Tuesday, October 1, 2013

MCPF MAHU OPS CANTAS CEGAH JENAYAH JALANAN 

KUALA LUMPUR - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berharap kejayaan polis mengurangkan kadar jenayah menerusi Ops Cantas Khas yang dilancarkan sejak 17 Ogos lalu dapat diperluaskan kepada jenayah jalanan.


Naib Presidennya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meneruskan Ops Cantas Khas amat dialu-alukan kerana operasi berkenaan mampu meningkatkan keyakinan masyarakat dalam soal keselamatan.

Sumber: Berita Harian
KERAJAAN PERLU SEDIA PELAN BANTU GOLONGAN PERTENGAHAN 

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menyediakan pelan membantu golongan pertengahan berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, yang kini dihimpit bebanan kos sara hidup ekoran kenaikan harga barang.

Pelan itu perlu merangkumi pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk skim perumahan bagi mengatasi masalah pemilikan rumah yang dihadapi golongan terbabit.

Cadangan itu disuarakan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2013 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, semalam.

Sumber: Berita Harian

KD: Golongan pertengahan = golongan miskin bandar..
KEPUTUSAN PEMILIHAN CEC BUKTI DAP PARTI RASIS

Georgetown: Bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd Noor menyifatkan keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Eksekutif (CEC) yang menyaksikan enam pemimpin Melayu tersisih sekali lagi sebagai ‘kemungkaran mengalahkan kebenaran’.

Katanya, keputusan yang tidak berpihak kepada orang Melayu sememangnya sudah dijangka dan dilihat sebagai dirancang secara profesional oleh pemimpin tertentu dalam parti itu.

Sumber: Berita Harian
KEKALKAN KEMATANGAN BERPOLITIK 


Kota Marudu: Kematangan ahli UMNO memastikan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak ditandingi membantu Datuk Seri Najib Razak fokus di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan dalam pertemuan dengan pemimpin dunia di New York.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ketiadaan pertandingan dua jawatan tertinggi itu juga bukti ahli dan pemimpin akar umbi menghargai gandingan corak kepemimpinan Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui UMNO, Barisan Nasional (BN) serta negara.


Sumber: Berita Harian
412,245 PEMINJAM PTPTN TIDAK BUAT BAYARAN BALIK 

KUALA LUMPUR - Seramai 412,245 peminjam tidak membuat bayaran balik kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 31 Ogos lepas, kata Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Beliau berkata daripada jumlah itu, kaum Melayu mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 328,550 diikuti Cina (55,445) dan India (28,250).
 
Katanya jumlah keseluruhan peminjam PTPTN ialah 1.24 juta orang.
 
Perkara itu dinyatakan beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di Dewan Rakyat di sini hari ini. -Sinar Harian

Monday, September 30, 2013

NGO SERAH MEMORANDUM BANTAH PINDAAN PCA

SHAH ALAM - Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini, telah menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi bagi membantah pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959.

Menurut wakil jurucakap NGO terbabit, Fadiah Nadwa, pindaan akta tersebut seolah-olah mengembalikan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu menahan seseorang tanpa bicara.

 “Kenapa perlaksanaannya ingin dilaksanakan secara tergesa-gesa?

“Kami akan berjuang sehingga akta ini tidak dilaksanakan, kita tunggu apa maklum balas menteri, kalau tiada apa-apa tindakan kami akan terus berusaha untuk membantah perlaksanaannya,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online, hari ini.

Sementara itu, kira-kira 50 orang hadir untuk menyerahkan memorandum tersebut di bangunan Parlimen pada jam 12 tengah hari tadi.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali serta beberapa ahli Parlimen pembangkang dan Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa pindaan ke atas akta tersebut yang dicadangkan kerajaan adalah lebih khusus untuk memerangi jenayah terancang.

Perdana Menteri turut berkata, ia bukan hendak mengembalikan ISA.

Najib berkata, ISA berbeza daripada PCA kerana ISA memberi kuasa begitu luas untuk menahan seseorang individu tanpa proses mahkamah sebaliknya kuasa itu diberikan kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri.

"Tetapi kali ini (di bawah pindaan akta) keputusan akan dibuat oleh pihak hakim, jadi kalau polis menahan sesiapa, ia perlu menyakinkan pihak hakim bahawa individu tertentu ini perlu ditahan," kata Najib.


Sumber: Sinar Harian

Wednesday, September 25, 2013

NAFI PCA GANTI ISA
KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) bertujuan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

"Tidaklah. Itu adalah pindaan selari, kerana apabila PCA 1969 dipinda, ia juga melibatkan 10 undang-undang lain.

"Oleh itu, pindaan selari dilakukakan supaya tak bercanggah dengan pindaan PCA ini," katanya.

Pada 3 September lalu, Ahmad Zahid mengumumkan draf pindaan PAC 1959 yang sedang dirangka akan memberikan kuasa yang lebih menyeluruh kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam aspek pencegahan jenayah.

Beliau berkata, draf berkenaan yang sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara dan dibentang di Parlimen bagi kelulusan dan turut dipastikan akan terpakai dan diamalkan di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, ketika ditanya lanjut mengenai tarikh, Ahmad Zahid memberitahu, akta tersebut akan dibentangkan Isnin depan.

"Berilah saya bentang..Saya akan bentangkan pada 30 September ini.

"Saya akan menerima sebarang perbahasan...Nanti, tunggu perbahasan," katanya.

Beliau juga memberitahu,satu forum mengenai undang-undang dan tatacara pencegahan jenayah di Putrajaya.

"Pada 28 September nanti kita akan adakan forum dan kita jemput majlis peguam untuk bersama-sama dalam forum berkenaan dan kita minta mereka berikan pendapat," katanya.


Sumber: Sinar Harian