KUALA
LUMPUR — Tindakan pembangkang menolak tawaran kerajaan membentangkan manifesto
pilihan raya umum (PRU) ke-13 mereka melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM),
membuktikan mereka takut tidak dapat menandingi manifesto Barisan Nasional
(BN), menurut beberapa pemerhati.
Ketua
Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Dr
Zainal Kling hari ini berkata pembangkang seharusnya menerima tawaran itu
sekiranya mereka yakin skop manifesto yang ditawarkan boleh memanfaatkan rakyat
dan benar-benar boleh direalisasikan, jika menang PRU13.
"Tetapi
mereka ini dalam berkempen untuk pilihan raya lebih banyak memburuk-burukkan
pihak lain, menyebabkan mereka akhirnya memberikan banyak alasan untuk menutup
kelemahan sendiri termasuk menolak tawaran yang diberikan," katanya semasa
dihubungi Bernama di sini.
Selain itu,
Zainal juga menyifatkan pembangkang tidak berani untuk membentangkan manifesto
secara terbuka kerana PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak sehaluan
dan mempunyai matlamat perjuangan yang berbeza walaupun berada dalam kapal yang
sama.
Pada
Selasa, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu sidang media
bahawa mereka mengikut langkah PAS dan DAP menolak tawaran kerajaan untuk
muncul 10 minit membentangkan manifesto di RTM selepas pembubaran Dewan Rakyat.
Tawaran itu
diumumkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim
pada 22 Mac lalu dan semua parti politik diberi masa selama 10 minit untuk
mengemukakan skop dan manifesto mereka.
Sementara
itu, bekas Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Madya
Zainal Abidin Borhan berkata pembangkang tidak sepatutnya menolak tawaran yang
diberikan ‘bulat-bulat' kerana ini peluang mereka muncul di saluran media rasmi
dengan manifesto mereka.
Beliau
menambah kata pembangkang juga tidak sepatutnya mempersoal tempoh masa 10 minit
yang diberikan, sebaliknya mengambil peluang yang ada terlebih dahulu sebelum
memohon untuk dipanjangkan tempoh penyiaran jika manifesto mereka memerlukan
lebih masa.
"Tempoh
10 minit boleh dimanfaatkan secara baik sekiranya pembangkang kreatif dalam
mengiklankan manifesto mereka seperti menggunakan tayangan slaid berbanding
sesi wawancara yang memerlukan lebih masa," katanya.
Beliau juga
berkata tawaran itu membuktikan kerajaan cuba melakukan pembaharuan dan
bertolak ansur dengan kehendak pembangkang, sebaliknya pembangkang yang sering
tidak berpuas hati, terus menuduh kerajaan sebagai tidak berlaku adil.
"Tuduh-menuduh
bukan budaya dan tamadun kita. Jika tidak berpuas hati seharusnya duduk
berbincang dengan baik untuk mencari penyelesaian," katanya.
Presiden
Pemikir Profesional Melayu Malaysia Prof Datuk Dr Kamaruddin Kachar pula
menyifatkan tindakan pembangkang menolak tawaran itu menunjukkan mereka tidak
ikhlas dalam memperjuang nasib rakyat seperti yang sering dilaung-laungkan.
"Ini
peluang yang baik untuk mereka menjelaskan manifesto mereka di televisyen
kerajaan kerana banyak kali mengatakan tidak pernah diberikan peluang, tetapi
bila sudah terbuka di depan mata, banyak pula ragam dan helah
dibangkitkan," katanya.
Sementara
itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains
Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata pembangkang tidak
seharusnya melepaskan peluang itu dengan sewenang-wenangnya.
"Tawaran
untuk membentangkan manifesto di televisyen merupakan permulaan yang baik dalam
pembaharuan yang dilakukan kerajaan menuju ke arah kebebasan media.
"Seharusnya
semua parti politik termasuk pembangkang mengambil peluang dan jika terdapat
kekurangan, ia boleh diutarakan dan penambahbaikan boleh dilakukan pada masa
hadapan," katanya. — Bernama/
No comments:
Post a Comment