Monday, May 13, 2013

ORANG MELAYU PERLU BERJIHAD PERKASA PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR - Orang Melayu diseru supaya berjihad memperkasakan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri bagi memastikan bangsa itu kekal menjadi pentadbir negara dan negeri.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah berkata, hal ini kerana dalam Perlembagaan di peringkat Persekutuan dan negeri, perkara berkaitan pelantikan Melayu Islam sebagai pentadbir boleh dilonggarkan.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, hendaklah melantik seorang Perdana Menteri yang mendapat majoriti dalam Dewan Rakyat. Itu sahaja dan tidak ada disebut Melayu Islam.

"Tetapi mengikut amalan demokrasi oleh kerana negara ini negara Islam, Yang di-Pertuan Agong apabila melantik Perdana Menteri, bukan sahaja perlu mendapat majoriti itu tetapi hendaklah ia seorang Islam dan Melayu," katanya.

Menurut Mohd. Noor, bagi peruntukan Perlembagaan negeri pula, raja atau sultan hendaklah melantik Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada seorang yang mendapat majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kedua, dia mestilah orang Melayu Islam dan ketiga, syarat kedua itu, raja atau sultan dengan budi bicara boleh melonggarkan syarat ini bagi menepati syarat pertama," jelas beliau.

Katanya, dengan syarat ketiga itu, siapa sahaja mendapat majoriti, individu terbabit boleh dilantik sebagai Menteri Besar atau Ketua Menteri.

"Oleh itu kalau DAP dapat majoriti, maka orang Cina boleh menjadi Menteri Besar. Macam mana? Kalau kita kata tidak boleh, maka pindalah Perlembagaan dengan sokongan majoriti dua pertiga. Beritahu di Melaka dan Pahang yang mendapat majoriti dua pertiga, mansuhkan klausa itu," tegasnya.

Beliau juga memberi bayangan bahawa Singapura boleh dibawa masuk ke dalam Malaysia dengan suara majoriti di Dewan Rakyat.

"Tak perlu persetujuan Majlis Raja-Raja, tetapi nak bawa masuk Singapura ke dalam Malaysia memerlukan hanya Akta Parlimen, Pas dengan satu majoriti maka masuklah Singapura ke Malaysia. Bayangkan akibatnya. Ini agenda pengkhianatan.

"Sebab itu (isu) kalimah Allah 'dicampakkan' agar orang Pas dan UMNO, orang Melayu berpecah dengan matlamat akhirnya untuk menawan hati orang bumiputera Sabah dan Sarawak. Nampak tak telunjuknya ke mana? Tetapi orang Melayu termakan umpan, nasib baik bumiputera Sabah dan Sarawak masih menyokong kita," tegasnya.

Sebab itu jelasnya, pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu adalah sesuatu perkara yang benar-benar berlaku.

Selain persoalan terhadap Perlembagaan, orang Melayu juga perlu berjuang dalam memperkasa dan menambah tanah rizab Melayu yang tertakluk di dalam Perlembagaan.

"Isytiharkan tanah rizab ini di kawasan-kawasan bandar dan dalam erti kata lain, menyusun semula masyarakat. Isytiharkan tanah rizab Melayu untuk berladang dan menternak, cari tanah yang baik untuk Melayu berladang dan berniaga dan kalau ada bukit, beri kepada Melayu buat kuari.

"Kita susun atur tanah ini dan agih-agihkan untuk Melayu. Begitu juga dalam bidang ekonomi yang sehingga kini 20 peratus daripadanya dimiliki orang Melayu. Jadi susunlah strategi supaya dalam tempoh 10 tahun ini, kekayaan Melayu menguasai 67 peratus," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya bekerjasama menghapuskan rasuah dalam kalangan orang Melayu iaitu daripada kelompok ahli politik sehingga ke kakitangan kerajaan.– Utusan Online
POLIS, SPR DIGESA AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP ANWAR

KUALA LUMPUR: Polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak tegas terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganjurkan siri perhimpunan bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin berkata ini kerana tindakan Anwar itu adalah penghinaan kepada rakyat Malaysia yang memilih Barisan Nasional (BN) untuk terus berkuasa.

"SPR perlu menyaman Anwar dan polis perlu mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada terhadap Anwar kerana terus mempertikai keputusan PRU13.

"Cara yang dia (Anwar) buat sekarang adalah menghina dan mengkhianati rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Wacana Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara pada Ahad.

Pakatan pembangkang mengadakan perhimpunan membantah keputusan PRU13 di Stadium Kelana Jaya, Rabu lepas, semalam di Pulau Pinang, dan hari ini dilapor akan berbuat demikian di Ipoh.

Zulkifli, yang juga bekas Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, berkata siasatan suruhanjaya khas berkaitan dalang insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah perlu disegerakan bagi mengheret pihak terbabit ke muka pengadilan.

Beliau berkata ini penting kerana terdapat dakwaan pemimpin pembangkang terbabit dalam isu insiden itu, yang mengorbankan lapan anggota polis dan dua anggota tentera terkorban selepas bertempur dengan musuh. BERNAMA/mStar

PASCA PRU13: MASIH JAUH PERJALANAN...

Walaupun menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Barisan Nasional (BN) terpaksa akur ia masih tidak dapat menarik nafas lega.

Hakikat yang harus diakui ialah prestasi BN secara keseluruhannya merudum dan lebih sadis berbanding 2008.

Pada 2008, BN menang dengan 140 kerusi tetapi pada kali ini, jumlahnya menurun kepada 133 kerusi sahaja.

PRU12 vs PRU13

Pencapaian Datuk Seri Najib Razak untuk pilihan raya umum pertama yang dikendalikannya nampaknya lebih teruk berbanding zaman Pak Lah.

Paling tertekan tentunya MCA dan Gerakan yang jauh ketinggalan di belakang sehingga membawa kepada desakan pelbagai pihak supaya presiden parti masing-masing melepaskan jawatan.

MCA hanya menang tujuh daripada 37 kerusi yang ditandinginya. Gerakan pula hanya menang satu daripada 11 kerusi yang ditandingi.

Prestasi menyedihkan yang seolah-olah ditolak mentah-mentah oleh masyarat Cina di negara ini.

Ekoran kekalahan itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bertegas bahawa parti itu sama sekali tidak akan menghantar wakilnya dalam Kabinet kerajaan.

Kekalahan teruk pada PRU13 juga membawa kepada peletakan jawatan kedua-dua presiden komponen utama BN itu. Satu perkembangan besar dalam arena politik negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya ketika pengumuman PRU13 menyifatkan suatu 'perdamaian kebangsaan' perlu dilakukan.

Menurut Najib, tsunami Cina telah berlaku. Malah pengundi Cina juga disifatkan sudah termakan dengan dakyah-dakyah pembangkang.

Slogan "Ubah" dikatakan sudah memperdayakan kaum Cina di negara ini dengan cerita fantasi  bahawa BN dapat ditumbangkan dan kerajaan baru akan dibentuk.

Ironinya, ia tidakseperti yang didendangkan selama ini.

BN berjaya membentuk semula kerajaan namun dalam keadaan suasana politik yang semakin membarah.

Najib menggunakan istilah 'perdamaian kebangsaan' dalam hasratnya memastikan kerukunan negara kembali utuh.

Wakil Cina perlu ada dalam Kabinet Najib dalam menghormati semangat perpaduan itu.

Penganalisis berpandangan, ia tidak patut sama sekali jika wakil pembangkang sepertimana yang dicadangkan bekas Menteri Penerangan. Sementelah mereka juga menolak.

Golongan cendekiawan, profesional Cina dicadangkan mewakili masyarakat itu jika wakil parti dalam kerajaan menolak untuk berada dalam Kabinet Najib.

Seminggu selepas pilihan raya, belum diketahui bila Najib akan membentuk barisan anggota Kabinetnya. Tarikh itu masih kekal teka-teki.

Beberapa nama seperti Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dicadangkan supaya ia ditimbang untuk membarisi senarai Kabinet Najib memandangkan prestasi Ketua Pemuda Umno itu.

Kekalutan Pakatan Rakyat

Ketika Najib sedang bergelut dalam mengukuhkan kembali kerajaan pimpinannya, Pakatan Rakyat (PR) yang turut tergugat dengan kalah di Kedah juga mungkin sedang memikirkan strategi terbaru bagi menawan Putrajaya.

Walaupun sekali lagi berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN, PR yang dianggotai oleh Pas, PKR dan DAP masih lemah di beberapa sudut.

Masalah dalaman yang membelenggu terdedah apabila semua negeri sudah mengangkat sumpah kecuali Selangor.

Konflik menteri besar Selangor berlarutan sehingga seminggu selepas pilihan raya.

Malah antara punca pertama yang disebut-sebut sebagai punca kekalahan Pas di Kedah adalah kerana masalah dalaman parti itu.

Selangor juga akan begitu jika masalah dalaman ini tidak dapat diatasi.

Pertelagahan di antara bekas menteri besarnya dan exco kerajaan negeri menyebabkan urusan pentadbiran menjadi lemah sehingga menjejaskan sokongan rakyat.

Bahkan sehingga ke hari ini PR masih belum mengiktiraf keputusan PRU13.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tegas mengatakan bahawa kemenangan PR sudah dirompak!

Tidak hairan mengapa selepas penat menjelajah di seluruh Malaysia sebelum PRU13, usaha itu diteruskan kini menerusi perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat: "Blackout 505".

Berbondong-bondong juga rakyat datang "memeriahkan" himpunan ini. Sambutan diterima agak luar biasa.

Namun suatu persoalan menarik yang dibangkitkan oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali

"adakah kita hendak berhimpun setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan?"

Maka sebenarnya, episod politik Malaysia selepas PRU13, masih jauh perjalanannya.

Kabinet baru, sidang Dewan Rakyat penggal yang baru, menentukan barisan exco kerajaan negeri, transformasi yang ingin dibawa, belanjawan baru dan banyak lagi.

Justeru kepada parti yang menang dan menduduki kerusi kerajaan, yang kalah pula di pihak pembangkang, pasca PRU13 ini harus dilalui dengan penuh hemah dan maju ke hadapan untuk sebuah Malaysia yang lebih baik.

Bentuklah segala dasar baik demi keharmonian negara, jadilah kerajaan yang menyantuni rakyat dan kepada pembangkang, jadilah penyemak imbang yang tidak membuta-tuli!

- Salmiah Druhamad Drahsin, Sinar Online