Pada tahap
ini semua pihak sudah mengetahui 'hero' pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim tidak akan mempertahankan kerusinya di Permatang Pauh.
Melainkan
untuk seketika (diambil alih oleh isterinya Wan Azizah Ismail), Anwar adalah
wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1982 - iaitu sejurus selepas beliau menyertai
Umno.
Setakat ini
masih tidak diketahui bagaimanakah perasaan dan reaksi para penyokong setia
Anwar di Permatang Pauh dengan keputusan terbarunya itu.
Anwar
sendiri mengakui terpaksa turun padang untuk bersemuka dan memujuk jentera
bawahannya agar rasa kecewa dan marah mereka jangan sampai membantutkan peluang
penggantinya menang di kerusi berkenaan nanti.
Namun Anwar
enggan menjawab siapakah bakal pengantinya itu. Tetapi ramai kini yang menunjuk
ke arah Nurul Nuha iaitu seorang lagi anak perempuannya yang seringkali
mengiringi Wan Azizah pulang ke sana.
Mengapa Perak?
Berkeras
mahu meninggalkan Permatang Pauh, Anwar membayangkan kepada pihak media yang
beliau sudah membuat keputusan untuk berpindah kerusi ke Perak dengan alasan
untuk memastikan matlamat pakatan pembangkang menawan Putrajaya tercapai.
Tapi
persoalan yang timbul ialah mengapa Anwar berminat untuk menjadi calon 'payung
terjun' di Perak?
Jika
dirujuk perkiraan atas kertas tentang rekod pakatan pembangkang di negeri yang
terkenal dengan kraftangan labu sayong itu, pada 2008, PKR mengetuai jumlah
kerusi yang ditandingi di peringkat Parlimen iaitu sebanyak 10 kerusi
berbanding PAS dan DAP masing-masing dengan tujuh kerusi.
Bagaimanapun
rekod kemenangan PKR sangat buruk kerana hanya memenangi tiga kerusi Parlimen
iaitu di Bagan Serai, Sungai Siput dan Gopeng.
Lebih
memburukkan rekod PKR apabila Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri
bertindak keluar parti itu dan menjadi ahli Parlimen Bebas.
Difahamkan
penghijrahan Anwar ke Perak dilihat sebagai strategi pembangkang khususnya bagi
membantu PKR negeri itu menyumbang lebih banyak kerusi di peringkat Parlimen.
Tidak
dipertikaikan, Anwar memang satu nama besar di kalangan penyokongnya, namun
disebalik kekuatan yang ada padanya, beliau masih perlu berhati-hati dalam
memilih kerusi yang bakal ditandinginya.
Sokongan Cina
Melihat
kepada 24 senarai kerusi Parlimen yang ada di Perak, besar kemungkinan Anwar
bakal mencuba nasib di kerusi Ipoh Timor.
Ia disokong
dengan perkembangan terkini apabila penyandang kerusi berkenaan iaitu veteran
DAP, Lim Kit Siang memutuskan untuk bertanding di kerusi Parlimen milik PKR di
Gelang Patah, Johor.
Sebagai
ganti, DAP akan turut mengorbankan kerusi mereka kepada Anwar di Perak. Ini
adalah satu perkiraan yang logik.
Lebih logik
lagi, dalam situasi sekarang Anwar tidak mahu mengambil risiko dengan para
pengundi Melayu.
Sebaliknya
beliau berasa lebih yakin yang dirinya akan diterima dengan tangan yang terbuka
oleh para pengundi bukan Melayu.
Oleh yang
demikian, Ipoh Timor dengan majoriti pengundi di kawasan berkenaan terdiri
daripada masyarakat Cina adalah pilihan yang semulajadi dan tepat.
Pengundi di
Parlimen Ipoh Timor terdiri daripada Cina (81.07 peratus), Melayu (13.09
peratus), India (5.27 peratus) dan lain-lain 0.57 peratus. - mStar
No comments:
Post a Comment