GST
LEBIH EFISIEN DARIPADA CUKAI JUALAN - PAKAR
KUALA LUMPUR - Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih efisien dan
menyebabkan kurang herotan ekonomi berbanding cukai jualan yang akan
digantikan, kata seorang pakar ekonomi.
Ketua Pakar Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) Nor Zahidi Alias
berkata, struktur GST akan menyediakan insentif kukuh bagi perniagaan untuk
berdaftar dengan pihak berkuasa cukai, dan seterusnya menambah baik kecekapan
kutipan.
"Salah satu cara ia akan memberi manfaat kepada ekonomi ialah GST
adalah neutral berkaitan dengan kuasa pasaran dan perniagaan, tidak seperti
cukai jualan," katanya kepada Bernama.
Nor Zahidi berkata, cadangan kadar tujuh peratus akan memberi kesan
minimum kepada harga dalam tempoh jangka sederhana dan panjang berbanding cukai
jualan sekarang antara lima peratus dan 10 peratus.
Beliau berkata terdapat kemungkinan inflasi tinggi dalam fasa-fasa awal,
terutamanya sekiranya aktiviti pencatutan tidak dibendung dengan baik.
Sementara itu RHB Research berkata, pengenalan GST dijangka membawa
kepada kenaikan sekali inflasi, bergantung kepada paras barangan dan
perkhidmatan dalam kumpulan indeks harga pengguna (IHP) yang akan terlibat.
Pelaksanaan GST dijangka menambah antara 0.8 dan dua mata peratusan
kepada IHP, mengandaikan kira-kira 20 peratus dan 50 peratus barangan dan
perkhidmatan dalam kumpulan IHP akan tertakluk kepada empat peratus GST, kata
firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikannya.
Dalam Bajet 2013, kerajaan menyatakan adalah penting untuk melaksanakan
rejim cukai baharu bagi memastikan kewangannya kekal kukuh, kata firma itu.
Ketua Ekonomi Nomura International bagi Asia kecuali Jepun, Rob
Subbaraman berkata cukai penggunaan akan meningkatkan hasil kerajaan dan
mengurangkan defisit fiskal yang seterusnya juga boleh meningkatkan lebihan
akaun semasa.
"Cukai penggunaan boleh berfungsi meningkatkan lebihan akaun semasa
kerana ia boleh mengurangkan penggunaan isi rumah berbanding pendapatan, yang
seterusnya meningkatkan tabungan peribadi," katanya.
Nomura, dalam laporan 'Asia's Rising Risk Premium' berkata lebihan akaun
semasa Malaysia semakin mengecil dalam tempoh dua tahun lepas, mencecah paras
rendah dalam tempoh 10 tahun pada 3.7 peratus daripada keluaran dalam negara
kasar (KDNK) dalam suku pertama 2013 berbanding 10 peratus daripada KDNK pada
2011.
No comments:
Post a Comment