Friday, January 25, 2013

JANGAN PERCAYA ADA PERHIMPUNAN BAKAR BIBLE - POLIS PULAU PINANG

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang menggesa orang ramai jangan mempercayai khabar angin kononnya ada acara membakar Bible versi bahasa Melayu di Padang Bandaran Bagan Luar, Butterworth Ahad ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata berikutan isu itu polis menerima laporan seorang paderi menemui risalah bertulis 'jom bakar...pesta bakar bible melayu demi masa depan cucu kita' yang diletak di dalam peti surat di sebuah gereja 20 Jan lepas.

"Kita minta jangan ada pihak yang percaya dan mensensasikan isu ini kerana ia boleh mengugat ketenteraman awam dan mengundang perpecahan masyarakat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur dan peserta perhimpunan itu sekiranya benar-benar diadakan.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebut perkataan berniat melukakan perasaan agama seseorang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.  

Mengenai isu pengedaran Bible kepada pelajar Islam di hadapan sebuah sekolah di Jelutong Khamis lepas, Abdul Rahim berkata polis telahpun merekodkan keterangan 17 individu.

"Kertas siasatan telah lengkap dan diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata siasatan polis mendapati kesemua Bible itu dicetak dalam bahasa Inggeris dan tidak mempunyai sebarang kalimah Allah.

"Setakat ini polis menerima tujuh laporan mengenai isu itu, iaitu empat daripada pelajar dan selebihnya daripada orang awam," katanya. - Bernama/Sinar Harian

KD: Kebelakangan ini ramai yang seakan ‘suka-suka’ bermain dengan isu agama yang merupakan sensitiviti rakyat. Dan apabila ada pihak yang kurang jelas, pasti akan bertindak semberono sekali gus mencetuskan konflik ataupun kucar-kacir di kalangan masyarakat.

Wednesday, January 23, 2013

PRU13: PELUANG BN RAMPAS SELANGOR, KEDAH

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk menang dan mengambil alih Kedah dan Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Kluster Etnik dan Pekerjaan di Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mansor Mohd Nor berkata, bagi mencapai matlamat itu, BN harus menampilkan calon daripada kalangan muka baru terutama golongan muda yang memiliki integriti, berakhlak baik, amanah dan adil.

"Ini beri keyakinan baru kepada pengundi," katanya.

Menurutnya, PR dijangka masih kekal di Pulau Pinang dan Kelantan kerana pengundi dijangka akan guna strategi kerusi Dun masih kekal ditadbir pembangkang, manakala di kerusi Parlimen mereka memilih BN.

Katanya, melalui Kajian Sosialisasi Politik oleh Majlis Profesor Negara (MPN) sejak Mac 2012 menunjukkan rakyat pelbagai bangsa menyokong BN.

“Dakwaan PR rakyat pelbagai bangsa di negara ini menyokong mereka adalah tidak tepat. Kajian kita lakukan, Melayu, India dan Cina masih menyokong BN.

“Cina di Negeri Sembilan dan Johor menyokong BN kerana mereka tidak terikut-ikut kumpulan etnik. Rakyat bijak membuat penilaian dan pemilihan parti,” katanya.

Selain itu, kata Mansor, apa yang penting, setiap parti perlu tahu kenapa rakyat mesti mengundi mereka dan menegaskan rakyat akan pilih calon boleh bekerja dan membantu mereka.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Azmi Hassan juga mempunyai pendapat sama dan bersetuju BN akan menang pada PRU13 nanti serta memenangi negeri Kedah dan Selangor.

Katanya, BN akan menang majoriti kerusi di Dewan Rakyat kerana faktor keadaan semasa dan masalah pentadbiran di negeri ditadbir PR. – Sinar Harian
BIBLE BM: JATI GESA KDN TINDAK TEGAS

Datuk Dr Hasan Mohamed Ali SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat menerbitkan Bible versi bahasa Melayu, yang menggunakan kalimah ALLAH dan menghalang percetakkan dan pengedaran terbitan tersebut.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mendakwa, pemantauan oleh KDN perlu dibuat secara menyeluruh termasuk pengedaran Bible bahasa Melayu yang telah diedarkan sejak beberapa tahun yang lalu.

"Bible versi bahasa Melayu dengan kalimah ALLAH di dalamnya telah tersebar di kalangan orang Melayu yang sebahagiannya atas beberapa sebab memilih untuk murtad.

"Tindakan yang semakin berani ini jika tidak diambil tindakan segera dikhuatiri akan menimbulkan sesuatu yang buruk dari sudut hubungan antara bangsa dan agama di negara ini," katanya pada sidang media di kediamannya, hari ini. -Sinar Harian

KD: Ini bukan perkara main-main.. perlu tindakan proaktif KDN.