LANGKAWI: Insiden pencerobohan di
Lahad Datu, Sabah mempunyai impak positif apabila ahli politik termasuk
pembangkang mula menyedari kepentingan pertahanan yang kuat untuk negara, kata
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, insiden yang menyaksikan
ramai anggota keselamatan terbunuh dan cedera itu membuktikan ia bukan
sandiwara kerajaan dan ekoran itu serangan politik oleh pembangkang terhadap
isu pertahanan dan keselamatan negara juga makin berkurangan.
"Saya berterima kasih kepada
semua pihak yang telah menerima hakikat bahawa soal pertahanan bukanlah sesuatu
yang boleh dipolitikkan...nampaknya selepas insiden ini, pembangkang tidak
banyak lagi mempertikaikan kemampuan tentera dan polis kita," katanya kepada
pemberita di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2013)
di sini, Rabu.
Insiden itu telah menyatukan rakyat
Malaysia dan hasil pemantauan Kementerian Pertahanan ke atas ceramah politik
mendapati semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia khususnya
pembangkang meningkat tinggi.
Langkah Kementerian Pertahanan
membawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP menaiki kapal selam
kelas Scorpene pada LIMA 2011 juga mengurangkan serangan pembangkang ke atas
aset strategik negara itu, katanya.
Menteri Pertahanan itu juga berkata,
pembangkang sebelum ini sering mempolitikkan isu pertahanan dan keselamatan
negara sehingga mendedahkan maklumat sensitif mengenai aset pertahanan negara.
Mengenai tindakan lima bekas pegawai
kanan tentera, yang terdiri daripada jeneral bersara, mempolitikkan isu
pencerobohan itu untuk kepentingan politik mereka, Ahmad Zahid berkata mereka
tidak harus mempolitikkan mana-mana operasi tentera sekiranya mereka berminat
untuk terjun ke gelanggang politik.
"Mereka ini beranggapan bahawa
mereka lebih pintar daripada pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
yang sedia ada, hanya mereka yang sekarang ini merosakkan minda orang politik
walaupun zaman mereka sebenarnya sudah berlalu," kata beliau.
Mengenai tindakan yang boleh
dikenakan terhadap mereka, Ahmad Zahid berkata rakyat boleh menolak dengan
tidak memilih mereka menjadi wakil rakyat.
Katanya kerajaan juga tidak mengambil
tindakan terhadap mereka dari sudut perintah Majlis Angkatan Tentera kerana
tidak mahu dilihat sebagai menganianya mereka.
Lagi pun, kata beliau, kelima-lima
mereka tidak mewakili suara angkatan tentera kerana baru-baru ini lebih 200
bekas pegawai kanan tentera berpangkat brigadier jeneral ke atas telahpun
menyatakan sokongan kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak. -BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment