HARGA
RUMAH MELAMPAU: HARGA RUMAH MUNGKIN RM1 JUTA
Tiada keretaku bawa kau jalan-jalan,
Rumahku pun tiada adapun bapa punya,
Apa lagi belanja mau bayar berian,
Kahwin sama kamu...
Harga rumah melambung tinggi
Mungkin situasi yang disampaikan di dalam bait lirik lagu 'Anak Kampung' nyanyian Jimmy Palikat itu turut dialami sendiri oleh kebanyakan rakyat di
negara ini terutamanya generasi muda dan golongan kelas pertengahan yang menghadapi kesukaran
untuk memiliki kediaman sendiri disebabkan harga rumah yang melambung tinggi.
Memiliki kediaman sendiri sememangnya menjadi impian setiap insan apatah
lagi sudah mempunyai keluarga sendiri. Namun, hakikatnya harga rumah
terutamanya di negeri Selangor dianggap menakutkan dan ‘tidak masuk akal’ jika
dibandingkan dengan purata pendapatan isi rumah majoriti rakyat Malaysia.
Malangnya, tidak kira apa jenis sekalipun sama ada flat, teres, apartmen
dan kondominium melambung tinggi bukan hanya di kawasan bandar yang pesat membangun
bahkan di pinggir-pinggir bandar di Selangor seperti Kajang, Bangi, Sungai
Buloh, Rawang dan Klang menunjukkan trend yang sama.
Tidak kira samada rumah tersebut adalah rumah baru atau penjualan rumah
‘second hand’ atau rumah sekunder, harga
keperluan asas tersebut semakin naik kira-kira 20-30 peratus setahun dalam
tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Melihat pasaran sekarang, rata-rata harga rumah yang dijual melalui
projek perumahan baru dengan reka bentuk “high –end” dengan keluasan 24 x 70
kaki persegi dijual pada harga RM400,000 ke atas, harga yang ditawarkan tidak
banyak beza antara satu pemaju dengan pemaju yang lain.
Di kawasan pinggir bandar, Klang contohnya rumah teres dua tingkat baru
yang kebanyakan pemaju lebih gemar menjual rumah dengan reka bentuk moden
terkini boleh mencecah RM600,000 ke atas.
Jika ada rumah teres dua tingkat sekunder pun kini harganya dalam
lingkungan RM300,000 ke atas, itu pun mengambil kira faktor lokasi, keadaan
rumah dan keadaan persekitaran.
Pilihan untuk keselesaan golongan pertengahan terletak pada jenis rumah
teres setingkat, bagaimanapun tidak banyak pemaju yang membina rumah jenis
tersebut. Mungkin pada pandangan mereka adalah lebih berbaloi pada tanah yang
sama dibina rumah teres dua tingkat pada harga pasaran sekarang.
Persoalannya, tawaran harga rumah yang semakin melambung tinggi dari hari ke hari sekarang
ini adakah ia memenuhi keperluan majoriti rakyat di negeri Selangor ini iaitu
golongan pertengahan?.
Dengan harga yang begitu tinggi, ia bukan lagi merupakan rumah mampu
milik khususnya bagi warga rakyat yang berpendapatan sederhana iaitu purata
jumlah isi rumah RM6,000 sebulan.
Rumah jenis apartmen atau kondominium juga tidak kurang hebatnya dan
boleh dikatakan agak serupa sahaja harga melambung tinggi walhal ianya tidak
melibatkan tanah yang banyak.
Golongan pertengahan terutama golongan muda yang baru berumah tangga
menyasarkan memiliki rumah yang berharga dalam lingkungan RM200,000 ke bawah.
Namun, masih adakah rumah dengan harga pasaran RM200,000 kini terutamanya di
pinggir bandar di Selangor?.
Dengan keadaan peningkatan harga rumah yang tidak selari dengan
peningkatan pendapatan rakyat ditambah pula nilai wang semakin mencengkam,
adakah layak rakyat berpendapatan sederhana memiliki rumah dengan harga pasaran
sekarang yang ditambah dengan komitmen lain seperti bayaran bulanan kenderaan
dan lain-lain?.
Cecah harga RM1 juta
Sebuah media tempatan sebelum ini melaporkan rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000
seunit menjelang tahun 2020 berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak
tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar &
Wong Sdn Bhd (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaru rumah teres di
Selangor iaitu RM480,000 sebuah.
Media tersebut turut melaporkan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan
Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud meramalkan harga rumah
teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan
datang.
Pengarah Urusan WTW, Sr. Foo Gee Jen memberitahu, harga rumah teres di
pinggir bandar bakal menjadi lebih kompetitif berikutan kenaikan harga rumah di
pusat bandar Kuala Lumpur.
Katanya, untuk memiliki sebuah rumah teres pada tahun 2020
sekurang-kurangnya sebuah isi rumah perlu mempunyai pendapatan sebanyak
RM12,000 sebulan.
Jika perkara itu benar, Selangor sebagai yang berada dalam lingkungan
Lembah Klang pastinya menerima kesan kenaikan mendadak harga rumah.
Dilema pembeli
Dalam isu ini, nampaknya golongan yang semakin tersepit dan terhimpit
adalah golongan berpendapatan sederhana dan pertengahan. Ini kerana, bagi
golongan berpendapatan rendah, mereka dibela dengan penyediaan rumah mampu
milik kerajaan negeri dan PPR/PPA.
Dilemanya kini ditanggung oleh golongan pertengahan, golongan berpendapatan RM6,000 ke bawah jika harga
rumah semakin naik mendadak saban hari.
Kerajaan Pusat turut merancang strategi holistik untuk menangani isu
harga rumah tinggi dengan mengumumkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia, namun
program ini masih belum cukup untuk menangani isu ini secara menyeluruh.
Persoalannya, apakah punca peningkatan harga rumah yang semakin mendadak
di Selangor sehingga ia membebankan sekali gus menguburkan impian majoriti
rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah.
Apakah langkah yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk menangani
isu ini agar harga rumah yang ditawarkan selari dengan pendapatan majoriti
rakyat?. Adakah skim rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri mencapai
matlamat?.
Strategi holistik
Jika kenaikan harga rumah disebabkan kos pembinaan seperti pasir yang
meningkat, apakah langkah kerajaan negeri untuk membantu. Adakah rumah mampu
milik yang disediakan Kerajaan Negeri mampu menampung kira-kira 5.2 juta
penduduk Selangor yang mana kira-kira 1. 56 juta penduduk adalah miskin dan
1.36 juta penduduk adalah miskin bandar sebagaimana data yang dikeluarkan oleh
Paras Garis Kemiskinan Selangor terdahulu.
Apakah strategi holistik pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan
untuk mengawal kenaikan harga rumah?. Wajarkah menjadikan harga barangan binaan
sebagai harga kawalan? Bagaimana pula dengan kawalan harga tanah oleh pihak
kerajaan negeri agar ia tidak dimanipulasi menyebabkan kenaikan tidak masuk
akal rumah yang dibina?.
Semua ini perlu diselesaikan oleh pemimpin yang
dipilih rakyat agar majoriti rakyat di negeri ini khasnya dapat menikmati
kehidupan selesa, bukannya menumpang di negeri sendiri.
No comments:
Post a Comment