Thursday, January 17, 2013

ISU KALIMAH ALLAH: HARAMKAN BIBLE BM - GERTAK

KUALA TERENGGANU – Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) mendesak kerajaan mengharamkan penyebaran kitab Bible versi bahasa Melayu di Terengganu.

Desakan itu terkandung dalam satu memorandum yang dihantar kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
 
Selain itu, termasuk dalam tuntutan Gertak ialah memohon Kerajaan Negeri mendapatkan perkenan Sultan Terengganu untuk mewartakan bukan sahaja kalimah ALLAH tetapi juga masjid, surau, ulama, ustazah dan ustaz dalam Enakmen Perundangan Islam negeri sebagai hak eksklusif orang Islam.
 
Setiausahanya, Azmi Ali berkata, pihaknya mencapai keputusan untuk mengemukakan memorandum dengan tiga tuntutan itu kepada Menteri Besar bersama 120 NGO lain dalam satu mesyuarat yang berlangsung kelmarin.
 
"Oleh kerana tujuan kami jelas iaitu untuk memelihara kepentingan agama dan umat Islam, khususnya di negeri ini, kami tidak merasakan bahawa tindakan kami ini terlambat walaupun isu kalimah ALLAH sudah semakin reda, apa lagi dengan tindakan Majlis Syura Ulama Pas yang juga tidak membenarkan kalimah ALLAH diguna dalam kita Bible berbahasa Melayu," katanya.
 
Azmi berkata, apa yang paling diutamakan oleh pihaknya ialah supaya tindakan itu akan melindungi akidah dan kedudukan Islam pada masa depan yang melibatkan generasi muda.
  
"Bukan mustahil isu seperti ini akan berbangkit semula, jadi kita perlu bersiap sedia dengan perlindungan undang-undang yang mantap," katanya.
 
Mengenai desakan supaya kerajaan mengharamkan Bible versi bahasa Melayu, Azmi berkata, tindakan perlu meliputi segala aspek penerbitan seperti percetakan dan juga pengedaran.

Dalam pada itu, Gertak juga menuntut Kerajaan Pusat tidak melayan sebarang rayuan berhubung larangan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam.

Azmi menjelaskan, sekiranya semua perkara tersebut dilulus dan diwartakan, ia boleh menjadi panduan sekiranya isu sama ditimbulkan pada masa akan datang.

“Apabila diwartakan, senang untuk dijadikan rujukan,” katanya. - Sinar Harian

KL112: POLIS MASIH TELITI VIDEO, GAMBAR HIMPUNAN
KUALA LUMPUR - Polis masih memantau dan meneliti rakaman video dan gambar semasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR KL112), Sabtu lalu, bagi mengesan mereka yang melanggar syarat yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kesemua sumber bukti (rakaman dan gambar) itu turut diperoleh daripada orang awam dan media, termasuk laman sosial.

“Kami akan mengesan beberapa kesalahan yang melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012. Ia bukan sahaja kesalahan membawa kanak-kanak, malah kami juga akan meneliti jika ada peserta membawa senjata semasa perhimpunan itu,” katanya.

Khairi AhrasaSyarat yang dipercayai dilanggar penganjur itu adalah membawa kanak-kanak bersama mereka menyertai perhimpunan, membawa pelekat atau sepanduk menghasut serta gagal mematuhi syarat yang dipersetujui mereka, iaitu menetapkan bilangan pesertanya seramai 30,000 sahaja.

Menurutnya, kertas siasatan berhubung perkara itu akan lengkap dalam tempoh dua minggu lagi. – Sinar Harian

Wednesday, January 16, 2013

WARTA TEMPAT KHAS UNTUK PERHIMPUNAN AWAM

Mat Sabu: Terima kasih kerana #KL112 aman
Stadium Merdeka menjadi lokasi Perhimpunan KL112
KUALA LUMPUR - Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menyarankan agar kerajaan mewartakan satu tempat untuk mengadakan perhimpunan awam dalam usaha memastikan ia berjalan secara aman.

Katanya, perkara itu juga bakal mencerminkan tindakan kerajaan dalam mematuhi hak kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, Akta Perhimpunan Aman perlu dikaji semula bagi memasukkan pindaan yang dicadang oleh Majlis Peguam.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata pindaan itu akan menjadikan undang-undang tersebut lebih progresif.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih perlu mewarta mana-mana tempat sebagai venue untuk mengadakan perhimpunan awam.

"Tempat itu ialah di mana perhimpunan boleh diadakan tanpa sebarang keperluan untuk pemberitahuan awal, atau mendapat keizinan pemilik atau penghuninya," katanya.

Sementara itu, dalam pembentangan bertajuk 'National Harmony: To Be Nurtured By Leadership and Not Compelled By Legislation' pada Persidangan Transformasi

Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi hari ini, Chee Wee berkata, dalam kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia, kerajaan telah mengiktiraf keperluan memperkukuh perpaduan nasional.

"Bagi mencapai objektif ini, kerajaan telah mengumumkan pemansuhan undang-undang tidak popular seperti Akta Hasutan, yang pada mulanya diganti dengan Akta Perhubungan Kaum dan kini oleh Akta Keharmonian Nasional.

"Hari ini dan esok menyediakan peluang lebih baik untuk menggambarkan cara melindungi serta menggalakkan perhubungan antara kaum yang seimbang berbanding kebebasan bersuara," katanya.

Beliau juga berkata hubungan antara kaum bukanlah suatu perkara yang mudah dan boleh ditangani dengan sekadar menggubal undang-undang. – Bernama/Sinar Harian
HENTIKAN ISU KALIMAH, HORMATI MAJLIS FATWA

KUALA LUMPUR - Semua pihak diingat untuk mematuhi peraturan dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung penggunaan kalimah ALLAH yang telah diputuskan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, isu itu sepatutnya dihentikan dan semua pihak menghormati sensitiviti antara kaum.

“Kita masih tetap dengan pendirian sebelum ini mengikut peraturan dan fatwa yang telah dikeluarkan. Saya harap semua pihak mendengar dan mematuhi keputusan yang telah dibuat.

Jamil Khir Baharom“Jangan cuba untuk mengelirukan umat Islam dan masyarakat umum dalam hal berkaitan,” katanya selepas majlis penyerahan cek hasil kutipan malam Demi Palestin  anjuran TV AlHijrah, hari ini.

Kelmarin, Majlis Syura Pas memutuskan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh bukan Islam berikutan kemarahan masyarakat Islam terutama mufti dan cendekiawan Islam terhadap pendirian asal Nik Aziz dan juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong saranan DAP itu.

Mengulas lanjut mengenai tindakan Pas itu, Jamil Khir berkata, pihaknya sentiasa kekal dengan pendirian dan keputusan yang telah dibuat.

“Kita kekal dengan keputusan yang telah dibuat, kita tidak ada U-turn.

“Kita lihat begini benda itu dalam Mahkamah Rayuan, wajar kita hormati mahkamah, dan kita perlu hormati sensitiviti semua pihak,” katanya yang tidak mahu perkara itu dipanjangkan lagi. -Sinar Harian
KALIMAH ALLAH: DAP PERAK SETUJU MAJLIS SYURA

IPOH - Isu berkenaan kalimah ALLAH tidak harus diperbesarkan sebaliknya perlu dibuat perbincangan bagi menyelesaikannya.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Majlis Syura Ulama Pas bahawa kalimah ALLAH adalah universal dan sesiapa pun boleh menyebutnya.

Beliau berkata, setiap agama mempercayai bahawa wujudnya satu tuhan iaitu ALLAH cuma setiap agama berbeza perspektif dalam mempercayainya.

“Saya yakin kebanyakan agama di dunia meyakini tuhan itu satu tetapi konsep ketuhanan itu sedikit berbeza.

“Saya juga bersetuju bahawa bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah ALLAH untuk maksud yang lain,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Koo Ham berkata demikian ketika mengulas Keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang memutuskan bahawa perkataan ALLAH tidak boleh digunakan di dalam kitab mana-mana agama di negara ini.

Menurut Koo Ham lagi, asal perkataan ALLAH itu sebenarnya diterjemah daripada bahasa Arab bukan bahasa Inggeris seperti di dalam Bible sekarang ini. –Sinar Harian
KALIMAH ALLAH: HADI, NIK AZIZ PATUT MINTA MAAF

SEMPORNA - Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu memohon maaf dan bertaubat berhubung kenyataan mereka sebelum ini yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan istilah ALLAH dalam kitab Bible Bahasa Melayu.

Menegaskan demikian, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata, sebagai manusia biasa kedua-dua pemimpin berkenaan perlu mengakui kesilapan mereka dan meminta maaf secara terbuka kepada semua umat Islam.

"Selaku pemimpin, mereka perlu berhati-hati kerana kita ini bercakap bukan soal politik tetapi soal agama. Agama ini bagi kita umat Islam adalah pegangan akidah.

"Sepatutnya tidak semudah itu merelakan atau membenarkan kalimah ALLAH digunakan oleh agama lain," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi, Kg Pulaggu Mabul di Pulau Mabul di sini, hari ini.

Nasir mengulas perubahan pendirian kedua-dua pemimpin berkenaan berhubung penggunaan istilah ALLAH selepas Majlis Syura Ulama Pas memutuskan bahawa penggunaan istilah itu adalah khusus untuk agama Islam sahaja dan tidak boleh diguna agama lain.

Nasir yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Semporna dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Senallang berkata, adalah jelas bahawa pemimpin Pas berkenaan lebih mengutamakan agenda politik pakatan pembangkang untuk berkuasa sehingga sanggup membelakangkan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Menurut Nasir pertikaian berhubung penggunaan istilah ALLAH itu tidak sepatutnya timbul kerana Majlia Fatwa Kebangsaan sudah membincangkan perkara itu dan telah memutuskan bahawa penggunaan istilah ALLAH hanya khusus untuk agama Islam sahaja. 

"Saya rasa pihak majlis fatwa negeri-negeri dan majlis fatwa kebangsaan sudah pun membincangkan perkara ini dan keputusan pun telah diambil," katanya. – Bernama/Sinar Harian

Tuesday, January 15, 2013

ISU KALIMAH ALLAH: NIK AZIZ AKUR KEPUTUSAN MAJLIS SYURA

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini menyokong penggunaan kalimah ALLAH pada Bible versi bahasa Melayu seperti diminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menukar pendirian dan sebaliknya cuba menjelaskan kenapa kalimah itu tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Majlis Syura Pas malam tadi memutuskan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh bukan Islam berikutan kemarahan masyarakat Islam terutama mufti dan cendekiawan Islam terhadap pendirian asal Nik Aziz dan juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong saranan DAP itu.

Akur dengan keputusan Majlis Syura yang turut dihadirinya, Mursyidul Am Pas itu berkata, keputusan itu dibuat kerana khuatir ia bertentangan dengan maksud sebenar kalimah itu seperti umat Islam yang percaya bahawa ALLAH itu adalah Esa (Satu).
  
"ALLAH ini adalah nama bagi Tuhan. Kita (Islam) namakannya (ALLAH). Jadi kalau ada orang lain, agama lain yang tidak mempunyai tuhan yang satu tiba-tiba mahu menggunakan nama ALLAH, itu tidak betul.
  
"ALLAH itu adalah tuhan yang Satu. Yang Maha Berkuasa. Kalau agama lain yang (mempunyai) tuhannya tidak satu atau lebih, itu mengarut. Kalau nak guna boleh, tapi salahlah (maksud sebenar)," katanya kepada pemberita sewaktu pulang dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
      
Beliau memberi contoh penganut Kristian percaya kepada Trinity yang sama sekali tidak boleh menggunakan kalimah Allah kerana tidak menepati maksud sebenar.
  
Majlis Syura Pas telah memutuskan kalimah ALLAH adalah kalimah khusus yang ALLAH menamakan diri-Nya ALLAH dan oleh itu tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu.

Selain itu majlis itu juga memutuskan mana-mana kalimah asing tidak boleh diterjemahkan kepada kalimah ALLAH.  

Sebelum ini Pas, DAP dan PKR membuat ketetapan bahawa kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut semua agama tetapi dengan syarat tidak disalahgunakan.  – Bernama/Sinar Harian