SHAH ALAM –
Penganalis politik berpendapat keputusan Majlis Syura Pas menggugurkan
keanggotaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai satu
keputusan yang tepat, namun agak kelewatan.
Timbalan
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor
Negara, Profesor Dr Jayum Jawan berkata, kemungkinan Majlis Syura sudah tidak
nampak sebarang jalan lalu mengambil langkah untuk memecat Nasharuddin sebagai
jalan terbaik.
"Mana-mana
parti politik di Malaysia pun, kalau mempunyai ahli yang sudah tidak lagi
sealiran, mereka pastinya tidak mempunyai pilihan lain selain menyingkirkan
ahlinya itu.
"Cuma
dalam hal ini, Majlis Syura bertindak lewat, itu sahaja dan keputusan itu juga
sudah boleh dijangkakan malah tidaklah mengejutkan," katanya ketika
dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Sementara
itu, sambil menyifatkankan tindakan Majlis Syura adalah wajar, Pensyarah Pusat
Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad
Atory Hussain berkata, tindakan Nasharudin kebelakangan ini menampakkan beliau
sudah hilang yakin terhadap perjuangan Pas.
“Apa yang
berlaku adalah mudah untuk memahaminya. Beliau tidak lagi komited dengan
tugasya sebagai ahli majlis, malahan tindakan beliau mengikuti beberapa
rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak seharusnya berlaku.
“Tindakan
Nasharudin menampakkan ketidakselarian dengan prinsip Pas hingga menyebabkan
beliau digugurkan,” katanya.
Mengulas
perkara sama, itu, Prof Madya Dr Ismail Sualman dari Universiti Teknologi Mara
(UiTM) pula berpendapat, langkah yang diambil Majlis Syura "ibarat habis
madu sepah dibuang."
Katanya,
semasa masih memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas, semua orang
menyanjungi beliau, sebaliknya ketika mengambil keputusan untuk menggugurkan
beliau, Majlis Syura hanya melaporkan perkara itu melalui media rasmi Pas
sahaja.
“Tindakan
itu tidak berhemah dalam politik dan juga sahsiah. Kalau pengguguran itu dibuat
kerana Nasharudin gagal hadir mesyuarat, kenapa tidak dedah siapa lagi ahli
majlis yang tidak hadir mesyuarat?
“Mengapa
apabila kepimpinan tertinggi parti itu seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan
Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan bertentangan Majlis Syura
seperti isu kalimah ALLAH, mereka tidak digugurkan?” katanya lagi.
Ketika
mengulas mengenai implikasi keputusan Majlis Syura yang dibuat ketika
menghampiri Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Jayum berpendapat, kemungkinan
besar ia akan menjejaskan parti itu memandangkan Nasharudin masih mempunyai
penyokong terutamanya di kawasan yang diwakilinya.
“Menjelang
PRU yang amat dekat ini, kebanyakan pengundi sama ada penyokong Barisan
nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat (PR) mereka sudah buat keputusan cuma yang
tinggal lagi hanya pengundi atas pagar.
“Keputusan
Majlis Syura itu mungkin akan mempengaruhi tetapi saya tidak lihat ia mampu
memberikan impak yang besar,” jelas beliau.
Ahmad Atory
beranggapan keputusan Majlis Syura itu dikhuatiri akan menyebabkan pengikut
Nasahrudin mungkin akan bersikap agak longgar terhadap perjuangan Pas.
Malah
katanya, banyak isu-isu yang melibatkan Pas yang tidak dapat dijawab dan diselesaikan
dengan baik kebelakangan ini terutamanya isu-isu berkaitan kalimah ALLAH.
“Pas juga
dilihat sedang berhadapan dengan kemelut dalaman terutamanya yang disebabkan
oleh beberapa isu dan pemimpin seperti Nasharudin yang sudah tidak dipedulikan
oleh parti.
“Perkara
ini boleh jejaskan kesepaduan dan kempen-kempen pilihan raya yang sudah
direncanakan,” katanya. –Sinar Harian
No comments:
Post a Comment