia.
Beliau tidak
mahu warga Indonesia yang bekerja di negara ini mengambil mudah hal ehwal
pengurusan dokumen penting seperti pasport dan pembaharuan permit kerja bagi
mengelak sebarang kesulitan kepada pekerja, yang sekali gus dapat pula menjamin
hak-hak mereka sebagai pekerja di negara ini.
"Selain
itu, warga Indonesia di Malaysia juga harus menjunjung undang-undang negara
ini, bekerja dengan baik dan hidup dengan aman," katanya pada satu
pertemuan dengan sebahagian warga negara Indonesia di sini baru-baru ini.
Sehingga kini
dianggarkan terdapat seramai dua juta warganegara Indonesia yang bekerja di
Malaysia dengan 20 peratus daripadanya bekerja sebagai pembantu rumah.
Banyak
pengalaman manis dan menarik yang dialami oleh tenaga kerja Indonesia di
Malaysia, juga cerita-cerita kejayaan mereka membantu menyara keluarga di tanah
air , malah mengumpul cukup wang untuk membeli serba sedikit harta seperti
rumah dan kenderaan di kampung halaman.
Seorang
pembantu rumah warga Indonesia, Sutini, 37, tidak pernah menyangka majikannya
memberikan limpahan kasih sayang dan menghormati dirinya sekali gus mengubati
kerinduannya kepada keluarga di Indonesia.
"Saya
sayang kepada majikan sebab saya hormati dia dan pada masa yang sama dia pun
hormati saya serta beri kebebasan kepada saya di sini...saya memang untung
mendapat majikan sepertinya.
"Dulu
saya pernah jaga ibu majikan saya semasa dia jatuh sakit, jadi dia (majikan)
tahu saya ikhlas. Saya jaga emaknya seperti ibu sendiri sebab saya pun tiada
ibu sejak kecil," katanya yang kemudiannya pula menjaga majikannya yang
disahkan doktor menghidap barah kerongkong.
Sutini yang
telah berkhidmat selama lapan tahun sebagai pembantu rumah kepada Ngeow Yee
Kong, 50, di Cameron Highlands turut diberi kepercayaan untuk menguruskan
perniagaan sayur setelah majikannya itu jatuh sakit.
Sementara itu,
seorang lagi pembantu rumah dari Indonesia, Khomisah Khasanudin, 39, berkata
umpama mimpi, beliau tidak menyangka berpeluang meningkatkan kemahiran dan
pengetahuan dengan belajar bahasa Inggeris apabila menjejak kaki ke Kuala
Lumpur.
"Apatah
lagi, dapat belajar pula secara gratis (percuma).(I) cannot believe. (When I)
go back home (to East Java) I can talk English," katanya ketika ditemui
Bernama di kelas yang diadakan di tingkat atas sebuah restoran makanan
Indonesia dekat Pasar Seni baru-baru ini.
Mengakui buta
huruf, beliau belajar dengan cara menghafal dan mengulangi lafaz dan kata-kata
untuk perbualan harian dalam bahasa Inggeris.
Bekerja di
rumah majikannya di Bangsar, dia hanya mengeluarkan belanja RM4 seminggu sekali
untuk tambang bas pergi balik ke kelas itu selain sedikit lagi untuk makan
tengah hari bersama rakan sekelas.
"Saya
juga beruntung kerana majikan tidak menghalang, sebaliknya sangat kuat
mendorong saya belajar untuk menambah pengetahuan," katanya, yang
menganggap Malaysia sebagai bumi bertuah baginya.
Sutini dan
Khomisah adalah dua cerita kejayaan rakyat Indonesia membina kehidupan yang
lebih baik untuk keluarga mereka di kampung halaman dengan hasil rezeki halal
yang diperolehi di Malaysia.
Banyak lagi
tenaga kerja Indonesia yang mempunyai cerita-cerita manis termasuk yang
berpeluang melawat ke pelbagai negara dan juga mengerjakan umrah bersama
majikan mereka.
Bagi Ketua
Kumpulan Ibu-Ibu Indonesia yang menetap di Malaysia atau dikenali 'IndoKL
Women', Yuri Hudiyana Utami yang sudah hampir 10 tahun menetap di negara ini
kerana mengikut suaminya yang bertugas sebagai Pengurus Teknologi Maklumat di
sebuah sekolah antarabangsa, rasa kekok menyesuaikan diri hanya sebulan dua
terawal sahaja.
Faktor bahasa
yang hampir sama, sosiobudaya yang tidak banyak berbeza, pelbagai kemudahan
awam dan keramahan rakyat Malaysia berbilang kaum serta keadaan aman damai
merupakan antara penambat hati mereka untuk terus menetap di negara ini.
"Layanan
baik yang saya terima daripada rakan dan sahabat handai Malaysia termasuk jiran
tetangga dan rakan-rakan sekerja suami, membuatkan saya cepat merasa seperti
berada di rumah sendiri. Saya percaya ramai lagi yang mempunyai pengalaman sama
dengan saya.
"Benar,
tidak susah untuk jatuh hati kepada Malaysia dan rakyatnya. Asal ikhlas bergaul
dengan jiran-jiran, kita dapat rasai keikhlasan dan penerimaan mereka...secara
tak langsung boleh ubah pandangan kita terhadap orang Malaysia dan juga
pandangan orang Malaysia terhadap orang Indonesia," katanya.
Beliau berkata
hal fasiliti yang lebih teratur dan sistematik serta sistem pemerintahan yang
diterajui dengan baik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut
memberi keselesaan kepada mereka untuk terus tinggal di sini.
Bagi wartawan
Aulia Badar pula, pengalaman yang ditimba di Malaysia bukan sekadar melaporkan
mengenai perkembangan ekonomi, sosio-budaya dan pendidikan di negara ini untuk
tatapan warga Indonesia, malah turut membuka peluang baginya berbakti kepada
sesama tenaga kerja Indonesia di sini.
Kelas latihan
bahasa Inggeris dan komputer dan yang diusahakannya dengan beberapa lagi ekspatriat
profesional Indonesia di sini sudah melatih lebih 100 rakan senegara menimba
kemahiran baru, malah kini diperluaskan dan dengan kebenaran Kedutaan Indonesia
dipindahkan ke premis tetap di Sekolah Indonesia di sini untuk menampung lebih
banyak permintaan. - BERNAMA/mStar
Thursday, December 27, 2012
HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT?
Himpunan
Kebangkitan Rakyat akan tetap berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 Januari
walaupun tanpa permit dari pihak berkuasa.
Aktivis
sosial Hishamuddin Rais memberitahu, pihak penganjur masih menunggu respon dari
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan dengan permohonan mereka untuk
manggunakan Stadium Merdeka, yang sudah dihantar minggu lalu.
Akan
tetapi, beliau menegaskan walaupun tiada permit, peserta perhimpunan boleh
berkumpul di keliling stadium secara aman.
“Saya hanya
mengulangi kata Md Sabu, jika tiada permit, kita akan berkumpul di sekeliling
stadium,” kata beliau merujuk kepada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, yang
merupakan pengerusi kepada perhimpunan tersebut.
“Saya tidak
fikir akan berlaku huru-hara, kecuali jika polis memulakannya. Saya fikir masa
tidak kondusif untuk ini….. tetapi kami tidak bimbang tentang itu dan akan
berhadapan dengannya jika berlaku,” kata Hishamuddin lagi.
Jika
perhimpunan ini berlangsung tanpa kebenaran, jalan raya di ibu kota akan sekali
lagi menjadi fokus dunia dan pergerakkan sivil seluruh negara, bersama parti
Pakatan Rakyat (PR) dan kumpulan anti-kerajaan lain, dalam menuntut beberapa
isu utama menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Hishamuddin
berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat akan menggabungkan semua pergerakan yang
tidak berpuas hati dengan dasar dan keputusan kerajaan, golongan pro-perubahan,
pro-demokrasi dan pro-pembangkang, dalam usaha untuk menakutkan parti
pemerintah dari menipu semasa pilihan raya akan datang.
“Kita tidak
berselindung memilih tarikh tersebut secara spesifik kerana ia dekat dengan
pilihan raya. Dan benar jika ada yang mengatakan ini politikal.
“Adalah
jelas ia adalah satu acara untuk melancarkan tekanan ke atas kerajaan hari ini
supaya mereka tidak akan melakukan penipuan besar-besaran semasa pilihan raya,
supaya ia tidak akan menjadi pilihan raya yang dicuri,” kata Hishammuddin.
Aktivis
tersebut, yang juga merupakan ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0,
mengingatkan walaupun perhimpunan ini bersifat politik, pengelibatan kumpulan
masyarakat sivil bermaksud mereka mahukan tuntutan mereka ditunaikan – dari
menuntut kilang Lynas ditutup di Kuantan, pemberian royalti yang adil,
pendidikan percuma dan pilihan raya bebas dan adil.
“Kumpulan
ini telah menyuarakan tuntutan mereka, dan bukan sahaja untuk kerajaan hari ini
akan tetapi termasuk kerajaan akan datang.
“Tuntutan
ini masih sah kepada pemerintah akan datang, tolong ingat ini,” kata
Hishamuddin sebelum menambah bahawa tuntutan pilihan raya bebas dan adil adalah
mesej utama perhimpunan tersebut.
Penganjur
mensasarkan satu juta orang untuk hadir ke Stadium Merdeka pada 12 Januari dengan
warna hijau anti-Lynas, kuning Bersih 2.0, oren pergerakan anti Felda Group
Venture Holdings (FGVH) dan merah untuk kumpulan yang menuntut royalti.
Kumpulan
menuntut reformasi pilihan raya Bersih 2.0 tahun lalu cuba untuk mengadakan
perhimpunan di Stadium Merdeka tetapi diketepikan oleh kabinet Datuk Seri Najib
Razak pada saat akhir.
Peserta
perhimpunan walau bagaimanapun meneruskan perhimpunan di jalan-jalan di ibu
negara pada 9 Julai 2011 menyebabkan keadaan huru-hara apabila polis anti
perusuh menawan kawasan terbabit dengan menggunakan gas pemedih mata dan meriam
air.
Perhimpunan
tersebut menyebabkan pergerakan hak asasi manusia bercambah disamping kecaman
antarabangsa terhadap kerajaan Najib di atas tindakan keras polis kepada
peserta perhimpunan.
Dua
perubahan besar dilakukan akibat daripada perhimpunan tersebut - iaitu Akta
Perhimpunan Aman 2011 digubal untuk mengawal perhimpunan awam dan kerajaan
membentuk sebuah jawatankuasa terpilih Parlimen (PSC) untuk reformasi pilihan
raya bagi melihat ke atas tuntutan Bersih 2.0.
Bersih 2.0
menganjurkan satu lagi perhimpunan tahun ini selepas mengatakan reformasi
pilihan raya tidak mencukupi dan tidak ikhlas, walaupun terdapat akta untuk
perhimpunan aman, perhimpunan pada 28 April menjadi lebih ganas dari
sebelumnya.
Kali ini,
peserta perhimpunan berkumpul untuk “duduk bantah secara aman” di Dataran
Merdeka, dimana pihak berkuasa menutup kawasan tersebut selepas mendapat
perintah mahkamah melarang peserta memasuki kawasan tersebut. - The Malaysian
Insider
NIK AZIZ PERLU TARIK FATWA MENGENAI UMNO MURTAD DAN
MUNGKAR - AHMAD MASLAN
KOTA
BAHARU: Selain Amanat Hadi yang perlu ditarik balik Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang kerana menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam negara
ini, Mursyidul Am parti pembangkang itu juga perlu berbuat demikian kerana
mengeluarkan beberapa fatwanya sendiri.
Ketua
Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata ini kerana beberapa fatwa oleh Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan terutamanya mengenai
Umno murtad dan sesiapa yang menyokong Umno sebagai mungkar, turut memberi
implikasi buruk terhadap bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.
"Nik
Aziz perlu menarik balik fatwanya itu yang boleh menjadi perpecahan bangsa Melayu
dan umat Islam. Bukan Abdul Hadi sahaja yang perlu berbuat demikian (menarik
balik amanat)," katanya kepada pemberita selepas melawat 157 mangsa banjir
yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mulong di sini, malam Rabu.
Ahmad
berkata ini sejajar dengan titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V semalam yang
mahukan umat Islam supaya saling menghormati dan mengelak daripada sengketa
berpanjangan.
Ahmad
berkata masyarakat sebenarnya keliru dengan fatwa politik yang dibawa PAS, yang
boleh berubah-ubah mengikut keadaan.
"Bukan
orang Islam sahaja yang keliru malah orang bukan Islam juga keliru. Kita tidak
boleh biarkan pihak lain menempelak orang Islam dalam hal-hal sebegini,"
katanya.
Beliau
berkata titah baginda itu tepat pada masanya dan tidak terlewat bagi umat Islam
untuk mengubah nasib mereka sendiri. –BERNAMA/mStar
Wednesday, December 26, 2012
BN MAMPU MENANG DUA PERTIGA KERUSI PRU-13
Melaka
Tengah: Barisan Nasional (BN) mampu menang dua pertiga kerusi pada Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13), kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
“Melaluinya
(pemerintahan Najib) kita ada 20 jenama produk 1Malaysia, lima jenis
transformasi serta pembaharuan yang dilakukan termasuk program tinjauan mesra,
turun padang, janji ditepati dan pemberian terus subsidi kepada rakyat. Semua
ini tidak pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
Beliau
berkata, kemenangan itu mampu dicapai sekiranya semua ahli parti tidak bersikap
terlalu yakin, tidak sabotaj parti dan perlu menggandakan usaha bagi memastikan
kejayaan itu.
“Saya
berpendapat BN boleh melakukannya (menang dua pertiga majoriti) sekiranya
mengekalkan 140 kerusi Parlimen yang dikuasai sekarang dan merampas
masing-masing lima kerusi daripada PAS dan DAP, manakala 10 lagi daripada PKR.”
Rampas 20 kerusi
“Ini
pendapat peribadi saya...semuanya logik kerana tujuh daripada 10 kerusi PKR
kini bermasalah iaitu enam keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas,
manakala satu lagi kalah pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Jadi,
saya rasa kita mampu merampas 20 kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang
pada PRU-13,” katanya.
Beliau
berkata demikian selepas merasmikan Program Pemukiman Pemantapan
Profesionalisme Kelab Kebajikan dan Rekreasi Penerangan di Hotel Seri Costa di
sini, semalam.
Ditanya
faktor keyakinan BN mampu merampas kerusi selain disebabkan masalah yang
dihadapi parti pembangkang, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri meminta semua pihak melihat pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak sejak mengambilalih pada 2009.
Di bawah
teraju Perdana Menteri selama tiga tahun lapan bulan, kita tidak pernah dengar
sebegitu banyak program dilaksanakan.
20 jenama 1Malaysia
Ahmad
berkata, dengan ketegasan Perdana Menteri yang mahukan calon boleh menang,
beliau yakin BN boleh mencapai kemenangan majoriti dua pertiga.
“Jika kita
berfikiran positif, maka tindak tanduk kita positif, tak kan kita tak boleh
tawan, apa yang saya sebut ini adalah logik,” katanya. -BHarian
GUNA SEPENUHNYA PENGALAMAN VETERAN UMNO PASTIKAN BN
MENANG
KUALA
LUMPUR: Cawangan dan bahagian Umno di seluruh negara digesa menggunakan
sepenuhnya pengalaman dan pengaruh anggota veteran parti itu bagi memastikan
kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha
Kelab Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pengalaman dan
pengaruh luas anggotanya mampu memberikan 'peluru' yang diperlukan BN bagi
menidakkan impian pembangkang menakluk Putrajaya.
"Apa
yang kami mahu ialah untuk membantu menguatkan parti sesuai dengan moto kami
'veteran pemangkin kepimpinan Umno'.
"Kami
tidak mempunyai cita-cita untuk kembali aktif di mana-mana peringkat atau
bertanding memegang sebarang jawatan. Kami cuma mahu Umno dan BN kekal
memerintah serta menang besar nanti," katanya kepada Bernama.
Beliau
berkata, menerusi slogan 'Keluargaku Pengundi BN', kelab itu akan memastikan
setiap undi keluarga veteran Umno tidak akan tercicir dan pasti keluar untuk
mengundi memilih BN.
"Dengan
kekuatan lebih 700,000 anggota di seluruh negara, kami akan kerah semua anggota
kami untuk menguatkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti,"
tegasnya. – BERNAMA/mStar
Tuesday, December 25, 2012
'AMANAT HADI' ?
Seorang
Ulama seharusnya bersikap tawaduk dan rendah diri tetapi berani mempertahankan
perkara yang benar dan hak.
— percaya bahawa tidak sah solat yang diimamkan orang UMNO,
Apabila
dikritik atau dipersoal tindakannya, seorang Ulama tidak akan melatah atau
marah, sebaliknya akan memperjelaskan keadaan sebenar dengan tenang dan yakin
atas kebenaran yang diperkatakannya.
Namun,
sifat-sifat wajib seorang Ulama ini tidak terdapat dalam diri ulama-ulama PAS.
Mursyidul
Am PAS sendiri, iaitu yang dianggap penyokongnya sebagai ulama tahap tertinggi
di dalam parti itu, dan di dalam negara atau mungkin juga dunia, cukup terkenal
dengan sifat yang bertentangan dari sifat-sifat di atas.
Nik Aziz
amat terkenal dengan takbur, riak dan sering marah siap dengan memaki hamun dan
mencerca sesiapa yang mengkritik atau mempersoalkan tindakannya.
Begitu juga
dengan Presiden PAS, iaitu Dato’ Seri Hadi Awang yang juga berkongsi sifat yang
sama. Lebih buruk lagi, Hadi Awang juga nampaknya seorang yang pengecut apabila
tidak berani tampil memberi respon terhadap isu Amanat Kafir yang difatwakannya
sendiri hampir 3 dekad lalu.
Walaupun
sudah berhari-hari isu ini ‘dipanaskan’ semula oleh media-media perdana, tetapi
Hadi Awang masih membisu hatta langsung hilang dari ‘radar’.
Majlis
Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah pun membuat teguran
rasmi melalui surat terhadap Hadi Awang.
Surat
tersebut dikeluarkan setelah bermesyuarat bersama beberapa tok guru pondok
serta Mufti dan Timbalan Mufti Kelantan. Mesyuarat tersebut menggariskan 8
perkara yang membuktikan bahawa fatwa Hadi Awang itu telah membawa kepada
kepercayaan sesat di kalangan masyarakat, antaranya:
8 perkara dalam amanat Hadi
— percaya bahawa tidak sah solat yang diimamkan orang UMNO,
—
percaya bahawa haram makan sembelihan orang UMNO,
—
percaya bahawa tidak sah pernikahan yang dijalankan
oleh kadhi atau imam yang dilantik UMNO dan pasangan yang
terlibat perlu dinikahkan kembali dengan segera
terlibat perlu dinikahkan kembali dengan segera
—
percaya bahawa terfasakh pernikahan dengan pasangan
yang menyokong UMNO
—
percaya bahawa jenazah orang UMNO tidak perlu
disembahyangkan sepertimana orang kafir atau murtad
—
percaya bahawa tidak boleh membenarkan orang UMNO
melakukan sembahyang jenazah ke atas orang PAS/Islam.
—
percaya bahawa tidak boleh mengebumikan orang UMNO di
tanah perkuburan Islam
— percaya bahawa ibadah orang UMNO tidak diterima
Allah SWT.
Pihak PAS
berusaha menolak dan menutup isu ini dengan alasan ia telah basi, namun soal
syahadah dan akidah, soal hubungan suci suami isteri, hubungan darah daging,
soal kesinambungan hidup serta kehilangan nyawa, serta soal murni perpaduan
ummah dan masyarakat setempat, tidak mungkin basi kerana ia bukan sahaja
membabitkan dunia, tetapi merupakan soal rohaniah yang bakal dibangkitkan di
akhirat kelak.
Jika Hadi
Awang ingin terus berdegil menafikan yang Amanat beliaulah yang menjadi punca
segala kesesatan tersebut, maka beliau wajar tampil menjelaskan siapakah yang
sebenarnya yang perlu dipersalahkan dalam perpisahan pasangan suami isteri
akibat percaya yang pasangannya kafir? Siapa yang perlu dipersalahkan apabila
hati ibu atau bapa hancur, dan akhirnya meninggal dunia dalam keadaan anak-anak
sendiri menuduh mereka kafir?
Dan siapa
yang perlu dipersalahkan apabila anak-anak yatim Memali kehilangan bapa kerana
bapa mereka percaya yang mereka berjihad menentang orang-orang kafir?!
Apakah Hadi
Awang ingin berkata bahawa penyokong-penyokong PAS sendiri yang bersalah kerana
terlalu bodoh sehingga ‘tersalah tafsir’ amanatnya? Jika ya, beliau tetap
bertanggungjawab untuk tampil menjelaskan apakah tafsiran yang sebenarnya.
Justeru,
penyokong-penyokong PAS wajib menyeru Hadi Awang agar keluar dari persembunyian
dan berhadapan dengan amanatnya sendiri sebagai anak jantan kalaupun tidak
sebagai seorang ulama.
Penyokong-penyokong
PAS perlukan satu kepastian sama ada untuk terus berpegang kepada amanat
tersebut dan bahawa 8 perkara di atas adalah wajar, tepat dan benar – ataupun
tidak.
Adalah
tidak wajar bagi Hadi Awang untuk terus membisu membiarkan penyokong-penyokong
tegarnya yang terlibat, termangu-mangu bertanya kafir atau tidaknya ibu mereka
yang telah meninggal dunia atau isteri mereka yang telah diceraikan sebegitu
lama?
Atau apakah
tuduhan kafir itu telah berbalik kepada diri mereka sendiri, sepertimana pesan
Rasulullah SAW: “Barang siapa berkata kepada saudaranya, Hai kafir! maka
kalimat itu pulang kepada salah seorang dari keduanya,jika kekafiran itu benar
ada,jika tidak,maka kekafiran itu berbalik kepada diri yg mengucapkannya.” – Perak
Today
Subscribe to:
Posts (Atom)