KUALA LUMPUR: Ahli-ahli MCA yang masih
terus memegang atau mengambil jawatan dalam kerajaan perlu dipecat, kata Ketua
Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata keputusan parti untuk
tidak mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan perlu dihormati oleh semua
kerana ia melibatkan maruah dan kedudukan parti di mata masyarakat Cina.
"Mereka yang masih memegang atau
mahu mengambil jawatan dalam kerajaan harus dipecat," katanya selepas
mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat sayap, Isnin.
MCA telah terperangkap dengan keputusan
untuk tidak menerima apa-apa jawatan dalam kerajaan berikutan keputusan pilihan
raya umum 5 Mei adalah lebih teruk berbanding tahun 2008.
Keputusan itu adalah satu resolusi yang
diluluskan dalam perhimpunan agung MCA pada 2011 dan 2012.
Walau bagaimanapun, pelantikan
Setiausaha Publisiti MCA Kebangsaan Datuk Tee Siew Kiong sebagai Ahli Mesyuarat
Kerajaan Negeri (Exco) Johor telah menimbulkan kontroversi dalam parti.
Tee menyertai Exco mengikut titah khusus
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahukan wakil Cina.
Dr Wee masih mengelak ketika ditanya
sama ada pemecatan itu turut melibatkan Tee.
"Ia melibatkan semua orang, tidak
terkecuali. Jika mahu menghormati parti, satu keputusan yang berani perlu
dibuat," katanya.
Beliau menegaskan panggilan yang dibuat
sayap parti itu tidak mengkhususkan mana-mana individu, tetapi sekadar
menghormati ketetapan yang diluluskan oleh perhimpunan.
"Masalah mungkin timbul kemudian
jika apa-apa pengecualian dibuat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Wee berkata,
had umur untuk ahli-ahli sayap itu yang mahu bertanding dalam pemilihan parti
tahun ini akan dikurangkan dari 45 kepada 40 tahun.
Ini adalah selaras dengan keputusan yang
dibuat oleh sayap lima tahun lalu.
Beliau berkata tentang keperluan wakil
belia di peringkat cawangan, bahagian dan pusat.
Exco belia tidak lama lagi akan bertemu
Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk membantu pasukan petugas
dalam menentukan hala tuju parti.
Mereka juga akan bertemu dengan
ahli-ahli muda yang membentuk satu pergerakan baru untuk membaik pulih parti. –mStar
No comments:
Post a Comment