Friday, December 20, 2013

SAYA DENGAR KELUH KESAH RAKYAT - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau mendengar keluh-kesah rakyat terutama berkenaan kenaikan kos sara hidup.
  
Beliau menegaskan kerajaan sentiasa mencari formula sesuai untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka.
  
Dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, Najib berkata pada masa sama, kerajaan juga perlu memandang ke hadapan demi memastikan ekonomi negara terus mampan.
  
"Disebabkan itu, kerajaan bersetuju menubuhkan Makmal Mengenai Kos Sara Hidup di bawah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu)," katanya.
  
Beliau menjelaskan makmal itu bertujuan mengkaji serta merangka langkah susulan untuk meringankan beban rakyat dalam mengharungi masalah kenaikan kos sara hidup.


Sumber: Sinar Harian

Thursday, December 19, 2013

KAJI SEMULA AKUJANJI KADAR TOL
 
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semula kerajaan BN agar mengkaji semula cadangan kenaikan kadar tol.

Menurutnya, ia adalah kerana BN pada PRU13 lalu telah berjanji secara spesifik melalui akujanji pilihan raya bahawa akan mengurangkan tol secara berperingkat.

"Dalam konteks tol, di bawah tajuk 'Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Pembangunan Luar Bandar', untuk 'mengurangkan tol antara bandar secara berperingkat'.

"Saya menaruh keyakinan bahawa Perdana Menteri akan melihat perkara ini dengan lebih komprehensif. Apabila Perdana Menteri umum 'kos sara hidup' sebagai agenda utama akujanji, ianya pasti diberi perhatian oleh kerajaan," katanya, semalam.

Selain itu, Reezal turut menyeru Kementerian Kerja Raya membuat kajian lebih holistik sebelum menandatangani konsesi tol baharu pada masa akan datang.

"Ia perlu dilakukan dengan mengambil kira kadar keuntungan bersesuaian kepada syarikat konsesi berkaitan. Antara lebuhraya baharu dalam peringkat kajian, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) dan Lebuh raya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) mempunyai implikasi kewangan 'harian' kepada pengguna," katanya.

Katanya lagi, Kementerian Kerja Raya juga perlu menyatakan kepada umum mengenai status kajian penstrukturan kadar tol Besraya, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

"Rakyat wajar diberikan pencerahan mengenai kajian semula, apatah  lagi ia dinyatakan secara spesifik dalam Pelan Perancangan Strategik Kementerian Kerja Raya.

"Rasionalisasi subsidi mesti dilakukan secara berhati-hati, agar ia tidak membebankan rakyat dalam apa jua keadaan. Berdasarkan maklum balas rakyat, mereka terbeban dengan apa yang berlaku akhir-akhir ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian

KENAIKAN TOL, ELEKTRIK: TWU MOHON KERAJAAN TIMBANG SEMULA


KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) meminta kerajaan mempertimbang semula keputusan menaikkan kadar tol lebuh raya dan tarif elektrik yang dijadual berjalan serentak bermula Januari depan.

Setiausaha Agung (TWU), Tan Sri Zainal Rampak berkata kerajaan boleh menangguh sementara kenaikan itu bagi membolehkan perbincangan semula diadakan dengan syarikat konsesi memandangkan kutipan diperoleh bertambah setiap tahun. 

"Perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya merupakan satu persetujuan, jadi atas faktor itu kerajaan boleh berunding semula
berhubung terma perjanjian," katanya di sini hari ini.

Zainal, yang juga bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata kenaikan kadar tol dan elektrik secara serentak merupakan kejutan buat rakyat berpendapatan rendah kerana caj baru itu menjejas perbelanjaan harian mereka.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata kadar baharu tol ialah untuk projek lebuh raya baharu dan pemegang konsesinya perlu membuat kaji selidik terlebih dahulu sebelum menetapkan kadar itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Seri Azman Mohd pula menyatakan tarif elektrik baharu itu adalah sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi kerajaan untuk pengukuhan fiskal dan ia perlu untuk kebaikan jangka panjang ekonomi negara. - Bernama

Sumber: Sinar Harian


Wednesday, December 18, 2013

KENAIKAN KADAR TOL: PEMEGANG KONSESI SUDAH MEWAH

PETALING JAYA - Pemegang konsesi tol di negara ini telah pun menikmati keuntungan 'luar biasa' sehingga mencecah 61 peratus keuntungan bersih sebelum cukai dan kadar tol tersebut dipercayai antara yang tertinggi di dunia.

Rafizi RamliPengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa pemegang konsesi yang dikuasai kerajaan itu seolah-olah 'lupa' terhadap pertambahan kenderaan di lebuh raya setiap tahun yang menyumbangkan keuntungan berlipat ganda itu.

"Dalam perjanjian konsesi telah menetapkan sasaran kenderaan yang perlu menggunakan lebuh raya, apabila jumlah kenderaan meningkat, keuntungan juga meningkat.

"Apabila kerajaan mahu menyemak semula kadar tol itu, ia menghina rakyat di kala kerajaan dan pemegang konsesi bermewah dengan keuntungan yang sudah terlalu tinggi," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut cadangan dan alasan kenaikan tol seperti mana yang dipertahankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar semalam sambil mengatakan pengguna jalan raya boleh membuat pilihan jika kenaikan tol terlalu tinggi, Rafizi menyifatkan ia sebagai kenyataan yang mengelirukan rakyat.

Menurutnya, walaupun kadar tol tidak dinaikkan, jumlah kutipan tetap meningkat dan margin keuntungan kekal tinggi kerana jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya meningkat saban tahun.

"Pada 2010, Lebuhraya Plus menyaksikan peningkatan kepada 8 peratus melibatkan 417 juta kenderaan setahun manakala Lebuhraya Maju Expressway pada tahun sama mencatatkan kenaikan tertinggi iaitu 8.1 peratus membabitkan 78,982 kenderaan sehari.

"Dalam keadaan kos operasi yang rendah (kurang 10 peratus setahun), keuntungan yang dinikmati merupakan antara tertinggi berbanding industri lain," dakwanya.

Beliau menegaskan kenaikan itu juga 'tidak masuk akal' kerana majoriti daripada pemegang konsesi dikuasai kerajaan malah syarikat terbabit mendapat bantuan kewangan dan subsidi daripada kerajaan untuk melaksana dan mengendalikan lebuh raya bertol.

"Saya membidas sekerasnya keangkuhan Wahid yang memberi kata dua kepada pengguna jalan raya agar tidak menggunakan jalan bertol jika tidak bersetuju dengan kenaikan itu.

"Beliau (menteri) seolah-olah tidak duduk di negara apabila tidak memahami kepayahan rakyat yang terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang," katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian

TWU MOHON TIMBANG SEMULA KENAIKAN TOL, ELEKTRIK

KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) meminta kerajaan mempertimbang semula keputusan menaikkan kadar tol lebuh raya dan tarif elektrik yang dijadual berjalan serentak bermula Januari depan.

Setiausaha Agung (TWU), Tan Sri Zainal Rampak berkata kerajaan boleh menangguh sementara kenaikan itu bagi membolehkan perbincangan semula diadakan dengan syarikat konsesi memandangkan kutipan diperoleh bertambah setiap tahun. 

"Perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya merupakan satu persetujuan, jadi atas faktor itu kerajaan boleh berunding semula
berhubung terma perjanjian," katanya di sini hari ini.

Zainal, yang juga bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata kenaikan kadar tol dan elektrik secara serentak merupakan kejutan buat rakyat berpendapatan rendah kerana caj baru itu menjejas perbelanjaan harian mereka.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata kadar baharu tol ialah untuk projek lebuh raya baharu dan pemegang konsesinya perlu membuat kaji selidik terlebih dahulu sebelum menetapkan kadar itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Seri Azman Mohd pula menyatakan tarif elektrik baharu itu adalah sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi kerajaan untuk pengukuhan fiskal dan ia perlu untuk kebaikan jangka panjang ekonomi negara. – Bernama


Sumber: Sinar Harian

ISU KENAIKAN KADAR TOL: PEMUDA UMNO CADANG BERI REBAT, KURANGKAN BEBAN

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji mengadakan pemberian rebat sebagai pulangan kepada pengguna pengangkutan awam bagi membantu mengurangkan beban kenaikan tol.

Ketua Pemuda Umno Kepong, Abd Razak Abd Rahman berkata, rebat tersebut boleh diperoleh melalui semua  pengendali pengangkutan awam khususnya di ibu kota.

Menurutnya, sebagai contoh pengguna akan memperoleh rebat berupa baucar yang boleh ditukar melalui kad prabayar Touch n Go setiap kali  menggunakan perkhidmatan awam seperti bas, LRT atau komuter.

“Melalui kenaikan kadar tol, kerajaan patut memberi  keuntungan kepada rakyat bukan tertumpu hanya  kepada pemegang-pemegang saham syarikat konsesi.

“Selain itu, rebat  diskaun ataupun pengecualian tambang juga dicadangkan kepada pelajar dan warga emas yang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Razak turut menyarankan kempen car-pool perlu dikuatkuasakan  semula  bagi memberi insentif pengecualian kadar tol atau kadar minimum kepada kenderaan pengangkutan awam.

“Kita memang memahami bahawa mengikut perjanjian konsesi, kadar ini perlu dinaikkan, bagaimanapun, perlu ada timbal balas kepada rakyat secara dua hala melalui situasi menang-menang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian


DIKAIT SYIAH, MAT SABU TETAP 'COOL'

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyatakan kelewatannya bertindak apabila dikaitkan dengan isu Syiah kerana mahu kekal "cool".

Bercakap kepada Sinar Harian dalam wawancara khas semalam, Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, apabila dirinya dikaitkan dengan fahaman itu, perkara pertama dilakukan adalah tidak boleh melatah dan perlu berbincang dengan individu yang lebih arif mengenainya.

"Saya orangnya jenis "cool",  saya kena berbincang dengan peguam dan benda ini bukan benda perlu melatah apa-apa.

"Saya pun sudah sebut dah tajuk ini (dalam sidang media), biarlah ia di mahkamah, baik kita cakap benda lain," katanya dalam temu bual yang diadakan di pejabatnya, semalam.

Awal bulan ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno menyatakan pembabitan pemimpin nombor dua Pas itu dengan fahaman Syiah.

Beliau kemudian menggesa pihak bertanggungjawab mengendalikan kes itu

Susulan itu,  Ahmad Zahid menerusi kementeriannya mengemukakan 10 bukti bagi mengaitkan Mat Sabu dengan Syiah dan menggesa pemimpin Pas itu membuktikan dirinya tidak terlibat dengan fahaman itu.

Selain 10 bukti yang didedah kepada awam, KDN berkata, beberapa bukti yang dikategorikan gred A akan diserahkan kepada Jakim bagi tindakan selanjutnya.

Namun Mat Sabu dilihat mengambil pendekatan relaks dan baru semalam secara rasminya menyatakan pendirian berhubung tuduhan penganut Syiah yang dilemparkan ke atasnya.

Beliau mengumumkan bakal memfailkan saman ke atas Ahmad Zahid kerana mendakwa menteri itu sebagai pencetus yang mengaitkan beliau dengan isu Syiah.

Dalam pada itu, Mat Sabu yang baru semalam diumumkan sebagai Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang yang baru berkata, selepas ini beliau tidak akan lagi bercakap kepada umum isu berkaitan Syiah.

"Saya memang tak akan cakap isu ini lagi, saya akan cakap isu biasa saja," katanya.

Sumber: Sinar Harian