KUALA
LUMPUR: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menolak dakwaan bekas pemimpin
Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari kononnya Kerajaan
Malaysia telah menggunakan MILF bagi memperkukuh tuntutannya ke atas Sabah dan
bertanggungjawab mendorong perpecahan di kalangan rakyat Moro.
Ketua
Sekretariat MILF Mohammad Ameen berkata, dakwaan itu adalah satu pembohongan
dan palsu semata-mata.
"Misuari
melakukan dosa berat kerana membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan
cuai terhadap MILF dan kerajaan Malaysia," beliau disebut sebagai berkata
oleh Pusat Berita Luwaran.
Serangan
lisan terbaru Misuari itu disiarkan oleh Al-Jazeera, YouTube dan beberapa media
arus perdana Malaysia di Kuala Lumpur pada Selasa.
Ameen
mengingatkan Misuari bahawa Malaysialah yang telah menggesa pembentukan
Persidangan Perpaduan Bangsamoro (BSC) pada 2002 demi menyatukan pelbagai puak
dalam MNLF dan MILF dan menggalakkan pendirian bersama di kalangan mereka
terutama untuk berurusan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
"Bagaimana
pula Malaysia boleh menggunakan MILF bagi mengukuhkan tuntutannya ke atas
Sabah, bila Sabah tidakpun menjadi sebahagian daripada agenda rundingan damai
sejak 2001?" kata Ameen.
Ameen turut
memberitahu Misuari bahawa Malaysia tidak pernah menawarkan diri untuk mengatur
rundingan damai Kerajaan Filipina-MILF (GPH-MILF), tetapi Presiden Gloria
Macapagal-Arroyo pada 2001 yang meminta Malaysia bertindak sebagai orang tengah
antara dua pihak berkenaan setelah rundingan diadakan semula, selepas Presiden
Joseph Estrada melancarkan perang terhadap MILF pada tahun 2000.
Presiden
Arroyo, dalam lawatan luar negaranya yang pertama sejak menjadi presiden
selepas penggulingan Presiden Estrada, telah berkunjung ke Kuala Lumpur untuk
secara rasmi meminta Malaysia mengatur rundingan damai GPH-MILF.
"Malaysia
setakat memberi respon ikhlas terhadap permintaan jiran yang baik," jelas
beliau.
Ameen juga
mempersoal niat Misuari yang begitu beria-ia menyokong tuntutan Sabah sekarang
sedangkan beliau tidak pernah menimbulkan isu itu sepanjang 21 tahun rundingan
damainya dengan kerajaan Filipina.
Sementara
Perjanjian Damai Muktamad Kerajaan Republik Filipina-MNLF (GRP-MNLF) pada 1996
tidak pernah merujuk kepada tuntutan Sabah. BERNAMA / mStar
No comments:
Post a Comment