Friday, October 19, 2012

AES BERJAYA DI 90 NEGARA

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di 90 negara di seluruh dunia terbukti berjaya mengurangkan kadar kemalangan di antara 40 sehingga 60 peratus.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kerajaan telah menjalankan kajian selama 10 tahun sebelum memutuskan untuk melaksanakan sistem berkenaan di negara ini.

Oleh itu katanya, kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula penggunaan sistem berkenaan walaupun mendapat tentangan daripada sesetengah pihak.

"Saya telah jelaskan dan ingin tekankan sekali lagi bahawa kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melakukan kajian dan menangguhkan pelaksanaan AES.

"Kami telah melakukan kajian hampir 10 tahun dan sistem ini terbukti berjaya di 90 negara luar. Selain itu, kami juga menerima reaksi positif daripada majoriti pengguna jalan raya yang mahukan AES dilaksanakan kerana tidak gembira dengan sikap buruk pengguna jalan raya lain," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sebanyak 831 lokasi hitam kemalangan bakal dilengkapi (AES) termasuk 14 lokasi yang telah beroperasi sejak 23 September lalu dan lokasinya ditentukan berdasarkan data kemalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Cho Ha turut menolak dakwaan bahawa kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk memasang dan melaksanakan sistem tersebut.

Katanya, kerajaan tidak mengeluarkan satu sen pun kerana sistem berkenaan dikendalikan oleh syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab selama lima tahun.

"Selepas habis tempoh lima tahun, syarikat tersebut akan menyerahkan semua kamera, kenderaan, termasuk peralatan di pusat operasi," jelasnya. -UtusanOnline


KD: AES = adalah jaminan kepada pemandu yang berhemah... tetapi cabaran kepada pemandu yang gemar melanggar undang-undang lalu lintas..
PM LANCAR GAGASAN NAJ1B
Najib Tun Razak 
LUMUT - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan "Gagasan NAJ1B", iaitu lanjutan kepada pendekatan Gagasan Aman Jaya yang selama ini dipraktikkan dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak.

Gagasan NAJ1B yang merupakan akronim kepada Gagasan Negeri Aman Jaya 1Malaysia Bersatu, cetusan idea Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dilancarkan sempena program Jamuan Janji Ditepati, di sini.

Majlis itu merupakan antara beberapa acara yang dihadiri Perdana Menteri sempena lawatan beliau ke Teluk Intan, Seri Manjung dan Lumut.

Zambry berkata Gagasan NAJ1B akan memperkukuh lagi slogan "Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir" dalam memastikan semua rakyat mendapat nikmat daripada limpahan kemakmuran negeri di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Beliau berkata gagasan itu juga merupakan terjemahan kepada pendekatan 3P iaitu Pandang, Perasaan dan Penyelesaian yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Melalui pendekatan-pendekatan ini, pada akhirnya, rakyat yang hidup aman dan berjaya akan menyumbang kepada pencapaian matlamat negara Malaysia yang bersatu padu melalui konsep 1Malaysia," katanya. – Bernama/SinarHarian
UNSUR ANARKI DALAM MEDIA DIGITAL SEMAKIN JELAS - KADIR JASIN

PETALING JAYA: Unsur anarki dalam media terutama berasaskan Internet di Malaysia dijangka akan menjadi lebih buruk melalui perang siber menjelang pilihan raya umum.

Ia dikhuatiri mengakibatkan pengundi membuat pilihan kerana kekeliruan dan bukan kefahaman, kataTokoh Wartawan Negara Datuk A.Kadir Jasin.

Semasa berkongsi pemerhatian itu dalam wacana "Komunikasi Massa: Antara Demokrasi dan Anarki" di sini, Khamis beliau berkata anarki dalam media digital secara terang-terangan memutar-belitkan fakta dan dalam masa yang sama tidak menghormati hak menjawab (mereka yang dilibatkan).

Katanya unsur anarki dalam media berlaku apabila mereka yang tidak terlatih dalam selok belok kewartawanan, tidak arif mengenai undang-undang berkaitan dan etika kewartawanan serta mentakrifkan kebebasan secara literal, telah melantik diri menjadi 'wartawan'.

"Boleh dijangkakan perang siber ini mungkin memburukkan unsur anarki ini yang akan berlaku dengan lebih hebat dalam masa yang singkat apabila Dewan Rakyat dibubarkan dan tarikh PRU (pilihan raya umum) ditentukan. "Ini situasi yang perlu diperhatikan oleh pengkaji-pengkaji media, PRU akan datang banyak bukan ditentukan oleh kefahaman, tetapi kekeliruan.

"Ini kemungkinan yang sangat berbahaya apabila orang yang akan keluar mengundi, tidak keluar mengundi atau merosakkan undi kerana kekeliruan," kata Kadir.

Kadir yang juga blogger 'The Scribe A Kadir Jasin' berkata pengendali blog tidak harus menyiarkan komen-komen yang memihak kepada mereka sahaja.

Beliau berkata kewartawanan warga ) di alam siber kini juga sudah dicemari oleh orang politik dan kapitalis.

Beliau berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, laman-laman blog terang-terangan dimiliki, diilhamkan dan dibiayai parti-parti politik, dan sekaligus memberi gambaran bahawa medium Internet itu diakui berkesan dan mempunyai peluang ekonomi dalam kegiatan itu.

"Dulu tidak ada blogger upahan, sekarang banyak blog yang sudah tidak berkecuali. Dulu nampak anti-establishment atau tidak menyokong pihak berkuasa, hari ini tidak lagi bersikap demikian," katanya.

Kadir ketika menyimpulkan wacananya berkata anarki siber sudah menjadi sebahagian landskap komunikasi massa malah merumitkan industri itu sendiri.

"Hari ini seorang programmer mencipta satu program yang dihakmilikkan, sebaik sahaja disebarkan atau dilancarkan akan ada beratus-ratus atau beribu-ribu orang yang cuba memecahkannya, mereka (ini) juga adalah anarkis alam siber," katanya.

Beliau juga menyimpulkan bahawa ledakan teknologi maklumat dan telekomunikasi memberi kesan dalam pendemokrasian maklumat selain memecahkan monopoli media tradisional dan media arus perdana ke atas maklumat dan pendakyahan (propaganda).

"ICT sudah mula melahirkan generasi tanpa sempadan, tanpa wajah dan terdedah kepada penerimaan berita 'hearsay' atau cakap mulut. Bagi saya ia membimbangkan akibat ketidakcekapan dan ketidak bertanggungjawaban pengguna dan pemilik teknologi," katanya.

Kadir yang ditanya mengenai cadangan penubuhan Majlis Media Sosial, berkata beliau tidak menentang penubuhan majlis itu. "Tubuhlah, kalau hendak buat, saya tidak bangkang. (Tapi jika) hendak kawal media Internet, hampir mustahil sebab sampai sekarang tidak boleh kesan semua pemilik blog, tutup hari ini, esok (timbul) yang baharu," katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas wacana itu, Kadir menggesa wartawan supaya memainkan peranan mereka dalam usaha mencegah penyebaran unsur anarki dalam media.

"Wartawan perlu selalu mengingatkan diri agar menulis berdasarkan fakta, selalu membuat kajian dengan banyak membaca dan tidak terlalu bergantung pada kenyataan akhbar dan teks ucapan semata-mata,"katanya.

Katanya, wartawan kini lebih seharusnya jauh lebih berpengetahuan dan bijak menggunakan maklumat yang terdapat dalam Internet untuk memberikan artikel yang bermaklumat tepat kepada khalayak.-BERNAMA/mStar
MELAYU SUDAH LAMA BERPECAH – TUN M

KUALA TERENGGANU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, tindakannya memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan parti pada 1998 bukan penyebab bermulanya perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Sebaliknya, jelas beliau, orang Melayu di negara ini sudah lama berpecah termasuk ketika penubuhan Malayan Union yang mana pelbagai konflik tercetus termasuk wujud golongan ulama daripada UMNO yang mengambil keputusan menubuhkan parti Pas.

Selain itu, jelas Dr. Mahathir, tindakan Tengku Razaleigh Hamzah yang menubuhkan parti serpihan UMNO iaitu Semangat 46 turut membuktikan telah berlaku perpecahan dalam kalangan orang Melayu ketika itu.

"Jadi, mahu kata kerana saya pecat Anwar (penyebab mula berlaku perpecahan orang Melayu) tidak benarlah. Kita tidak boleh menerima orang seperti ini (Anwar) menjadi Perdana Menteri. Sebab beliau ada karakter yang tidak boleh menjadi seorang Perdana Menteri.

"Kita tidak boleh terima manusia yang moralnya terlalu rendah untuk menjadi seorang pemimpin, kita malu dengan pemimpin seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta dalam sesi dialog selepas menyampaikan ucaptama sempena Seminar Pemantapan Profesionalisme, Transformasi, Budaya Kerja dan Pemikiran Pegawai Tadbir di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.–UtusanOnline

KD: Takkan Melayu hilang di dunia @ Melayu mudah lupa.. mana satu pilihan anda?

Thursday, October 18, 2012

MODUL CEGAH HAMIL LUAR NIKAH DALAM KOKURIKULUM TAHUN 6 & TINGKATAN 3

KUALA LUMPUR: Satu projek perintis untuk mendidik pelajar mengenai bahaya seks luar nikah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kokurikulum sekolah pada bulan lepas, yang merupakan cara untuk mencegah kehamilan di kalangan gadis di bawah 16 tahun.

Pelaksanaan itu merupakan antara langkah yang diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menangani isu sosial yang mencatatkan lebih 6,000 kehamilan dan kelahiran yang melibatkan gadis di bawah usia 16 tahun sejak tahun 2000.

“Berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sejumlah 6,820 kehamilan dan kelahiran melibatkan gadis di bawah 16 tahun telah direkodkan antara 2000 dan 9 Oktober 2012,” kata menteri dalam jawapan bertulis kepada Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) di Parlimen.

Projek perintis itu merupakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, mengajar murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Tiga mengenai risiko dan bahaya seks menerusi program Kesihatan Reproduktif dan Sosial.

Program itu berdasarkan modul Kesihatan Reproduktif Remaja oleh Persatuan Kesihatan Reproduktif Persekutuan.

“Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kokurikulum untuk Tahun Enam dan Tingkatan Tiga selepas peperiksaan UPSR dan PMR, serta pelajar yang menjalani peperiksaan khas di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara mulai September,” katanya.

Kementerian itu berkata, terdapat 67 guru diberi latihan untuk mengajar 1,360 pelajar mengenai bahaya dan risiko seks sebelum berkahwin semasa program itu diadakan antara 8 dan 10 September.

KD: Pada asalnya kurang setuju pendedahan awal sebegini dilaksanakan. Tetapi memandangkan zaman kini anak-anak di usia remaja dan berdarah muda amat mudah tersasar dan terjebak dalam gejala sosial terutamanya anak luar nikah dan kes buang bayi, maka mungkin langkah ini adalah satu usaha yang baik. Paling utama subjek Pendidikan Agama Islam (juga Pendidikan Moral) perlu diutamakan kerana pegangan agama yang utuh adalah penyelamat kepada semua masalah.
PERODUA TAWAR KERETA MURAH UNTUK PELAJAR IPT

KUALA LUMPUR: Tawaran program pemilikan kereta terbaru Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) kepada pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, tidak termasuk dalam pakej pembelian kereta tanpa bayaran pendahuluan.

Pakej promosi istimewa ‘What’s Up Graduates’ itu memberikan peluang kepada kumpulan pelajar tahun akhir untuk memiliki kereta PERODUA dengan bayaran serendah RM299 sebulan, bergantung kepada pinjaman bank yang ditawarkan institusi kewangan.

Taja kelas memandu

Pengarah Jualan dan Pemasaran PERODUA, Zahari Husin, berkata pakej itu turut termasuk tajaan kelas belajar memandu bernilai RM1,000, perlindungan insurans kemalangan bernilai RM20,000 dan diskaun 50 peratus bagi servis asas selama dua tahun di 170 pusat servis PERODUA di seluruh negara.

“Tawaran ini terbuka untuk pembelian semua kereta model PERODUA, tetapi ia tidak termasuk dalam pakej pembelian kereta tanpa bayaran pendahuluan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menerusi tawaran bermula 10 Oktober lalu dan akan berakhir 31 Mac 2013, pelajar hanya perlu menunjukkan kad pelajar serta membawa seorang penjamin bagi memohon tawaran berkenaan ketika melaksanakan urusan jual beli kenderaan di semua cawangan PERODUA.

Bayaran serendah RM299 sebulan itu hanya ditawarkan untuk bayaran bulanan bagi tahun pertama saja dan bayaran bagi tempoh seterusnya akan beransur-ansur meningkat dari tahun ke tahun sehingga habis tempoh pinjaman, sejajar dengan kenaikan gaji.–BHarian

KD:Wah..bertuahnya mahasiswa sekarang. Pelbagai insentif dan kelebihan ditawarkan kepada mereka. Diharapkan promosi sebegini tidak disalahgunakan atau dibazirkan oleh para mahasiswa. Mereka perlu sedar, promosi sebegini adalah bermatlamat untuk menjaga kebajikan serta memberi galakan kepada mereka agar mendapat kejayaan dalam bidang kerjaya.