SHAH ALAM -
Pas menyifatkan janji-janji kepada negeri Kelantan yang diungkapkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai tidak ikhlas dan hanya ingin
meraih undi rakyat di negeri itu.
Naib
Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, segala janji sedemikian bukanlah perkara
baru malah ia hanya janji kosong menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)
tidak lama lagi.
Menurutnya,
sepatutnya, kehadiran perdana menteri itu bukan lagi menambah janji sebaliknya
melunaskan banyak perkara tertunggak untuk negeri berkenaan.
"Rakyat
Kelantan tidak sedaif itu untuk menelan semua janji yang ditaburkan. Janji
sedemikian tidak ikhlas kerana beliau sudah terdesak untuk membubarkan Parlimen
dalam sedikit masa lagi.
"Jika
beliau benar-benar ikhlas, lunaskan dahulu pembayaran royalti kepada rakyat
Kelantan bukan dengan pembinaan stadium dan sebagainya," katanya kepada
Sinar Harian, semalam.
Katanya,
tidak perlu ditubuhkan jawatankuasa khas bagi isu berkenaan memandangkan ia
adalah perjanjian terus di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
"Saya
hairan mengapa perlu ada jawatan kuasa khas? Ia secara jelas, kerajaan
persekutuan mahu melewat-lewatkan pemberian hak yang sepatutnya diterima rakyat
Kelantan.
"Jika
benar-benar beliau prihatin, sudah lama dibina lebuh raya Gua Musang yang mana
sering kali menghadapi kesulitan menjelang musim perayaan, bukan pada waktu
sekarang," katanya.
Salahuddin
yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan penderitaan yang dialami
rakyat Kelantan sudah lama.
"Kerajaan
persekutuan sering kali menafikan hak negeri. Apabila sudah hampir PRU13,
beliau hadir dan menambah janji tanpa melunaskan dahulu 'hutang-hutang' lama
kepada negeri.
"Kerana
itu, saya katakan, rakyat Kelantan tidak mudah menelan janji-janji kosong
seperti itu," katanya.
Sementara
itu, Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, rakyat negeri itu optimis
bahawa janji perdana menteri itu hanyalah tidak lebih daripada 'gula-gula'
untuk menyedapkan telinga dan hati Barisan Nasional (BN).
"Inilah
usaha terdesak yang dilakukan BN dan Umno setelah pelbagai usaha selama ini
gagal menambat hati rakyat Kelantan.
"Selayaknya
beliau menjelaskan dahulu hutang tertunggak seperti yang pernah ditabur sebelum
ini ketika Pilihan Raya Kecil di Manik Urai dan Galas iaitu pembinaan jambatan
dan kemudahan jalur lebar," katanya.
Katanya,
dengan tujuh janji baru itu, Najib dilihat telah berjaya menambah koleksi janji
terhadap rakyat Kelantan tanpa ada satu yang dilunaskan.
"Begitulah
kesungguhan BN dan Umno yang berterusan cuba menawan hati rakyat.
"Mungkin
sebelum ini, janji yang ditabur di negeri-negeri lain berjaya memikat, tetapi
tidak kepada rakyat Kelantan yang sudah masak dengan helah begini, katanya.
Kelmarin,
Najib mengumumkan tujuh projek besar yang bakal dilaksanakan bagi memajukan
Kelantan sekiranya mendapat mandat rakyat negeri itu. – Sinar Harian
KD: 7 projek tersebut memang sangat berguna untuk rakyat
Kelantan.
No comments:
Post a Comment