PETALING JAYA - Sistem pendidikan negara
mampu menjadi pendamai dalam meredakan ketegangan dalam masyarakat yang
berlaku hari ini.
Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi
Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin
berkata, pendidikan mampu berperanan menyatupadukan kaum melalui pandangan yang
seimbang dan waras.
"Situasi semasa memerlukan kita
untuk memperkasakan sistem pendidikan sedia ada bagi meredakan alunan ombak
kebencian yang timbul selepas negara melalui proses demokrasi.
"Proses demokrasi sepatutnya ada
had tetapi kadang-kadang had itu dilanggari.
"Oleh itu, pendidikan adalah cara
terbaik dalam mententeramkan jiwa yang tidak damai sekarang," katanya pada
sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan, Kepimpinan Institusi
Pengajian Tinggi dan Kesejahteraan Sosial: Merealisasikan Transformasi ke Arah
Masyarakat Sejahtera.
Konvensyen di bawah kerjasama
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Akept, Majlis Profesor Negara (MPN) dan
Universiti Sains Malaysia (USM) menampilkan 48 pembentang.
Menurut Mohd Zahid, konvensyen yang
dianjurkan bertepatan dengan waktu dan tema yang akan dibawa pada program akan
datang bagi memberi nilai tambah dalam dasar-dasar pendidikan pengajian tinggi.
"Hasil konvensyen itu akan dibawa
ke peringkat KPT bersama 107 memorandum yang diterima Akept daripada rundingan
meja bulat dan Dialog Nasional Pendidikan Negara pada tahun lalu yang disertai
hampir 12000 orang," katanya.
Katanya, cetusan hati dari rakyat itu
perlu diambil kira dan kumpulan cerdik pandai di peringkat IPT perlu melakukan
analisis untuk mengenal pasti kemahuan sebenar rakyat.
"Kesejahteraan rakyat adalah agenda
berterusan, sebelum PRU kita sudah adakan konvensyen seperti ini.
Dalam keadaan negara yang semakin
mencabar, pendidikan perlu dilihat secara seimbang dan klinikal, contohnya
bagaimana untuk rapatkan hubangan antara kaum. Pendidikan merupakan penyatuan
besar," katanya.
Menurut, Ketua Kluster Pembangunan
Sosial dan kesejahteraan, MPN, Datuk Dr Roziah Omar, kalau mahu majukan
masyarakat perlu ada tiga elemen penting iaitu, pembangunan ekonomi,
pembangunan ekosistem dan kesejahteraan sosial.
"Bila ada ketiga-tiga perkara ini
barulah pelan pembangunan menjadi lebih mantap dan seimbang," katanya.
Bagi pengerusi konvensyen, Dr
Sivamurugan Pandian, isu kesejahteraan sosial merupakan topik semasa dan
sememangnya berperanan penting dalam kehidupan seharian.
Katanya, konvensyen kali ini
membincangkan isu kepimpinan universiti dan kesejahteraan sosial negara dari
segi cabaran dalam transformasi.
"Antara perkara yang dibincangkan
adalah peranan modal insan graduan universiti dalam proses ke arah transformasi
masyarakat sejahtera.
"Pembentukan kurikulum kursus dan
program di IPT dengan sumbangan ke atas nilai masyarakat sejahtera,"
katanya. –Sinar Harian
No comments:
Post a Comment