Putrajaya:
Kerajaan mengumumkan kenaikan gred gaji baru bagi pegawai dan anggota tentera
serta polis untuk disetarakan dengan perkhidmatan awam lain dalam Sistem Saraan
Baru (SSB).
Pelarasan
yang dinamakan Sistem Saraan Transformatif (SST) itu akan menggantikan Sistem
Saraan Malaysia (SSM) yang diguna pakai sebelum ini, diumumkan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13
(MAPPA XIII), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini,
semalam.
Beliau berkata,
pelarasan gaji bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) yang berkuatkuasa 1 Januari lalu bakal memanfaatkan 233,192 anggota
pasukan keselamatan di seluruh negara, iaitu 109,209 PDRM dan 123,983 ATM.
Pangkat
dalam perkhidmatan ATM dan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am
selaras perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji.
Ia
mencakupi perubahan skop fungsi tugas khas, struktur pangkat dan kelayakan bagi
skim perkhidmatan ATM serta PDRM, katanya.
Pendek masa naik pangkat
Dalam pada
itu, Najib berkata, kerajaan setuju menambahbaik pelaksanaan urusan kenaikan
pangkat kumpulan pelaksana kakitangan awam dengan memendekkan tempoh kenaikan
pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada 15 tahun kepada 13 tahun.
Katanya,
pelaksanaan penambahbaikan itu berasaskan kecemerlangan yang akan memanfaatkan
lebih 17,000 penjawat awam yang layak.
Di samping
itu, kerajaan secara prinsipnya bersetuju meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan
pangkat laluan pantas, kenaikan pangkat laluan pakar bidang dan kenaikan
pangkat laluan kemahiran tinggi bagi menambah baik laluan kemajuan kerjaya
penjawat awam dalam jangka masa panjang.
Kaedah
pelaksanaannya, termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk
ketiga-tiga laluan baru itu akan diperincikan sebelum dilaksanakan, katanya.
Kenaikan gaji tahunan
Najib turut
menyampaikan berita gembira kepada 182,434 penjawat awam yang berada pada
tangga gaji maksimum dan tidak menikmati kenaikan gaji tahunan dengan
mengumumkan kenaikan gaji tahunan (KGT) sebanyak tiga kenaikan, berkuat kuasa 1
Januari 2013 untuk semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji
Minimum-Maksimum.
Selain itu,
semua penjawat awam menerima faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT yang
dipercepatkan pada 1 Julai 2013 dengan setiap penjawat awam mendapat kenaikan
antara RM80 hingga RM320 mengikut gred gaji masing-masing, membabitkan
peruntukan RM1.5 bilion.
Sekiranya
tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan setuju pergerakan gaji khas
sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada pada
gaji maksimum, katanya.
Perdana
Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju menyambung perkhidmatan hampir 50,000
kakitangan awam kontrak selama setahun lagi apabila kontrak mereka tamat pada
31 Disember depan sementara menunggu kajian menyeluruh berhubung perkara itu
dilaksanakan. -BHarian
No comments:
Post a Comment