Wednesday, May 23, 2012

ELAUN LATIHAN PELAJAR GIAT MARA, IKM NAIK

KUALA LUMPUR: Kira-kira 20,000 pelajar yang mengikuti latihan kemahiran seliaan MARA akan menikmati kenaikan bayaran elaun baru tidak lama lagi.

Ia membabitkan semua pelajar yang sedang mengikuti kursus latihan di Giat Mara dan Institut Kemahiran (IKM) bertujuan menampung kos sar hidup yang semakin meningkat.

Pengerusi MARA, Datuk Idris Jusoh berkata, keputusan kenaikan itu sudah dipersetujui Ahli Lembaga Pengarah MARA dan kini pihaknya sedang dalam proses mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan.

Katanya, kenaikan itu juga sejajar dengan usaha MARA untuk memberikan khidmat terbaik kepada penuntutnya terutama dalam hal kebajikan pelajar, selain memberi galakan kepada mereka untuk lebih cemerlang dalam pendidikan.

KD: gembira dengan pengumuman ini.. sungguh bertuah pelajar Mara/IKM kerana kerajaan prihatin dengan mereka… galakan sudah diberi, kini tinggal usaha dan kejayaan yang setimpal..
PELAN PEMULIHAN MAS BERHASIL

PELAN pemulihan dilaksanakan Penerbangan Malaysia (MAS) sejak Disember tahun lalu sudah menampakkan hasil apabila ia berjaya membendung kerugian yang dialaminya dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, di tengah-tengah peningkatan harga bahan api.
 
Dalam tempoh Januari-Mac itu, kerugian bersih syarikat penerbangan kebangsaan itu berkurangan 29 peratus kepada RM171 juta daripada RM242 juta yang dialaminya dalam tempoh sama tahun lalu.

Ini membantu kami memperbaiki prestasi serta-merta pendapatan yang diperoleh daripada penjualan kerusi bagi setiap kilometer daripada setiap sen dibelan-jakan untuk kerusi bagi setiap kilometer berbanding tempoh sama sebelumnya.

Ketua Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya menyifatkan penurunan jumlah kerugian itu hasil keputusan amat tegas dibuat sejak Disember lalu.

“Kami mengurangkan laluan tidak menguntungkan, khususnya yang membabitkan penerbangan jarak jauh yang perolehannya amat sedikit. Ini membantu kami memperbaiki prestasi serta-merta pendapatan yang diperoleh daripada penjualan kerusi bagi setiap kilometer (RASK) daripada setiap sen yang dibelanjakan untuk kerusi bagi setiap kilometer (CASK), berbanding tempoh sama sebelumnya,” katanya dalam kenyataan bagi mengumumkan keputusan kewangan itu di Kuala Lumpur, semalam.


KD: perkembangan yang baik bagi MAS.. semoga MAS terus maju dan berdaya saing dalam memberi perkhidmatan kepada pengguna sekaligus melonjakkan kembali nama syarikat penerbangan ini di mata dunia..

RUMAH MAMPU MILIK DI PULAU PINANG TERPINGGIR



Purata harga rumah di Pulau Pinang yang terlalu tinggi sehingga melebihi setengah juta ringgit seunit antara faktor menyebabkan ramai masyarakat Melayu negeri itu khususnya di bahagian seberang pulau, berhijrah ke kawasan luar bandar dan negeri jiran seperti Sungai Petani, Kulim, Padang Serai dan Parit Buntar.

Di bahagian pulau negeri itu, harga tanah yang terlampau tinggi menyebabkan kemampuan orang Melayu untuk memiliki rumah terhalang.

Sebagai contoh, harga rumah di Balik Pulau yang mencecah jutaan ringgit mengakibatkan orang Melayu di situ tidak mampu memilikinya lalu mereka terpaksa mencari kawasan lain termasuk di tanah besar. Rumah berharga sehingga RM500,000 seunit yang dibangunkan di kawasan itu tidak mampu dimiliki penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, petani, peniaga dan pekerja kilang.

Berikut adalah hasil kajian dan pendapat beberapa pihak berhubung isu ini:

(i) Kajian Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi Pulau Pinang (PReCISE) mendapati :
-         - purata harga rumah di Pulau Pinang dua tahun lalu ialah RM540,000 seunit iaitu lapan kali  ganda lebih tinggi daripada  purata pendapatan tahunan isi rumah penduduk iaitu sekitar RM67,500. Malah, purata harga rumah di negeri itu kira-kira 27 peratus lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur yang berharga RM390,000 seunit.
-         - Penyelidik Kanan PReCISE, Mariani Ali Amran berkata, kemampuan orang Melayu untuk memiliki rumah terutama di kawasan kegiatan ekonomi dan pentadbiran terhalang akibat harga tanah terlampau tinggi. Manakala, harga kebanyakan rumah kos rendah dan sederhana rendah adalah tinggi serta tidak selaras dengan kadar pendapatan penduduk yang berpendapatan rendah serta sederhana rendah.

(ii) Fellow Kanan Kajian Institut Kajian Sosio-Ekonomi dan Alam Sekitar (Seri) dalam laporannya menyatakan :
-          - harga rumah terlalu tinggi di bandar utama bukan saja menyebabkan golongan bawahan tidak mampu memiliki rumah,  malah ia juga di luar kemampuan golongan pertengahan.
-         - Kajian Dr Michael Lim Mah Hui mendapati, harga rumah di Pulau Pinang, terutama di bahagian pulau tinggi iaitu kira-kira RM540,000 pada 2009 dan harga itu lebih tinggi berbanding harga purata kediaman biasa di Kuala Lumpur sekitar RM390,000.
-         -  Justeru, beliau menggesa kerajaan Pulau Pinang memperbanyakkan rumah mampu milik dan mengawal pembinaan rumah mewah, khususnya di bahagian pulau.

(iii) Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang)
-          - Presidennya, Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff, memberi cadangan supaya pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan kepada pemaju untuk membangunkan lebih banyak projek perumahan kos rendah dan sederhana bagi membolehkan orang Melayu Pulau Pinang mampu memiliki rumah.
-          - Katanya, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) boleh mengatasi masalah itu kerana mempunyai kuasa meluluskan projek. PBT itu boleh memberi kemudahan kepada pemaju seperti menaikkan peratusan unit rumah yang boleh dibina bagi membolehkan mereka membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana pada harga berpatutan.
-          - Selain itu, beliau mencadangkan orang Melayu yang mempunyai tanah, terutama di bandar tidak menjualnya, tetapi membangunkannya dengan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk pemaju bukan Melayu.

(iv) Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Pulau Pinang mendakwa :
-          - harga tanah yang mahal adalah sebab utama rumah di negeri itu dijual pada harga yang tinggi.
-          - Pengerusinya, Datuk Jerry Chan Fook Sing berkata, harga tanah yang tinggi juga menyebabkan pemaju cenderung membina rumah mewah di negeri ini. Beliau berkata tanah yang terhad di Pulau Pinang menyebabkan pemilik tanah menjualnya dengan harga yang tinggi dan tindakan itu sekaligus memberi kesan terhadap harga rumah.

(Sumber: Harian Metro, sukaweb.penang.gov.my, BERNAMA)

KD: Fenomena ini membimbangkan semua pihak di Pulau Pinang yang peka akan keseimbangan sosioekonomi dan kualiti hidup rakyat. Keadaan ini jika tidak dikawal, ia bukan saja mengakibatkan rakyat Pulau Pinang kehilangan tempat tinggal, malah mengubah landskap, kegiatan ekonomi dan kehidupan di sesuatu kawasan itu. Selain itu ia boleh mengakibatkan penduduk asal Pulau Pinang terus terpinggir dan terhimpit dalam kepesatan pembangunan.

KRISIS AIR CETUS KEBIMBANGAN PENDUDUK DI LEMBAH KLANG
 
KUALA LUMPUR: Penduduk Selangor, Putrajaya dan ibu negara Kuala Lumpur mula bimbang krisis air akan berlaku di Lembah Klang pada 2014 berikutan rizabnya yang menurun 2.4 peratus, berbanding paras ideal, 20 peratus.

Rata-rata penduduk yang ditemui meminta kerajaan Selangor segera mencapai kata sepakat dengan Pusat dan berhenti berdolak-dalik dalam isu air kerana ia membabitkan kehidupan berjuta-juta rakyat di sini.

Tinjauan rambang Berita Harian di Putrajaya mendapati, penduduk menolak permainan politik dalam menyelesaikan isu air di Selangor. Mereka khuatir jika kerajaan Selangor terus enggan membenarkan pembinaan Loji Air Langat 2, berjuta-juta penduduk Lembah Klang bakal menjadi mangsa.

KD: Mengapa terlalu payah kerajaan Selangor mencapai kata sepakat dengan Pusat? Sedangkan isu air adalah masalah kritikal yang perlu diselamatkan dari awal. Jangan sampai rakyat menerima padah, baru hendak bertindak.

Tuesday, May 22, 2012

BUMIPUTERA PULAU MUTIARA PERLU DIBELA


Belum pun habis sepenggal kerajaan pakatan pembangkang yang diterajui DAP mentadbir Pulau Pinang, kesannya sudah dirasai penduduk Melayu Islam di negeri itu. Kajian terbaru mendapati orang Melayu Islam semakin terpinggir dan jumlahnya semakin berkurangan. Lebih 18,000 orang Melayu Pulau Pinang terpaksa angkat kaki keluar dari negeri berkenaan kerana tidak mampu menampung kos sara hidup yang semakin meningkat dan membeli rumah di negeri kelahiran mereka. Sebelum ini di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), kehidupan orang Melayu tidaklah begitu tenat.

Sepanjang tempoh BN memegang teraju kepemimpinan negeri, ada banyak projek perumahan kos rendah dan sederhana dibangunkan. Antaranya di Tanjung Tokong, Balik Pulau, Tanjung Bungah, Batu Uban, Jelutong dan Bayan Lepas. Projek itu dibangunkan oleh beberapa agensi kerajaan negeri dan Persekutuan seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan JKP Sdn Bhd di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Pendedahan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr Mohammad Fairus Khairuddin kelmarin, mengenai perkara itu pastinya membimbangkan, apatah lagi usaha secara halus itu benar-benar menghakis kedudukan orang Melayu-Islam di Pulau Pinang, sekali gus menghakis kuasa politik Melayu.

Jelaslah ada agenda tersusun, terancang dan halus untuk meminggirkan serta mengusir orang Melayu dari kawasan strategik. Akibatnya, penduduk Cina kini menjadi kaum majoriti, iaitu seramai 670,000 atau 42.9 peratus pada 2010, manakala Melayu hanya 40.7 peratus berbanding 42.4 peratus pada 2009, manakala kaum Cina ketika itu hanya 40.9 peratus.

PDC yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang sepatutnya memberi keutamaan kepada usaha memenuhi keperluan perumahan rakyat bawahan sebaik saja diberi mandat memerintah, bukannya menunggu satu jangka masa lama untuk membangunkannya.

Mungkin dalam perancangan kerajaan negeri ada projek perumahan tertentu yang akan dibangunkan tetapi sehingga kini masih belum nampak hasilnya, sehinggakan ramai penduduk Pulau Pinang, terutama Melayu terpaksa berhijrah ke negeri jiran demi meneruskan kehidupan masing-masing. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga sering mengajukan pertanyaan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengenai projek perumahan rakyat miskin dan golongan sederhana selepas empat tahun DAP memerintah Pulau Pinang. Namun, tiada tindakan, ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Jika adapun di Balik Pulau yang mana ada majoriti penduduk Melayu dengan harga rumahnya RM500,000 ke atas.

Secara purata, harga rumah yang terlalu tinggi itulah antara sebab ramai orang Melayu berhijrah ke negeri jiran sejak 2010. Agenda licik ini harus dihentikan segera demi kepentingan rakyat berbilang kaum. Malah, Kerajaan Pusat harus campur tangan bagi menyelamatkan orang Melayu-Islam daripada terus terpinggir dan lenyap di bumi Pulau Pinang.

(Sumber: Minda Pengarang BHarian 22/05/2012)


KD: Ayuh orang Melayu Pulau Mutiara, bukalah mata & minda seluas-luasnya.. jangan dibiarkan tergadai maruah anak bangsa.. jangan sampai ‘sudah terhantuk baru tergadah’..

APA KATA PAKAR & PEMIMPIN ?

Isu penghijrahan orang Melayu Pulau Pinang kerana tidak mampu menampung kos sara hidup menimbulkan pelbagai reaksi.

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai menjangka lebih 80 peratus keluarga berpendapatan kurang RM3,000 sebulan di negeri itu terpaksa berhijrah menjelang 2020, kerana dianggarkan keseluruhan bahagian pulau  itu termasuk luar bandar seperti Balik Pulau akan menjadi bandar baru dalam tempoh lapan tahun lagi.

Prof Ahmad Atory Hussain pula berkata keengganan kerajaan DAP meneruskan dasar subsidi Kerajaan Pusat, menyebabkan ramai orang Melayu terpaksa berpindah. Sedangkan Melayu Pulau Pinang masih memerlukan dasar subsidi bagi meneruskan hidup di tengah-tengah asakan pembangunan dan saingan pemilikan tanah di negeri itu.

Tokoh akademik dan sejarawan, Datuk Prof Khoo Kay Kim berkata, dasar DAP yang meminggirkan orang Melayu sejak menerajui Pulau Pinang sebenarnya membuktikan perjuangan mereka adalah berat sebelah, sekali gus membuatkan orang Melayu marah sehingga ia bakal membunuh parti berkenaan terutama menjelang PRU-13.

Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir, berkata beliau tidak terkejut dengan pendedahan berkenaan kerana dasar pembangunan kerajaan negeri sejak empat tahun lalu jelas meminggirkan orang Melayu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow,  turut mengakui tiada projek perumahan kos rendah dilaksanakan sepanjang empat tahun pemerintahan kerajaan DAP Pulau Pinang. Katanya, kerajaan pakatan pembangkang yang tidak mempunyai dasar perumahan untuk menampung golongan berpendapatan rendah menyebabkan golongan itu tidak mampu menampung kos hidup yang tinggi di bahagian pulau dan Seberang Prai.

Berkongsi perkembangan yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Batu Uban, Liakat Ali Mohamed Ali yang mewakili penduduk di situ menyuarakan, generasi tua di kampung itu benar-benar bimbang dengan masa depam generasi seterusnya.

Jadi, apakah kesudahannya? Yang kabur adalah masa depan orang Melayu negeri ini, tapi yang nyata ialah PRU-13 yang menjelang nanti bakal menjadi permulaan atau penamat kisah orang Melayu..

(Sumber: BHarian 22/05/2012)

KD: Ingatkah lagu ini?? --- Anak kecil main api, terbakar hatinya sepi, air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang..

MENTERI BESAR KELANTAN LETAK SYARAT BARU MUZAKARAH

Baru dua hari mengenakan syarat untuk bermuzakarah, Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat semalam mengenakan lagi syarat baru untuk membolehkan muzakarah diadakan dengan UMNO.

Kali ini Menteri Besar Kelantan itu meminta supaya menggunakan tajuk ‘Kenapa UMNO Tolak Islam’ dan mahu syarat itu diterima oleh UMNO.

“Bagi saya kalau dijemput (bermuzakarah), tajuk muzakarah ialah ‘Kenapa UMNO Tolak Islam’. Itu menjadi tajuk yang saya hendak, kalau orang hendalak (lain), itu dia punya pasal, tapi saya tetap hendak begitu. 

Mengenai ahli panel atau perincian lain seperti tempat untuk mengadakan muzakarah, itu semua terserah kepada jawatankuasa muzakarah nanti yang menentukannya,” katanya.


(Sumber: BHarian 22/05/2012)


KD: Sangat mengimpikan perpaduan di kalangan umat Islam di negara ini. Ini kerana, perpaduan dan penyatuan ummah adalah perkara terpenting dalam pembangunan dan kejayaan negara.