KUALA
LUMPUR - Isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seharusnya tidak timbul
kerana ia telah termaktub di bawah undang-undang di 10 negeri yang menetapkan
penggunaannya hanya untuk orang Islam sahaja.
Bekas Ketua
Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata, semua pihak harus
menghormati peruntukan undang-undang tersebut dan tidak mempersoal mahupun
membangkitkan perkara itu sama sekali.
Tegasnya
Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas menyatakan bahawa Islam merupakan
agama rasmi negara, justeru semua pihak termasuk bukan Islam perlu memahaminya
serta tidak menuntut perkara yang tidak sepatutnya.
"Perlembagaan
dengan jelas menyatakan Islam adalah agama persekutuan dan agama lain boleh
diamalkan secara aman damai, namun apa yang berlaku sekarang ada pihak yang
mahu menggunakan kalimah Allah untuk bukan Islam.
"Ini
bermakna bukan Islam tidak mengamalkan agama mereka secara aman damai dan ini
boleh mencetuskan perbalahan...kita juga tidak tahu apa motif mereka (pihak
yang menuntut penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam)," katanya
kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Taklimat draf asas Memorandum kepada
Majlis Raja-Raja berhubung Isu Memepertahankan Kesucian Nama Allah di sini,
hari ini.
Sehubungan
itu, selaku Pengerusi Sekretariat Mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan,
sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menyelesaikan isu berkaitan Islam,
Ahmad Fairuz berkata pihaknya akan menyiapkan satu memorandum untuk diserahkan
kepada Majlis Raja-Raja.
Beliau
berkata memorandum itu dirangka untuk memohon dan merayu Majlis Raja-Raja yang
dianggotai Sultan dan Raja Melayu selaku ketua agama Islam di setiap negeri
supaya mengeluarkan satu ketetapan khusus untuk menghentikan sebarang tindakan
yang boleh mencemarkan kesucian agama itu.
"Memorandum
ini juga mengandungi petisyen daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang
menolak sama sekali sebarang cubaan untuk mengganggu gugat kesucian Islam dan
jika tiada sebarang halangan (memorandum) akan diserahkan kepada pihak Majlis
Raja-Raja pada penghujung Februari ini," katanya. - Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment