PRK
KUALA BESUT: PENDUDUK MAHU KEMPEN SEDERHANA
KUALA BESUT - Penduduk Kuala Besut berharap kempen parti politik sempena
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut diadakan secara sederhana terutamanya
bagi memelihara kemuliaan bulan Ramadan.
Menurut penduduk tempatan yang ditemui Bernama, tanpa kempen
'keterlaluan' pun pengundi tetap akan membuat pilihan dengan kecenderungan
memihak kepada calon yang bijak berkempen secara berhemah seperti menjaga
percakapan dan bahasa yang digunakan.
Peniaga kedai runcit di pekan Kuala Besut, Wee Shin Ai @ Wee Ew Hwa, 60,
berkata rakyat kini bijak menilai dan lebih menghormati calon 'matang' yang
tidak menyerang peribadi lawan, sebaliknya memaklumkan agenda pembaharuan jika
terpilih menjadi wakil rakyat.
"Tidak perlu cakap banyak, cuma ambil tahu apa yang rakyat mahu. Di
sini tidak ada bank komersil, menyebabkan kami terpaksa pergi ke Jerteh untuk
urusan bank setiap bulan terutamanya bagi mereka yang menjalankan
perniagaan," katanya.
Wee berkata kekurangan bank komersil perlu diatasi memandangkan Kuala
Besut merupakan laluan masuk ke destinasi pelancongan terkenal Pulau
Perhentian, menyebabkan pelancong termasuk dari luar negara mengalami kesukaran
mengeluarkan wang tunai.
Kempen bersederhana juga dipersetujui pemandu pelancong Azwee Pin, 37,
yang berharap bandar kecil itu tidak dibanjiri terlalu ramai orang luar bermula
hari penamaan calon pada Jumaat ini sehingga hari mengundi kerana ia boleh
menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Tambahan pula menurut anak jati Kampung Gertak Seratus di sini, jumlah
kehadiran pelancong asing tinggi bulan ini terutamanya dari negara Eropah yang
bercuti sempena musim panas.
"Jalan di sini kecil. Jika ramai datang untuk tolong kempen, kami
akan ada masalah membawa pelancong yang datang dari Kota Baharu (Kelantan)
untuk menaiki bot ke Pulau Perhentian kerana perjalanan yang selalu mengambil
masa sejam boleh bertambah," katanya.
PRK DUN Kuala Besut diadakan ekoran kematian penyandangnya Dr A Rahman
Mokhtar, 64, akibat kanser paru-paru pada 26 Jun lalu. SPR menetapkan hari
penamaan calon Jumaat ini manakala 24 Julai sebagai hari pengundian.
Barisan Nasional (BN) mengumumkan anak tempatan Tengku Zaihan Che Ku Abd
Rahman, seorang jurutera awam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai calon
bagi menggalas cabaran mengekalkan penguasaan BN bagi PRK Dun Kuala Besut
dengan Pas menamakan Endot@Azlan Yusof, seorang kontraktor sebagai calon parti
itu.
Bagi pengundi muda Tuan Nur Shafikah Alia Tuan Nor, 22, dari Kampung Nail
di sini, beliau berharap penyokong parti terutamanya dari luar tidak akan
berkempen secara keterlaluan sehingga tidak mencerminkan budaya orang pantai
timur.
Katanya calon juga perlu bijak mengawal penyokong mereka dan kebolehan
berbuat demikian dapat menjadi 'mata penentu' untuk rakyat tempatan mengundi
mereka pada 24 Julai nanti.
Sementara itu, pekerja am Jeti Kuala Besut, Suhaibah Muda, 45, berkata
beliau berharap PRK pertama sejak PRU13 itu dijalankan secara bersederhana
termasuk dari segi kewangan dan tidak menggunakan surau atau masjid sebagai
medium berkempen.
"Tak perlu buat (kempen) besar-besaran, sampai pasang banyak bendera
di setiap penjuru jalan. Ini bulan molek (baik) lebih baik berjimat dan duit
itu digunakan untuk bantu orang susah terutama apabila hendak raya nanti,"
katanya.
Beliau yang berasal dari Kampung Alor Teratai di sini, juga berharap
calon tidak hanya mesra rakyat dalam tempoh berkempen, sebaliknya terus
meletakkan permasalahan penduduk sebagai agenda utama selepas menang.
"Kita duduk di kampung, tapi masih mahu pembangunan untuk golongan
muda. Sebab itu perlu wakil yang senang untuk jumpa. Kempen kecil pun, jika
pandai ambil hati, pasti orang Kuala Besut akan pangkah," katanya. –
Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment