Tuesday, January 29, 2013


ISU NASHA: LUCUT NASHA 'GEMBIRAKAN' PARASIT DALAM PAS - HASAN ALI

Hasan AliSHAH ALAM – Tindakan Majlis Syura yang menggugurkan keahlian bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dari badan itu sudah dijangka malah turut dinanti-nantikan oleh pimpinan ‘parasit’ dalam parti itu.

Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali mendakwa, berita pemecatan itu sudah lama dinantikan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang tidak menyenangi tindak tanduk Nasharudin yang sebelum ini menghentam secara terbuka Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh kerana didakwa menghina Islam secara terang-terangan.

“Parasit dalam pimpinan Pas memang sudah lama mencari ruang dan peluang untuk mencantas beliau (Nasharudin). Golongan ini tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan keputusan Majlis Syura adalah di luar bidang kuasa mereka.

“... keputusan Majlis Syura ini sudah tentu menjadikan puak-puak parasit dan Anwarinas begitu lega dan menarik nafas panjang kerana cita-cita mereka sudah tertunai,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pemecatan Nasharudin dari Majlis Syura,  Hasan turut mendakwa pimpinan parasit juga tidak menyenangi tindakan Nasharudin apabila beliau telah mencadangkan supaya Pas mengkaji semula kedudukan tahaluf siyasi bersama PR.

Dakwanya lagi, ketidakpuasan mereka membuak lagi apabila melihat Nasharudin mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu ulama di Mekah dan Palestin sambil melabelkannya sebagai pro-Umno.

“Saya yakin selepas ini, Nasharudin akan menerima nasib yang sama seperti saya iaitu dipecat daripada menjadi ahli Pas.

“...kedudukan beliau kini lebih lemah daripada saya ketika dipecat kerana beliau merupakan ahli biasa parti sementara saya sewaktu itu adalah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahli Lajnah Politik dan mewakili Pas dalam Exco Kerajaan Negeri Selangor,” jelasnya yang dipecat awal tahun lalu.

Beliau menambah, berita mengenai pengguguran itu tidak memeranjatkan malah, usaha untuk menjatuhkan karier politik Nasharudin dakwanya telah bermula sejak beliau kecundang dalam mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Pas dalam pemilihan Muktamar 2011.

“Rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah pimpinan Pas terserlah apabila melalui perancangan yang teliti dan dibantu oleh kuasa luar secara jarak jauh dan campur tangan dalam urusan kepimpinan Pas,” dakwanya.

“Penyingkiran Nasharudin juga menjadi satu kerugian besar buat Pas apabila ramai pemimpin parti itu masih tidak setanding dan tidak mempunyai kualiti yang sama sepertinya. Beliau boleh diletakkan di kerusi pimpinan parti yang mampu berdepan dengan pimpinan dunia sama ada di Timur ataupun Barat kerana kebolehan beliau menguasai beberapa bahasa dunia,” katanya. –Sinar Harian

Monday, January 28, 2013

NASHA: 'HAK PARTI AMBIL BALIK JAWATAN'

 Nasharudin Mat IsaSHAH ALAM - Nasharudin Mat Isa berkata, menjadi hak parti jika mahu mengambil balik jawatan lantikan termasuk sebagai anggota Majlis Syura Pas.

"Jawatan (anggota Majlis Syura) tersebut adalah lantikan parti, bukan pilihan saya, jika parti ambil kembali jawatan itu, itu adalah hak parti," kata beliau yang turut berkata tidak dimaklumkan secara rasmi lagi.

"Cuma setakat ini saya hanya tahu tentang pemecatan tersebut melalui media dan tidak melalui saluran rasmi parti," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam, Sinar Harian Online membawa laporan pelucutan Nasharudin sebagai anggota Majlis Syura diputuskan pada mesyuarat 13 Januari lalu.

Nasharudin yang juga bekas timbalan presiden berkata, berorganisasi hanya wadah tetapi berpegang pada prinsip adalah satu tuntutan.

"Saya akan terus berikan sumbangan terbaik kepada mana mana pihak yang ingin mendaulatkan Islam," katanya.

Nasharudin berkata, beliau menerima ratusan SMS, e-mel dan panggilan telefon susulan laporan media semalam.

"Sehingga di saat saya hantar SMS ini saya masih belum menerima sebarang surat menyatakan perlucutan jawatan tersebut.

"Walau apa pun, perjuangan untuk mendaulatkan Islam mesti diteruskan, berjawatan atau tidak," katanya.

Sunday, January 27, 2013

ISU KALIMAH ALLAH: CABAR KESABARAN UMAT ISLAM -MUFTI PERAK

IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meminta agar cadangan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Melayu dihentikan kerana isu itu mencabar kesabaran umat Islam.

Justeru, beliau memberi amaran bahawa jika cadangan itu diteruskan, tidak mustahil akan menjejaskan keharmonian beragama serta perpaduan kaum di negara ini sehingga boleh menimbulkan kekacauan.

"Sebagai orang Islam, kita wajib berjihad mempertahankan kalimah tersebut kerana ia tidak boleh diberikan kepada sesiapa melainkan Islam,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pejabat Damara Care and Herbs di Gunung Rapat, semalam.

Beliau turut mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa mereka akan menjadi kafir sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan kalimah ALLAH.

Katanya, hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan Harussani menjelaskan jika umat Islam membenarkan kalimah ALLAH digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan mempersekutukan ALLAH.
“Maka persetujuan itu juga menjadikan kita (umat Islam) kafir. Justeru kita mesti bersatu mempertahankan aqidah kita. Kita tak boleh terima dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang mempersekutukan ALLAH,” katanya.

Beliau berkata, di dalam enakmen setiap negeri sudah dinyatakan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam agama lain.

“Enakmen telah dibuat oleh Dun yang telah diberi kuasa oleh perlembagaan untuk membuat  undang-undang mengenai agama dan diluluskan Sultan yang menjadi undang-undang negara.

“Oleh itu, undang-undang negara tidak boleh diusik jika tidak seolah-olah tidak menerima Perlembagaan. Justeru, orang yang tidak mematuhi undang-undang adalah orang yang derhaka kepada negara,” katanya.- Sinar Harian
ISU KALIMAH ALLAH : PAS GESA MUFTI PANGGIL MUZAKARAH


SHAH ALAM – Pas menggesa mufti di setiap negeri supaya mengadakan muzakarah terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh hukum agama Islam bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, langkah itu perlu diperhalusi dan pemegang fatwa perlu lebih berhati-hati khususnya dalam memberikan maklum balas terhadap isu kalimah ALLAH yang kembali menjadi kontroversi sejak akhir-akhir ini.

"Kenyataan ini saya ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husseinyang telah memberikan kebenaran untuk menggunakan nama ALLAH dalam Bible berbahasa Melayu.

"...sebagai mufti dia sepatutnya menjadi penasihat bagi kerajaan kerana bidang kuasa mufti hanya terhad kepada negeri yang diwakili sahaja,” dakwanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam yang menyifatkan umat Islam akan menjadi kafir sekiranya membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH.

Katanya lagi, sekiranya umat Islam membenarkan kalimah ALLAH digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan menyekutukan ALLAH.

Harussani turut mendakwa, hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan.

Justeru itu, beliau meminta pihak berkenaan menghentikan cadangan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Melayu kerana ini akan mencabar kesabaran umat Islam di negara ini.

Jika cadangan ini diteruskan, beliau bimbang akan menjejaskan keharmonian beragama serta perpaduan kaum di negara ini. – Sinar Harian

MAJLIS SYURA PAS LUCUT NASHA KERANA LANGGAR PERATURAN


SHAH ALAM – Majlis Syura Pas mengesahkan telah menggugurkan keanggotaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, yang pernah disebut akan diambil tindakan disiplin tahun lalu, atas alasan telah melanggar beberapa peraturan badan tertinggi parti itu.

Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan itu dibuat kerana Nasharudin  didapati melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura.

“Keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Antara sebab keputusan itu diambil kerana beliau (Nasharudin) telah melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan parti. Antaranya tidak hadir mesyuarat, selebihnya saya tidak mahu ulas… maaf ya.

“Surat mengenai perlucutan Nasharuddin sebagai anggota Majlis Syura sudah diserahkan selepas mesyuarat itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Ketika ditanya sama ada pihak Majlis Syura ada menghubungi Nasharudin selepas keputusan itu dibuat, Nik Zawawi berkata, pihaknya tidak ada menghubungi Ahli Parlimen Bachok itu.

“Beliau juga tidak ada menghubungi kami untuk penjelasan lanjut.

“Dengan keputusan ini, anggota Majlis Syura berharap beliau akan istiqamah dan menumpukan perhatian dalam perjuangan parti. Sumbangan beliau masih diperlukan dan diharapkan beliau dapat beri manfaat kepada parti,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan Nasharudin yang mengikuti rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk lawatan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza baru-baru ini, Nik Zawawi berkata, itu merupakan tindakan peribadi Nasharudin.

“Itu terpulanglah kepada dia (Nasharudin), itu tindakan peribadinya sendiri."

Pada September lalu, Nasharudin dan Majlis Syura dilaporkan menjadi tumpuan dengan membincangkan nasib bekas Timbalan Presiden Pas itu.

Bagaimanapun mesyuarat 9 September itu bersidang tanpa membincangkan isu berkaitan dengan Nasharudin.

Seperti diramalkan pemerhati dan kebanyakan pemimpin kanan parti ketika itu, beliau 'selamat' daripada sebarang tindakan berat.

Ketika itu, Nasharudin menjadi tumpuan ekoran  gesaan beliau agar Pas mempertimbang semula keanggotaan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat berikutan pendirian Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dalam isu hudud. - Sinar Harian

Saturday, January 26, 2013

PRU13: MEMAHAMI HARAPAN RAKYAT KUNCI KEMENANGAN BN - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata harapan dan jangkaan rakyat terhadap kerajaan telahpun meningkat, dan ini perlu difahami sebaik-baiknya bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
  
Najib, yang juga pengerusi BN, berkata menyedari hakikat ini, kerajaan berazam untuk melakukannya dengan cara berbeza dan bekerja dengan bersungguh-sungguh.
  
"Kita perlu menyedari bahawa rakyat tidak akan memberi undi mereka berdasarkan setakat manakah sumbangan anda sebelum ini.
  
"Tetapi rakyat akan mengatakan, 'apakah yang boleh anda lakukan sekarang dan bagi masa depan," katanya dalam wawancara bertajuk 'An Insight, An Idea with Mohd Najib Tun Abdul Razak' yang disiarkan CNN pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung di Davos, Switzerland.
  
Najib turut menarik perhatian bahawa tiada siapapun yang boleh menafikan hakikat bahawa Umno dan BN meneruskan agenda pembangunan selepas berjuang untuk kemerdekaan negara.
 
Mengenai kegagalan BN untuk memenangi majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 2008, Najib memperjelaskan antara faktornya adalah rakyat menjadi semakin kritikal sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat, selain penggunaan media sosial.
  
Di akhir wawancara itu, perdana menteri ditanya mengenai perancangannya jika diberi mandat memerintah oleh pengundi pada pilihan raya umum ke-13 negara ini.
  
Beliau menjawab dengan mengatakan kerajaan telahpun menyatakan dengan jelas mengenai hasratnya untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
  
"...dan saya komited untuk melakukan apa saja yang boleh agar harapan itu menjadi kenyataan, memang itulah yang akan saya lakukan."  - Bernama/Sinar Harian

CALON PRU: UMNO SERIUS JAGA INTEGRITI

SHAH ALAM - Umno buktikan parti itu serius menjaga integritinya dengan menyahut cabaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghantar nama calon bagi tapisan pihak berkenaan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, apa yang dilakukan oleh Umno adalah tuntutan biasa seperti pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

“Soal nama calon itu, kami buat kerja seperti biasa. Soal serah nama pada SPRM, tunggu nanti saya akan beritahu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron pula berkata, apa yang dilakukan oleh partinya itu adalah kaedah yang baik.

“Ini rasa tanggungjawab kita dalam menunjukkan Umno sememangnya serius dalam integriti. Tidak seperti pembangkang yang hanya menuduh parti lain tetapi mereka tidak melakukan perkara yang sepatutnya.

“Kebolehan dan kepercayaan itu penting dan Umno berusaha melakukan yang terbaik,” katanya. –Sinar Harian