SHAH ALAM - Jawatankuasa Kerja
Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), menerima dengan tangan terbuka
sekiranya bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berhasrat
menyertainya.
Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahya
berkata, atas asas dan wadah perjuangan menegakkan Islam yang sama, penyertaan
Nasharudin amat dialu-alukan.
Menurutnya, kerjasama Nasharudin
sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia amat
diperlukan.
“Tidak timbul masalah untuk beliau
menyertai Ilmu, meskipun masih lagi menjadi ahli Pas. Ilmu merupakan NGO yang
proUmno dan bukannya sepenuhnya dengan Umno.
“Bagaimanapun, tiada paksaan untuk
Nasharudin. Terpulang kepadanya untuk membuat keputusan,” katanya kepada Sinar
Harian, semalam.
Fathul Bari sebelum itu membalas
cadangan pihak tertentu supaya Nasharudin menyertai Ilmu dalam laman sosial
Twitter miliknya.
Dipetik dalam tweetnya, Fathul Bari
membalas, ‘ahlan wa sahlan’ atas cadangan tersebut dan menyifatkan Nasharudin
sebagai seorang yang menghormati perjuangan dan pandangan orang lain.
Majlis Syura Ulama Pas, pada
mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
pada 13 Januari, menggugurkan Nasharudin sebagai anggota majlis itu kerana
didapati melanggar peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh parti.
Keputusan menggugurkan Nasharudin
diambil setelah mendapati tindak-tanduk beliau kebelakangan ini merugikan
parti. – Sinar Harian
No comments:
Post a Comment