Wednesday, January 1, 2014

PM UMUM 11 LANGKAH PENJIMATAN SEKTOR AWAM
Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, berkuat kuasa 1 Januari 2014.
Perdana Menteri berkata, ia sejajar hasrat kerajaan untuk berbelanja secara berhemat tahun depan, manakala langkah penjimatan lain bakal menyusul dan diperkenalkan secara berperingkat berdasarkan keperluan serta keadaan semasa.
 “Keputusan dibuat selepas berunding dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
 Langkah berkenaan ialah:
-Pengurangan 10 peratus elaun keraian menteri dan timbalan menteri serta lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) ke atas.
 -Pengurangan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.
-Pengurangan RM50 hingga RM100 atau 30 peratus kemudahan bayaran tol bagi pegawai kanan kerajaan (Gred JUSA C ke atas).
-Pembekuan permohonan baru bagi pengubahsuaian ruang pejabat kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.
-Mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek fizikal kerajaan termasuk menjalankan kajian kesesuaian, manakala cadangan pelantikan perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan KSN untuk kelulusan.
-Pengurangan penggunaan syarikat pengurusan acara dan pemberian cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis kerajaan membabitkan anggota pentadbiran serta penjawat awam.
-Pindaan kelayakan tiket penerbangan domestik dan antarabangsa. Ia termasuk penggunaan kelas ekonomi sektor domestik bagi penjawat awam Gred JUSA C ke bawah.
-Mengurangkan penyediaan makanan dan minuman semasa penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.
 -Pengurangan penggunaan kain pemidang bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau acara rasmi kerajaan.
-Mengoptimum penggunaan ruang pejabat sedia ada untuk mengurangkan sewaan premis.
-Mengguna pakai pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimumkan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan di institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar serta bengkel.
Sumber: Berita Harian

Tuesday, December 31, 2013

ELAUN MENTERI DIKURANGKAN MULAI 1 JAN

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Januari.

Tindakan itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun depan, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata kerajaan juga akan mengurangkan elaun keraian sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.

Selain itu, kemudahan tol pegawai kanan kerajaan gred itu juga akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau sebanyak 30 peratus, katanya dalam kenyataan dua muka surat itu.

Najib berkata kerajaan juga akan meminda kelayakan Tiket Penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi penjawat awam iaitu kelayakan penerbangan sektor domestik bagi Gred Jusa C ke bawah ialah Kelas Ekonomi.

Selain itu, kerajaan juga akan mengurangan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan, selain membekukan permohonan baharu bagi pengubahsuaian ruang pejabat kerajaan.

Perdana menteri berkata kerajaan juga memutuskan untuk mengoptimakan penggunaan ruang pejabat sedia ada bagi mengurangkan sewaan premis pejabat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga akan mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek-projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan.

Beliau berkata cadangan pelantikan hendaklah dikemukakan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk kelulusan.

Kerajaan juga akan mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara atau 'event management' serta pemberian saguhati (door gifts) atau cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan yang melibatkan anggota pentadbiran dan penjawat awam, katanya.

Najib berkata kerajaan juga akan mengurangkan penyediaan makanan dan minuman serta mengurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

Kerajaan juga akan mengaplikasi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimakan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan-kemudahan di institusi-institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar dan bengkel, katanya. – Bernama


Sumber: Sinar Harian

Monday, December 30, 2013

TURUN JAMIN HIMPUNAN AMAN

SHAH ALAM - Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) memberi jaminan perhimpunan yang akan diadakan malam esok bakal berlangsung aman.

Pengerusinya, Muhamad Azan Safar berkata, himpunan yang berkonsepkan duduk dan bantah ini bertujuan untuk rakyat memberi mesej jelas berhubung isu protes kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Himpunan ini juga bebas dari sebarang provokasi dan ancaman yang menggugat kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.

“Peserta himpunan juga diseru untuk membawa bendera Malaysia tanda patriotik dan cinta kita kepada negara selain memakai pakaian tema yang berwarna hitam,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Katanya lagi, peserta dilarang membawa poster atau sepanduk yang mengandungi unsur provokasi dan ancaman.

Menurut beliau lagi, mana-mana ahli  politik yang ingin turut serta diminta tidak membawa ideologi politik dalam perhimpunan itu.

“Himpunan ini adalah himpunan rakyat, yang akan diraikan dan disambut juga oleh rakyat.

“Mana-mana kumpulan termasuk ahli politik sewajarnya turun sebagai rakyat tanpa bendera yang melambangkan parti masing-masing,” katanya.

Menurut Azan, waktu berkumpul adalah pada jam 9 malam dan peserta dijangka bersurai secara aman setelah meraikan tahun baharu 2014.

Sumber: Sinar Harian

KURANG BELANJA SEKTOR AWAM: PENGUMUMAN PM BERI KESAN POSITIF

SHAH ALAM - Penganalisis berpendapat langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan sektor awam melalui 11 langkah bermula 1 Januari ini, dilihat sebagai usaha memulihkan imej kerajaan di mata rakyat.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, langkah mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri akan beri kesan positif kepada kerajaan.

Bagaimanapun, tindakan mengurangkan elaun keraian lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas pula, dijangka  beri reaksi berbeza di kalangan penjawat awam elit.

"Langkah ini adalah satu usaha untuk kurangkan kos perbelanjaan yang dijangka menyumbang kepada ekonomi negara yang lebih baik.


Sumber: Sinar Harian
31 DISEMBER HARI TERAKHIR TEBUS REBAT TOUCH N GO

SHAH ALAM – Pengguna Touch n Go diingatkan untuk menebus rebat sebanyak 20 peratus bagi penggunaan lebuh raya esok (31 Disember), iaitu hari terakhir tahun 2013.

Sinar Harian difahamkan, mulai 1 Januari 2014, pemberian rebat tersebut akan dimansuhkan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, syarikat pengendali sistem pembayaran elektronik, Touch n Go Sdn Bhd tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada tawaran rebat sebanyak 20 peratus bagi pengguna lebuh raya diterus atau dimansuhkan.

Menurut sumber, semua keputusan hanya akan diputuskan kerajaan dan Touch n Go  tidak menerima sebarang arahan berhubung perkara itu.

Katanya, jika kerajaan mengambil langkah untuk memansuhkan rebat tersebut, ia boleh dilakukan terus tanpa notis.

“Memandangkan ini adalah hadiah daripada kerajaan kepada rakyat, jadi itu hak mereka untuk terus atau sebaliknya.

“Pengurusan Touch n Go tidak berhak memberi sebarang kenyataan berhubung hal ini,” katanya.

Rebat Touch n Go termasuk dalam 11 hadiah mesra rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan 100 hari sebagai perdana menteri pada 11 Julai 2009.


Sumber: Sinar Harian

JANGAN RAKYAT SENGSARA PEMIMPIN SELESA 

SHAH ALAM - Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff hari ini bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Pulai (BN), Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan bahawa kerajaan perlu memahami segala permasalahan rakyat dan cuba mencari jalan terbaik untuk mengatasinya dalam istilah mudahnya ialah memahami denyut nadi rakyat.

Menurutnya, mengambil satu contoh, dari aspek ekonomi, sekiranya berlaku bebanan terhadap ekonomi negara kedua-dua pihak sama ada daripada pemimpin mahupun rakyat perlu sama-sama memikul bebanan tersebut, agar tidak timbul istilah ‘berat sebelah’, atau hanya satu pihak sahaja yang terpaksa menanggung beban tersebut.

“Bagi saya pemimpin jangan hanya pandai melepaskan diri mereka sahaja, cuba fahami masalah rakyat.

“Setiap bebanan negara itu dipikul bersama, jangan hanya rakyat yang terpaksa menanggung sengsara tetapi pemimpin selesa.

“…oleh itu saya sangat kecewa sekiranya pemimpin memberi aspirasi palsu kepada rakyat, bagi saya rakyat tidak tuntut lebih, tetapi mereka hanya mahukan sedikit ruang untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online hari ini.

Mengulas lanjut, Agus menegaskan pemimpin yang tidak mempunyai ‘jiwa rakyat’ pasti akan ditolak oleh rakyat kelak.

“Ingatlah pemimpin jangan sampai satu hari nanti kamu ditolak oleh rakyat, dek kerana sikap kamu yang tidak pernah memahami denyut nadi rakyat.

“Setiap persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat itu perlu difahami dan dijawab sebaik mungkin, bukan dibalas dengan jawapan yang seolah-olah memandulkan rakyat,” tegasnya.

Hari ini dalam satu kenyataan, Nur Jazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan BN perlu memahami denyut nadi agar tidak ditolak oleh rakyat dalam PRU yang akan datang.


Sumber: Sinar Harian

Bantuan persekolahan RM100 diagih 15 JanuariBANTUAN PERSEKOLAHAN RM100 DIAGIH 15 JANUARI

KUALA LUMPUR: Bantuan persekolahan RM100 seorang kepada 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan mula diagihkan selepas 15 Januari depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, ketika dihubungi berkata, beliau akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan perkara itu hari ini.

Sumber: Bernama/mStar