-Rencana
oleh: Muhamad Mat Yakim/Sinar Harian
Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat semalam seakan menunjukkan pintu kepada Nasharudin Mat Isa
supaya segera keluar meninggalkan Pas. Maksud ini diperlihatkan menerusi
kenyataannya bahawa Nasha kini sudah boleh memilih mana-mana parti yang mahu
disertainya - seumpama seorang wanita yang sudah diceraikan.
"Selepas
itu (diceraikan), mana-mana lelaki lain nak buat bini, ambillah ..."
Demikian Nik Aziz dilaporkan berkata.
Meneliti
perkembangan terbaru konflik dalaman parti itu, boleh disimpulkan bahawa
perjuangan Nasha bersama Pas yang digelumanginya sejak zaman pelajar di Jordan,
sudah hampir berakhir.
Sekarang
adalah masa untuk beliau membuat keputusan, sama ada meneruskan karier sebagai
ahli politik sepenuh masa yang telah menjadi bidangnya sejak dilantik sebagai
Setiausaha Agung Pas pada 1999, menyertai mana-mana pertubuhan bukan kerajaan
terutama yang memberi perhatian terhadap isu-isu kemanusiaan di Timur Tengah,
khususnya Palestin, ataupun kembali semula ke bilik kuliah sebagai ahli
akademik.
Apa sahaja
bidang yang disertainya, Nasha sememangnya adalah ahli dan mempunyai reputasi
yang tinggi. Cumanya, jika beliau memilih untuk terus menjadi ahli politik,
parti manakah yang akan dipilih?
Nik Aziz
semalam sudah mengingatkan, jika Nasha menganggap dirinya seorang pejuang
Islam, di negara ini tidak ada parti yang memperjuangkan Islam selain Pas. Jika
beliau memilih Umno, bagi Nik Aziz, Umno adalah parti yang menolak Islam dan
memilih perjuangan kebangsaan (assobiyah).
Itu
kenyataan Nik Aziz. Soalnya, adakah Nasha - yang pernah jadi orang nombor dua
Pas selama tiga penggal berturut-turut - pun berpendirian seperti itu juga?
Mengenali
Nasha, beliau bukan seorang ulama konservatif seperti kebanyakan ulama dalam
Pas. Meskipun di peringkat awal kontroversi yang meletakkan dirinya di atas
bara ketika isu Kerajaan Perpaduan berkumandang pada 2009, Nasha dikatakan
hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya oleh Majlis Syura
Pas untuk mengatur rundingan dengan pemimpin Umno, beliau sebaliknya tidak
pernah mengundur daripada laluan yang telah dirintis untuk terus berhubungan
mesra dengan pemimpin Umno.
No comments:
Post a Comment