PRK
KUALA BESUT: PERSAINGAN 2 ANAK TEMPATAN MENJAGA RAKYAT
KUALA BESUT - Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut
menjadi lebih istimewa kerana pertembungan calon yang melibatkan dua anak
tempatan yang berpengalaman memberikan khidmat kepada masyarakat di Kuala
Besut.
Barisan Nasional (BN) memilih Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, iaitu
jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya, yang sebelum itu
pernah berkhidmat selama lima tahun di JPS Daerah Besut.
Anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut itu mula mencurahkan bakti
kepada masyarakat setempat setelah menyertai JPS 15 tahun lalu dengan menjawat
jawatan jurutera daerah.
Pengalaman itu menjadikan anak kepada veteran Umno Besut itu sudah biasa
berhadapan dengan masalah masyarakat khasnya penduduk kampung dan pengundi di
Kuala Besut.
Ini merupakan kali pertama beliau dipilih bertanding di kawasan DUN,
sekaligus menjadikan Tengku Zaihan sebagai muka baharu yang diberi mandat oleh
kepimpinan Umno.
Tengku Zaihan, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti
Sains Malaysia (USM) dikatakan mempunyai ciri pemimpin berwibawa dan banyak
memainkan peranan membantu masyarakat kawasan Kuala Besut ketika berkhidmat
sebagai jurutera JPS daerah itu.
Menyifatkan dirinya sebagai orang biasa di sebalik pangkal namanya yang
bermula dengan Tengku, anggota Umno Cawangan Seri Seratus itu ketika ditemui
selepas diumumkan sebagai calon menyatakan tekad untuk meneruskan tugas yang
ditinggalkan bekas wakil rakyat, selain membalas budi pimpinan parti kerana
memilihnya.
"Pemilihan ini merupakan satu amanah, satu tanggungjawab, satu
keyakinan yang diberi pucuk pimpinan untuk membolehkan saya mencurahkan khidmat
kepada penduduk kampung sendiri," katanya.
Pas pula mempertaruhkan ahli perniagaan Azlan Yusuf, 48, yang juga
bendahari parti itu di Besut, sebagai calonnya yang lebih dikenali dengan
panggilan Che Long dalam kalangan masyarakat setempat.
Anak tempatan Kuala Besut yang menetap di Kampung Baru di sini itu
merupakan calon muka baharu taruhan Pas selepas parti itu gagal menumbangkan BN
menerusi calon wanita pada pilihan raya umum lepas.
Pemilihan Azlan, yang banyak menghabiskan masa menguruskan perniagaannya
di beberapa kawasan di daerah Besut dan di Kelantan dilihat satu percubaan
berani Pas dalam pendekatannya kerana sebelum ini parti itu diuar-uarkan akan
meletakkan calon yang berlatarbelakangkan agama.
Walaupun berbeza parti, dua calon itu dilihat meletakkan hala tuju sama
dalam pendekatan berkempen iaitu secara sederhana dan berhemah menerusi program
keagamaan di surau dan masjid dalam mendekati pengundi.
Program seperti berbuka puasa bersama penduduk dan tazkirah dilihat
menjadi pilihan utama kedua-dua parti untuk disesuaikan dengan bulan Ramadan.
Pilihan raya kecil Dun Kuala Besut diadakan berikutan kematian
penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar dari BN pada 26 Jun lalu akibat kanser
paru-paru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai tarikh
mengundi dan Jumaat ini sebagai hari penamaan calon.
Dun Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi dan daripada jumlah itu, 17,463
ialah pengundi Melayu, Cina 125 manakala selebihnya pengundi lain-lain bangsa.
Pada pilihan raya yang cukup signifikan itu, BN menetapkan Slogan 'Kuala
Besut bertambah Biru' untuk kempen manakala Pas tampil dengan moto '16-16',
merujuk kepada kedudukan kerusi Dun Terengganu andai Pas berjaya merampas Dun
Kuala Besut pada pilihan raya kecil berkenaan.
Selepas pilihan raya umum Mei lepas, Terengganu kekal ditadbir BN yang
menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14 daripada
Pas dan satu wakil PKR.
Kuala Besut mempunyai kira-kira 22,986 penduduk pada keluasan 41
kilometer persegi, kebanyakan terdiri daripada golongan nelayan. - Bernama/Sinar
Harian
No comments:
Post a Comment