YANG
DI-PERTUAN AGONG, SULTAN BUKAN BONEKA – RAJA DR.NAZRIN
KUALA LUMPUR -
Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, Yang di-Pertuan Agong dan
Raja-raja Melayu bukan boneka yang hanya sekadar menurunkan mohor perkenan
kepada setiap dokumen yang dipersembah dengan mata tertutup, mulut terkunci dan
tangan terikat tanpa kuasa menyuarakan pendirian.
Sebaliknya,
titah baginda, raja dan Yang di-Pertuan Agong berperanan sebagai penimbang tara
yang adil dan saksama jika mendapati nasihat yang dipersembah menyimpang
daripada undang-undang, tergelincir daripada landasan keadilan, berunsur
penindasan atau boleh memudaratkan negara.
Baginda
bertitah, raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan
jika nasihat yang dipersembah bertentangan syarak, bercanggah dengan
Perlembagaan serta undang-undang sehingga memungkinkan berlakunya penindasan
dan kezaliman.
"Raja Berperlembagaan
memiliki tiga hak. Pertama hak untuk dirunding, kedua, hak untuk memberi
nasihat dan terakhir hak untuk memberi peringatan.
"Apabila
dirujuk, raja hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa ragu dan pilih
kasih dan dalam perkara berkait dengan budi bicara, baginda hendaklah
menyempurnakannya dengan hikmah lagi bijaksana demi membuktikan raja bersifat
arif, adil sebagai penimbang tara yang bebas dari cabang legislatif, eksekutif
serta kehakiman," titah baginda.
Baginda
bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Perlembagaan dan Islam:
Peranan Institusi Raja' sempena Seminar Institusi Raja (SIRaj), di sini hari
ini.
Sementara itu,
Raja Dr. Nazrin melahirkan kebimbangan terhadap landskap politik negara yang
mengalami perubahan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12.
Baginda
bertitah, landskap politik itu mengalami tsunami yang memperlihat negara
semakin menuju kepada senario politik dua parti.
Titah baginda,
senario itu sekiranya berlangsung secara tertib, meluhurkan Perlembagaan Persekutuan,
mendaulatkan undang-undang dilihat berpotensi memberi impak positif.
"Tetapi
kelihatan kaedah menuju ke arah senario itu bagai mencetus gelombang perpecahan
yang ombaknya semakin menghempas minda rakyat.
"Rakyat
kelihatan semakin terpisah sehingga benteng perpaduan semakin retak, malah
lebih membimbangkan jika keretakan itu tercetus atas nama agama dan kaum,"
titah baginda.
Dalam pada
itu, Raja Dr. Nazrin bertitah, Islam adalah agama yang memiliki benteng
perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak dalam Perlembagaan Persekutuan.
Titah baginda,
Perkara 3 (1) Perlembagaan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan peruntukan
lain telah memartabat Islam sebagai agama Persekutuan. – Utusan Online
No comments:
Post a Comment