KUALA
LUMPUR: Walaupun kadar jenayah telah menurun 27 peratus sejak tiga tahun
kebelakangan ini, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat
masih banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan kadar jenayah itu terus
menurun.
Beliau
menarik perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan pelbagai
transformasi termasuk memperkenalkan perkhidmatan komuniti polis dengan tahap
profesionalisme dan integriti yang tinggi.
"Sudah
pasti pelbagai transformasi yang diperkenalkan itu tidak boleh membawa
perubahan dalam sekelip mata, ia memerlukan masa serta fokus untuk melakukan
penambahbaikan terhadap pasukan polis," katanya dalam entri terbaru
bertajuk 'Pasukan Polis Moden Yang Membanggakan Kita' di laman blognya.
Perdana
Menteri menegaskan PDRM akan sentiasa bekerjasama dengan rakyat untuk mencapai
matlamat memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat dan bahagia
menerusi pelbagai perubahan serta inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Barisan
Nasional.
"Saya
harap setiap apa yang dirancang untuk masa depan negara dapat dicapai dengan
sokongan terus menerus anda semua," katanya.
Dalam pada
itu, Najib mengakui beliau sentiasa kagum dengan semangat warga polis selama
ini.
"Membesar
bersama ayahanda saya Allahyarham Tun Abdul Razak sentiasa membuatkan saya
sedar dan hargai perjuangan mereka dalam mempertahankan keamanan negara.
"Sejak
zaman darurat sehinggalah insiden 13 Mei, mereka sentiasa menjadi benteng
keselamatan kepada kita semua," tegas beliau.
Merujuk
sambutan Hari Polis ke-206, Isnin lepas, Najib berkata rakyat sekali lagi
bangga melihat semangat juang anggota keselamatan yang bertugas dalam Operasi
Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Kiram di Sabah.
"Kita
juga kagum dengan keberanian lapan anggota serta pegawai PDRM yang sanggup
menggadaikan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan negara. Saya harap
perjuangan mereka ini sentiasa dikenang setiap rakyat," katanya.
Najib telah
mengumumkan penubuhan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) supaya kestabilan dan
keselamatan di Sabah terus terpelihara.
"Menerusi inisiatif ini,
kerajaan juga akan pastikan proses pilihan raya yang adil dan bersih tidak
digugat di kawasan terbabit," tambahnya. BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment