PUTRAJAYA:
Selaras dengan pembubaran Dewan Rakyat pada Rabu bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan penyokong Barisan Nasional (BN) agar
mendahulukan parti tanpa mengira individu yang bertanding dalam pilihan raya
umum ke-13.
"Ini
pertandingan antara parti, bukan pertandingan antara orang perseorangan kerana
hanya parti saja yang boleh tubuh kerajaan, jadi mereka mesti tentukan parti
mereka menang.
"Kalau
mereka betul-betul setia pada parti, jangan kira siapa jadi calon. Kalaupun di
situ dia letak calon MCA, Umno mesti sokong. Kalau dia letak calon Umno, MCA,
MIC mesti sokong kerana kita hendak parti BN menang," katanya kepada
pemberita di pejabatnya di sini, Rabu.
BN diyakini
akan memenangi PRU13 nanti, malah mungkin dengan majoriti dua pertiga
berdasarkan pengundi, termasuk pengundi Cina kini dilihat kembali kepada BN
berdasarkan respons daripada siri perjumpaan yang dihadiri pemimpin parti,
katanya.
Ditanya
sama ada beliau akan kembali bertanding untuk menyahut cabaran penasihat DAP
Lim Kit Siang supaya beliau bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah,
Johor, Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu bertanding lagi memandangkan
beliau sudah bersara dan Lim yang sepatutnya mengikut jejak beliau.
"Dia
patut bersara sebab dia aktif dalam politik ini sejak tahun 1964, bagilah can
(peluang) kepada orang muda. Saya bagi peluang pada orang muda sebab itu saya
letak jawatan pada 2003.
"(Lim)
Kit Siang ini walaupun dia seorang ahli politik yang berpengalaman dan
berpengaruh, tapi tiba masanya dia tarik diri, tak usah bertandinglah, bagilah
peluang pada orang muda," katanya.
Dr Mahathir
sebelum itu menerima kunjungan bekas ahli PAS seumur hidup Zainon Ismail yang
memohon maaf kepada beliau.
Zainon atau
lebih dikenali dengan nama CN Afghani mengaku pernah merancang membunuh Dr
Mahathir pada tahun 1988 kerana terpengaruh dengan 'Amanat Haji Hadi' yang
menyatakan bahawa Umno kafir. BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment