HARGA
RUMAH MELAMPAU: KERAJAAN JANGAN CAKAP SAHAJA, KATA CUEPACS
SHAH ALAM - Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman mendesak kerajaan agar
menyediakan rumah mampu milik dalam tempoh dua tahun dari sekarang.
“Kita mahukan tindakan segera daripada kerajaan dan agensi berkaitan
bukan hanya sekadar melakukan pecah tanah dan perasmian namun rumah berkenaan
tidak dibangunkan.
“Cuepacs mahu kerajaan sediakan perumahan mampu milik ini
selewat-lewatnya 31 Disember 2015,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta
mengulas mengenai dilema pembeli terutamanya penjawat awam untuk memiliki rumah
mampu milik.
Omar berkata, sebagai suara kepada penjawat awam, Cuepacs tidak mampu
menyediakan perumahan tetapi hanya sekadar menyampaikan hasrat kakitangan
kerajaan ini.
“Saya sasarkan setiap penjawat awam mampu memiliki kediaman sendiri pada
usia 35 ke 40 tahun.
“Kerana sekiranya usia mereka lanjut dan ini akan membebankan mereka
untuk membayar kos pinjaman perumahan apabila bersara kelak, kerajaan perlu
pertimbangkan aspek ini juga,” katanya.
Kata beliau, sebelum ini pihaknya ada mengadakan pertemuan dan
perbincangan dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berhubung kekangan
kerajaan untuk melaksanakan segera rumah mampu milik kepada rakyat.
“Kekangan yang diberikan ialah lokasi, masalah tanah, penempatan dan
sebagainya namun kerajaan perlu fikirkan nasib rakyat.
“Rumah adalah aset kepada mereka, takkanlah sehingga tua dan bersara
mereka hanya menyewa. Tindakan lemah kerajaan ini membuatkan mereka tawar hati
dan kecewa,” katanya.
Perkembangan sama, Omar berkata dengan hanya bersandarkan jawapan ‘dalam
perancangan’ dan ‘sedang diusahakan’ bukanlah keputusan yang dinantikan rakyat.
Beliau berkata, berdasarkan rekod berpuluh ribu penjawat awam telah
memohon untuk miliki Rumah Mampu Milik namun kepastian belum dapat dibayangkan
hanya menunggu.
“Kita dah arahkan setiap Kerajaan Negeri untuk bina perumahan kos
sederhana untuk penjawat awam.
“Situasi terkini sewa rumah paling rendah sahaja sudah mencecah RM 800 ke
RM 900 sedangkan keadaan boleh diumpamakan seperti ‘reban ayam’,” katanya.
No comments:
Post a Comment