Thursday, July 11, 2013

ISU DAKWAT KEKAL: JANGAN PERLEKEH SISTEM SPR

calitKUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan telah berusaha untuk memperbaiki masalah berhubung dakwat kekal dengan mengambil pendekatan mencelup jari ke dalam botol pada Pilihan Raya Kecill (PRK) Kuala Besut.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR akan mencuba pelbagai kaedah untuk memastikan masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, rakyat juga perlu berubah sikap yang suka memperlekehkan sistem SPR, walaupun telah berusaha memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa terutamanya dalam isu dakwat kekal.

"Cara celup jari telah dilakukan di kebanyakan negara, jadi SPR turut mencuba pelbagai kaedah untuk menambah baik usaha ini.

"Keberkesanan dakwat itu di kulit bukan di kuku jika dakwat telah dicelup ia akan lebih berkesan dan seragam, bukan calit ada yang sekali ada yang dua kali.

"Negara kita ini kebanyakannya nak perlekeh dakwat ini, negara lain tak ada usaha nak hilangkan dan cuci jari mereka, tapi di negara ini, ada pihak mencuba dengan pelbagai cara untuk hilangkannya kerana tak percaya pada SPR," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, SPR mengumumkan akan menggunakan kaedah mencelup jari telunjuk kiri ke dalam botol dakwat bagi menggantikan kaedah mencalit pada Hari Pengundian Awal (20 Julai) dan Hari Pengundian Biasa (24 Julai) di PRK Kuala Besut.

Dalam pada itu, Wan Ahmad juga berkata, dakwat kekal yang akan digunakan pada PRK tersebut diperolehi daripada pembekal yang baru.

"Kita telah ambil daripada pembekal baru bagi mengelak perkara yang sama berlaku," katanya lagi.
                                                                                                                                                         
Bagaimanapun apabila diminta mengulas berapa lama dakwat tersebut akan kekal, Wan Ahmad berkata, SPR berharap dakwat kekal yang dicelup itu nanti akan bertahan lama melainkan jika tidak ada usaha untuk membersihkannya.

"Saya tak boleh nak kata berapa hari ia akan kekal, kalau tidak ada usaha hendak bersihkannya ia akan tahan," katanya.– Sinar Harian

PRK KUALA BESUT: TENGKU ZAIHAN PILIHAN TEPAT, KATA PENDUDUK

Tengku Zaihan Che Ku Abd RahmanKUALA BESUT - Rata-rata pengundi di kawasan Dun Kuala Besut melahirkan rasa gembira terhadap calon BN yang diumumkan Timbalan Pengerusi BN Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Kuala Besut, semalam.

Penduduk Kampung Alor Jejawi, Abdul Hamid Abd Rahman, 48, berkata, parti membuat pemilihan tepat apabila menampilkan orang muda iaitu Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai calon.

Menurutnya, walaupun tidak begitu mengenali calon secara dekat tetapi dia mengenali bapa Tengku Zaihan, Che Ku Abd Rahman Che Ku Abdullah sebagai orang berpengaruh di Kuala Besut.

“Bapa beliau adalah guru agama dan aktivis veteran Umno yang disegani ramai di kawasan Kuala Besut selain mempunyai ramai saudara mara,” katanya.

"Tengku Zaihan mempunyai peluang cerah untuk menang kerana dia mempunyai kelulusan dan semangat untuk membantu orang tempatan sangat kuat,” katanya.

Sementara itu, warga emas, Mohd Noor Mat Jusoh, 62, berkata, dia gembira kerana pucuk pimpinan parti membuat pilihan bijak dengan menampil orang muda sebagai calon.

Menurutnya, Tengku Zaihan orang muda mempunyai kelulusan serta mempunyai semangat bekerja untuk membantu masyarakat di Besut semasa beliau bertugas di Besut.

“Saya memberi bantuan sepenuhnya kepada beliau bagi memastikan BN menang dengan cemerlang di Dun Kuala Besut,” katanya dari Kampung Tok Saboh, di sini.

Dalam pada itu, Mohd Azhar Yunus, 29, dari Kampung Gertak Seratus pula berharap agar Tengku Zaihan lebih rapat dan tidak mengabaikan golongan muda.

"Sekiranya menang pilihanraya kelak, beliau perlu menyelami golongan muda dan mengambil berat keperluan golongan ini," katanya.– Bernama/Sinar Harian

GST LEBIH EFISIEN DARIPADA CUKAI JUALAN - PAKAR

KUALA LUMPUR - Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih efisien dan menyebabkan kurang herotan ekonomi berbanding cukai jualan yang akan digantikan, kata seorang pakar ekonomi.

GSTKetua Pakar Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) Nor Zahidi Alias berkata, struktur GST akan menyediakan insentif kukuh bagi perniagaan untuk berdaftar dengan pihak berkuasa cukai, dan seterusnya menambah baik kecekapan kutipan.

"Salah satu cara ia akan memberi manfaat kepada ekonomi ialah GST adalah neutral berkaitan dengan kuasa pasaran dan perniagaan, tidak seperti cukai jualan," katanya kepada Bernama. 

Nor Zahidi berkata, cadangan kadar tujuh peratus akan memberi kesan minimum kepada harga dalam tempoh jangka sederhana dan panjang berbanding cukai jualan sekarang antara lima peratus dan 10 peratus.

Beliau berkata terdapat kemungkinan inflasi tinggi dalam fasa-fasa awal, terutamanya sekiranya aktiviti pencatutan tidak dibendung dengan baik.

Sementara itu RHB Research berkata, pengenalan GST dijangka membawa kepada kenaikan sekali inflasi, bergantung kepada paras barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan indeks harga pengguna (IHP) yang akan terlibat.

Pelaksanaan GST dijangka menambah antara 0.8 dan dua mata peratusan kepada IHP, mengandaikan kira-kira 20 peratus dan 50 peratus barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan IHP akan tertakluk kepada empat peratus GST, kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikannya.

Dalam Bajet 2013, kerajaan menyatakan adalah penting untuk melaksanakan rejim cukai baharu bagi memastikan kewangannya kekal kukuh, kata firma itu.

Ketua Ekonomi Nomura International bagi Asia kecuali Jepun, Rob Subbaraman berkata cukai penggunaan akan meningkatkan hasil kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal yang seterusnya juga boleh meningkatkan lebihan akaun semasa.

"Cukai penggunaan boleh berfungsi meningkatkan lebihan akaun semasa kerana ia boleh mengurangkan penggunaan isi rumah berbanding pendapatan, yang seterusnya meningkatkan tabungan peribadi," katanya.

Nomura, dalam laporan 'Asia's Rising Risk Premium' berkata lebihan akaun semasa Malaysia semakin mengecil dalam tempoh dua tahun lepas, mencecah paras rendah dalam tempoh 10 tahun pada 3.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam suku pertama 2013 berbanding 10 peratus daripada KDNK pada 2011.

"Pengurangan lebihan akaun semasa itu adalah disebabkan kombinasi daripada eksport lemah, permintaan domestik kukuh dan harga komoditi rendah," kata firma tersebut. – Bernama/ Sinar Harian

Wednesday, July 10, 2013

PRK KUALA BESUT: BN PERTARUH MUKA BARU

Tengku Zaihan Che Ku Abd RahmanBESUT - BN hari ini mengumumkan, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman sebagai calon itu bagi mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 24 Julai ini.

Tengku Zaihan merupakan bekas Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, yang kini jurutera JPS di Putrajaya.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Besut sebentar tadi.

Timbalan Perdana Menteri berkata Tengku Zaihan, 37, merupakan calon terbaik kerana selain anak jati Kuala Besut, pemilihan beliau mendapat sokongan anggota parti di semua peringkat.

"Bagi kita calon muda ini diterima ahli parti dan tidak ada masalah sebagai "orang pantai" kerana beliau dekat dihati rakyat," katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN dan pengumuman calon di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh mengundi untuk PRK Kuala Besut yang mempunyai 17,683 pengundi dan 12 Julai sebagai tarik penamaan calon.

Kekosongan Dun Kuala Besut berlaku berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru. - Sinar Harian
PRK KUALA BESUT: AZLAN CALON PAS

Azlan@Endut YusofKUALA BESUT - Kontraktor Kelas A, Azlan@ Endut Yusof, 48, diumumkan sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut pada Majlis Pengumuman Calon Pas di Kampung Nail, di sini, malam tadi.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pengumuman itu turut mengakhiri spekulasi calon Pas yang akan bertanding melawan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman calon BN, sebelah petang hari yang sama.

Azlan yang juga Bendahari Pas Kawasan Besut ialah Kontraktor Kerja Bangunan dan Kejuruteraan Awam berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta mempunyai Sijil Kontraktor Institut Latihan Perindustrian.

Lebih dikenali dengan panggilan Che Long, bapa kepada enam cahaya mata ini, adalah anak jati Kampung Baru, Kuala Besut.

Beliau turut dianggap mesra dengan penduduk di kawasan berkenaan. - Sinar Harian

PRK KUALA BESUT: SIAPA CALON BN DAN PAS?

PRK Dun Kuala BesutSiapa calon yang bakal diumumkan untuk mengisi kekosongan kerusi Dun Kuala Besut berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A Rahman Mokhtar sehingga petang semalam, masih menjadi teka-teki.

Pegawai Agama Daerah Dungun, Nik Zuhaiza Ismail, antara calon BN yang menjadi sebutan bakal dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, 24 Julai ini.

Sementara itu, Pas juga tidak kurang hebatnya apabila Bendahari Pas Kawasan Besut,  Azlan Endut@Yusof  dikatakan berada dalam carta tertinggi parti itu untuk dipilih menentang calon BN.

Ahli korporat dari Kampung Baharu, Kuala Besut yang lebih dikenali sebagai Che Long ini dikatakan antara calon yang disenarai pendek oleh parti.

Semuanya masih ternanti-nanti dan menunggu dengan penuh debaran pengumuman calon hari ini.

BN bakal mengumumkan calonnya di Dataran Kuala Besut petang ini, manakala Pas juga akan berbuat demikian pada sebelah malam di Kampung Nail, kira-kira satu kilometer dari lokasi BN.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakan pengundi yang ditemui menyatakan sukar untuk meramalkan siapa yang bakal terpilih sebagai calon pada PRK ini kerana setiap nama yang disebut-sebut sebelum ini mempunyai kelebihan masing-masing.

Penduduk di kawasan Kuala Besut, rata-rata melahirkan rasa gembira sekiranya Nik Zuhaiza dipilih sebagai calon kerana beliau mempunyai latar belakang agama yang tinggi dan senang didekati, selain beliau sendiri ialah anak tempatan.

Peniaga kedai makan di pekan Kuala Besut, Habsah Mohamad, 51, turut mengakui nama yang sering meniti di bibir penduduk di situ ialah Nik Zuhaiza.

“Namun sekiranya beliau tidak terpilih, saya tetap akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan,” katanya.

Selain Nik Zuhaiza, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Dungun, Zahanapi Sagaf juga antara nama yang berada dalam carta teratas sebagai calon.

Beliau dari Kampung Pangkalan Sentul dan menyandang jawatan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Besut, kini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Dungun.

Populariti beliau jelas dapat dirasai di kawasan Mukim Bukit Puteri.

Nik Zuhaiza dan Zahanapi, berada dalam kedudukan teratas carta walaupun segalanya boleh berubah, namun beberapa nama lain juga tidak boleh dijangka, antaranya bekas Jurutera Jabatan Pengairan Saliran Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Mizan, Muhamad Ab Kadir.

Desas desus terbaru juga turut menyebut nama Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim dalam perhatian kerana beliau juga anak jati Kampung Dengir, Kuala Besut

Sementara calon Pas pula, selain Azlan, nama lain yang diramalkan menjadi calon ialah Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Salleh dari Kampung Tok Has, Kuala Besut.

Seorang lagi yang disebut-sebut ialah Ya Yusof dari Kampung Nail dekat pekan Kuala Besut, yang juga ahli perniagaan dan pengusaha  bot nelayan di Kuala Besut.

Seorang penyokong Pas yang ditemui, Mohd Zaidi Said, 34, dari Kampung Beris Pak Abu berkata, dia menyokong sekiranya Pas meletakkan calon muka baru di Dun Kuala Besut terutama Che Long kerana beliau dikenali ramai.– Sinar Harian

Monday, July 8, 2013

PAHANG CADANG PERUNTUKAN KHAS AKTA HASUTAN

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar peruntukan khas undang-undang di bawah Akta Hasutan digubal bagi menghukum individu yang menghina institusi Raja menerusi media sosial.
  
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, langkah itu perlu bagi melindungi institusi Raja yang kebelakangan ini sering menjadi mangsa fitnah pihak tidak bertanggungjawab terutama dalam media sosial.
  
"Kerajaan negeri akan menulis kepada kerajaan Persekutuan agar undang-undang khusus di bawah Akta Hasutan dimasukkan satu perkara (peruntukan) yang melarang perbuatan menghina institusi Raja dalam media sosial," katanya pada persidangan penggal pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang ke-13 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) yang mahu tahu usaha kerajaan bagi menghalang dan menghukum pesalah yang menghina pemimpin dan institusi Raja dalam media maya yang semakin berleluasa.
 
Selain itu, katanya, individu atau pihak yang didapati terlibat menyebarkan fitnah dan hasutan dalam media maya boleh disiasat di bawah undang-undang sedia ada.

"Ia termasuk Seksyen 4(1)(B) Akta Hasutan 1948 bagi kesalahan menyebut apa-apa perkataan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan tidak mewajarkan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya.
  
Adnan dalam pada itu turut mendesak SKMM agar lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung isu fitnah di media sosial yang turut melibatkan pemimpin dan institusi Raja.
  
"SKMM perlu bersungguh-sungguh menguatkuasakan undag-undang bukan setakat beri amaran kepada pihak yang terlibat.
  
"Kita pun hanya akan tahu ada kes (fitnah) hanya jika ada pendakwaan, itu pun tidak banyak, sedangkan fitnah (di laman sosial) berlaku secara berleluasa," katanya. - Bernama

Sumber: Sinar Harian